kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pengaruh bahaya Red Book

DALAM coretan lalu, saya banyak mengupas isi kandungan perlembagaan Parti Komunis Malaya (PKM), sambil melontar pertanyaan apakah yang mungkin boleh berlaku kepada negara kita serta penduduknya kalaulah PKM telah menang dalam perjuangan mereka merampas kuasa secara kekerasan menerusi pemberontakan bersenjata.

Oleh sebab PKM kalah, maka tidak mudah bagi sesiapa pun memberi jawapan yang setepat-tepatnya. Berbagai-bagai pandangan berdasarkan andaian-andaian tertentu boleh diketengahkan, tetapi saya tidak fikir ia boleh meyakinkan sepenuhnya sesiapa pun yang meneliti jawapan itu.




RED BOOK menjadi propaganda yang paling berjaya ketika era Mao Tse-tung.

Namun, saya memberanikan diri mengatakan apa yang berlaku di negara China selama hampir 30 tahun selepas Parti Komunis China (PKC) merampas kuasa pada tahun 1949 patut boleh memberi banyak petunjuk kepada kita bahawa Allah telah menyelamatkan negara kita daripada malapetaka dan kemusnahan sekiranya PKM telah berjaya merampas kuasa menerusi Revolusi Malayanya.

Negara China menderita bukan kepalang semasa pemerintahan Mao Tse-tung kerana dia hendak menentukan seluruh rakyat China menjadi komunis dalam masa hayatnya sendiri. Malah, ada rekod dalam Cawangan Khas mengatakan beliau memang bersungguh-sungguh mahukan tahap ketiga revolusi komunis di China tercapai dengan cepat dalam masa 20 tahun saja selepas berdirinya negara republik komunis China. Dia begitu rakus dalam mengejar cita-citanya selain menjadi petunjuk betapa taatnya Mao Tse-tung kepada ajaran Marxisme.

Kenapakah saya berkata kesengsaraan hidup di China di zaman Mao Tse-tung boleh berlaku di negara kita jika PKM telah menang? Untuk jawapannya, saya bawa anda sekali lagi meneliti perlembagaan PKM.

Perenggan tujuh dalam bab satu perlembagaan tersebut menyebut: Pengalaman empat puluh tahun pergerakan Parti Komunis China, terutama semasa mengharungi dua perjuangan bersenjata, membuktikan bahawa cara (road) menggembleng desa-desa untuk mengepung bandar-bandar dan seterusnya merampas kuasa politik secara kekerasan mengangkat senjata adalah satu-satunya cara yang betul. Hanya dengan berpegang teguh kepada cara ini dalam keadaan apa sekalipun barulah boleh dicapai kejayaan dalam gerakan revolusi demokrasi baru (new-democratic revolution) yang dipelopori PKM.

Ini disusuli pula oleh perenggan berikutnya yang menyatakan: Parti Komunis Malaya memegang teguh pandangan sejagat (world outlook) tentang benarnya dialectical materialism dan historical materialism serta prinsip ideologi yang menyatukan tiga kebenaran sejagat (universal truth) iaitu Marxisme - Leninisme - Pemikiran Mao Tse-tung. Dalam coretan terdahulu saya telah terangkan makna istilah-istilah sosialis/komunis ini.


The Evil Mamak


43 Years of Racial Politics ~ The End of Mahathirism!

Tidakkah jelas bagi kita bahawa perjuangan Parti Komunis Malaya telah mengikut jejak langkah dan taktik perjuangan Parti Komunis China serta contoh tauladan kepimpinan Mao Tse-tung selain patuh kepada ajaran-ajaran Marx dan Lenin? Terdapat intelligence dalam khazanah Cawangan Khas yang menunjukkan bahawa, berikutan terputusnya ikatan ‘persaudaraan’ antara dua kuasa besar komunis iaitu Kesatuan Soviet (terutama semasa pemerintahan Nikita Khrushev) dan China yang bermula pada penghujung 1950-an, PKM telah mengorak langkah mengalih kesetiaan mereka sepenuhnya kepada Parti Komunis China.

Kesengsaraan

Ini sangat jelas jika kita teliti pula penulisan-penulisan dalam pelbagai bahan dan literatur propaganda PKM, apatah lagi siaran-siaran propaganda radio sulitnya di sepanjang tahun-tahun 1960-an, 1970-an dan 1980-an sehinggalah berakhirnya ‘perjuangan’ bersenjata PKM setelah terjalin Perjanjian Damai Haadyai Disember 1989. Segala keburukan kepimpinan Mao Tse-tung yang telah mengakibatkan kesengsaraan rakyat China tidak dikupas langsung, jauh sekali dipertikaikan secara terbuka sekurang-kurangnya untuk pengetahuan ahli-ahli PKM.

Pada pandangan saya lagi, betapa cukup terang dan nyata PKM telah bersikap ikut telunjuk Parti Komunis China terbukti apabila parti itu menetapkan sebagai dasar bahawa ‘Buku Kecil’ yang mencatatkan asas-asas ajaran Mao Tse-tung dijadikan semacam Pocket Book yang wajib dimiliki oleh tiap-tiap ahli PKM. Buku kecil ini dibilang Red Book. Ia semacam buku kecil Surah Yasin bagi orang Islam, cuma muka surat Red Book lebih tebal.

Orang komunis dalam PKM, baik yang memanggul senjata di hutan ataupun yang berkeliaran faceless di bandar-bandar, dikehendaki menghayati Red Book, meyakini seyakin-yakinnya bahawa cetusan-cetusan pemikiran Mao Tse-tung dalam buku kecil itu adalah penawar bagi segala macam masalah, kesusahan atau kebuntuan.

Saya sebetulnya mendapat perkhabaran, semenjak tercapainya Perjanjian Damai Haadyai, ada pihak-pihak dalam kalangan masyarakat kita menyimpan senaskhah - dua Red Book di rumah mereka walaupun dahulu mereka tidak pernah mencampuri ‘perjuangan’ PKM walau sedetik pun.

Mungkin tujuan mereka adalah untuk menjadikan Red Book sebagai cenderamata semata-mata. Tetapi, bagi petugas Cawangan Khas dahulu, Red Book ialah salah satu ‘musuh ketat’ mereka. Sesiapa pun yang tidak semena-mena didapati memiliki senaskah Red Book di zaman pra-Perjanjian Damai dahulu akan menghadapi siasatan mendalam oleh pihak Cawangan Khas. Sesuatu siasatan di bawah undang-undang ISA selalunya amat panjang perjalanannya.

Saya akan mengupas lebih panjang dalam coretan mendatang tentang kemusnahan dan kesengsaraan rakyat di China semasa pemerintahan Mao Tse-tung. Yang anehnya, walaupun semua ini, menurut Mao Tse-tung dilakukan untuk rakyat China yang melarat (kaum proletariat/petani), apa yang sebenarnya terjadi ialah sepanjang pemerintahan Mao hampir 30 tahun itu bukan saja tidak menyelesaikan masalah rakyat yang melarat, tetapi menambah berlipat kali ganda lagi bilangan mereka yang melarat dan menderita. Perlu saya mengingatkan anda, istilah ‘bilangan’ di sini bukan dalam angka ‘ribuan’ atau ‘ratusan ribu’, tetapi ‘puluhan juta’.

Saya menyimpulkan, dasar-dasar Mao Tse-tung rata-rata telah menimbulkan ‘kesan membunuh’ (murderous impact) terhadap rakyat China yang asalnya hendak diselamatkan oleh Mao Tse-tung dan Parti Komunis China. Beberapa langkah strategik yang hebat-hebat bunyinya seperti Great Leap Forward (Melompat Ke depan Dengan Hebat), People’s Communes In The Countryside (Hidup Cara Komunis di Desa), Communal Kitchens (Dapur Milik Bersama Cara Komunis) dan dasar Four Clean-Ups (Empat Jenis Cucian) telah dilancarkan silih berganti. Semuanya gagal.

Walaupun sebilangan pemimpin kanan PKC cuba menasihatkan Mao kegagalan itu berpunca daripada sebab-sebab yang wajar, Mao sebaliknya menuduh mereka sebagai petualang. Mao mengesyaki bahawa merekalah yang telah mengaturkan tentangan atau sabotaj untuk menggagalkan dasar-dasar itu. Dia lantas melancarkan pula dasar Cultural Revolution (Revolusi Kebudayaan) yang berjalan hampir 10 tahun sampailah ke penghujung hayatnya.

Anehnya, tahap-tahap pemerintahan Mao Tse-tung inilah yang dianggap orang komunis dalam Parti Komunis Malaya sebagai pemerintahan yang berlandaskan prinsip Kediktatoran Proletariat (kaum buruh/petani).

Bagi saya, yang sebetulnya Mao Tse-tung-lah satu-satunya manusia Diktator Agung yang bersemayam di puncak kekuasaan Parti Komunis China bermula pada tahun 1949, sehingga dia meninggal dunia pada tahun 1976.

Mungkin anda pernah mendengar sebelum ini tentang ‘kehebatan’ apa yang dibilang Red Guards (Pengawal Merah) semasa berjalannya gerakan Revolusi Kebudayaan di China. Siapakah Red Guards? Apakah yang mereka buat sampai mereka menjadi ‘hebat’? Kenapa mereka digeruni oleh pihak-pihak di China yang tidak setuju, walaupun tidak secara terbuka, dengan dasar-dasar Mao Tse-tung? Semua ini akan saya paparkan juga dalam coretan akan datang.



ABDUL RAHIM NOOR Utusan Rencana 20140323
Tags: komunis, mahathir, pkm
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments