kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sambut Hari Air Sedunia dengan catuan

DALAM tempoh sebulan lalu, Kuala Lumpur dan Selangor menghadapi catuan air. Berjuta-juta penduduk menerima kesan daripada langkah tersebut.


Orang ramai hanya menerima bekalan air setiap dua hari sekali. Di dalam rumah penduduk, bekas mengisi air diletakkan di merata-rata ceruk.

Krisis bekalan air di Lembah Klang itu telah memberi kesan besar kepada kehidupan. Penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor tidak boleh lagi menggunakan air semewah dulu.

Mereka yang tinggal di apartmen dan bangunan tinggi mungkin lebih menderita dengan catuan air itu.

Banyak premis mencuci kereta telah ditutup buat sementara kerana ketiadaan bekalan air. Ramai orang berasa tidak selesa untuk makan di restoran dan kedai makan kerana mengenangkan apakah yang digunakan untuk mencuci pinggan dan bahan mentah ketika memasak.

Catuan air terpaksa dibuat di Selangor dan Kuala Lumpur kerana tiga faktor. Pertama, paras air di semua empangan terlalu surut kerana musim kemarau. Akibatnya, berlaku kekurangan bekalan air terawat disebabkan pengurangan pelepasan air mentah dari empangan Sungai Selangor dan Klang Gates.

Kedua, bekalan air terjejas kerana penutupan loji rawatan air Cheras Batu 11 dan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi ekoran pencemaran ammonia. Walaupun loji itu telah beroperasi semula, pihak berkuasa air masih berhati-hati untuk melepaskan air yang telah dirawat.

Ketiga, pembangunan infrastruktur air yang lemah diburukkan lagi dengan pertembungan politik antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan. Air menjadi pertaruhan politik.

Jika syarikat yang merawat dan membekalkan air di Kuala Lumpur dan Selangor begitu kompeten, catuan air tidak akan berlaku kepada berjuta-juta penduduk.

Dalam merencanakan pembangunan infrastruktur air, pihak pengurusan yang baik akan turut mengambil kira isu-isu perubahan cuaca, pertumbuhan penduduk dan kawasan perumahan baharu, jumlah sumber air semula jadi, dan pola sumber air pada masa depan.

Krisis air yang dihadapi sekarang menunjukkan satu kelemahan ketara. Sebanyak 609,804 buah kediaman terjejas. Jika di sebuah kediaman itu ada enam orang penghuninya, terdapat 3.6 juta orang penduduk Kuala Lumpur dan Selangor sedang tertekan dengan catuan air yang dilaksanakan.

Air menjadi satu komoditi yang begitu berharga sekarang. Harga air mineral berkualiti yang dijual di kedai-kedai runcit kini hampir RM2.00 seliter. Ia hampir sama dengan harga minyak petrol RON95 yang dijual di stesen-stesen minyak pada harga RM2.10 seliter.

Berdasarkan trend itu yang menjadi unjuran sejagat, suatu hari nanti tidak mustahil harga air akan menjadi lebih mahal daripada harga minyak petrol.

Apabila menghadapi catuan air, manusia terpaksa membuat adaptasi kepada rutin kehidupan mereka.

Hendak mandi pun perlu dikira berapa banyak airnya, pokok-pokok bunga tidak lagi disiram seperti selalu, dan kereta sudah tidak dibasuh. Teknik mencuci pinggan mangkuk juga terpaksa diubah untuk memastikan ia tidak melibatkan penggunaan air yang banyak.

Baju-baju cuma dapat dicuci menggunakan mesin basuh selang dua hari apabila air dapat dibekalkan semula selepas catuan.

Kebanyakan penduduk Kuala Lumpur dan Selangor mungkin merasakan bahawa apabila musim kemarau sekarang berakhir, catuan air dapat ditamatkan. Itu menjadi harapan kita, tetapi bagaimana jika kemarau yang sedang berlaku berterusan?

Penduduk Kuala Lumpur dan Selangor terpaksa menunggu dua tahun lagi untuk melihat projek penyaluran air dari Pahang ke Selangor dapat direalisasikan bagi mengatasi kekurangan bekalan air mentah.

Sambil menunggu saat itu, yang paling teruk terjejas ialah bisnes-bisnes yang bergantung kepada bekalan air. Banyak kilang terpaksa memindahkan operasi mereka ke negeri lain kerana isu air gagal ditangani selama ini.

Air merupakan sesuatu yang tidak boleh lagi kita pandang mudah.















22 Mac  2014, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganjurkan Hari Air Sedunia dengan sambutan rasmi diadakan di Tokyo, Jepun.

Semalam, 22 Mac 2014, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganjurkan Hari Air Sedunia dengan sambutan rasmi diadakan di Tokyo, Jepun.

Sehari menjelang Hari Air Sedunia, PBB menerbitkan satu laporan yang menegaskan bahawa peningkatan mendadak penduduk dan ekonomi negara-negara membangun memberikan tekanan berganda untuk keperluan air dan tenaga pada dekad-dekad mendatang.

Laporan itu membuat beberapa rumusan mengenai masa depan, antaranya:

* Permintaan air global meningkat sebanyak 55 peratus menjelang tahun 2050.

* Lebih 40 peratus penduduk dunia tinggal di kawasan-kawasan yang mengalami stres teruk kerana isu air khususnya di Afrika Utara dan Asia Barat sehingga ke barat Asia Selatan.

* Asia akan berhadapan dengan pertelagahan mengenai sumber air, di kawasan sumber air merentangi sempadan nasional.

* Antara kawasan yang akan berdepan dengan konflik berkaitan air ialah Laut Aral (sumber air di Asia Tengah), Sungai Ganges-Brahmaputra (Bangladesh-India), Sungai Indus (China-Pakistan-India) dan lembangan Sungai Mekong (China-Myanmar-Thailand-Laos-Kemboja dan Vietnam).

* Terdapat hampir 800 juta manusia di seluruh dunia tidak memperoleh akses kepada air bersih manakala kira-kira 2.5 bilion orang tidak mendapat tandas bersih.

Dua negara yang mempunyai penduduk paling ramai iaitu China (1.3 bilion) dan India (1.2 bilion) adalah antara negara yang paling memerlukan infrastruktur air moden dan bekalan air yang berterusan.

Berdasarkan jangkaan PBB, letusan penduduk dan ekonomi negara India dan China pasti mencetuskan tekanan kepada hubungan dengan jiran-jiran berhubung sumber air.

Di Malaysia, hubungannya dengan jiran di selatan, Singapura, juga diwarnai isu air yang kadangkala menjadi duri dalam daging hubungan kedua-dua negara.

Perjanjian air selama 99 tahun antara Malaysia dan Singapura yang berat sebelah ditandatangani pada tahun 1962, yang memberikan Singapura akses kepada air mentah dari Johor, Malaysia.

Singapura membeli air mentah itu pada harga yang sangat murah, iaitu hanya 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air.

Pada zaman ini, ketika air mineral dijual pada harga RM2 seliter, harga air mentah terlampau murah yang dibayar oleh Singapura itu pasti tidak masuk akal.

Perjanjian air dengan Singapura itu akan berakhir pada tahun 2061, iaitu kira-kira 47 tahun lagi.

Singapura berharap menjelang tahun 2061, ia dapat mampu diri menghasilkan dan memproses air untuk kegunaan sendiri. Republik itu menggunakan teknologi penyulingan air laut dan teknik memproses semula air yang telah digunakan.

Berdasarkan kedudukan air sebagai satu komoditi yang begitu berharga seperti yang diperlihatkan dalam laporan PBB sempena Hari Air Sedunia, Malaysia tidak seharusnya terburu-buru membuat sebarang perjanjian baharu air yang merugikan dengan Singapura.

Betapa bernilainya air dapat dilihat daripada potensi Pahang yang bakal memperoleh antara RM60 juta hingga RM80 juta setahun daripada bisnes membekalkan air mentah untuk Loji Langat dalam perjanjian air dengan Selangor.

Berapakah yang Johor dapat daripada pembekalan air mentah kepada Singapura?

Menurut satu laporan Bernama pada tahun lalu yang memetik kenyataan Exco Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Hasni Mohamad, dalam sebulan kerajaan Johor cuma menerima bayaran sebanyak RM1.2 juta daripada Syarikat Air Johor, RM230,000 daripada kerajaan Melaka dan RM200,000 daripada Singapura sebagai caj membekalkan air mentah kepada republik itu.

Ketika berjuta-juta penduduk Kuala Lumpur dan Selangor dilanda krisis air yang masih belum nampak penyelesaiannya, berdasarkan intipati laporan PBB sempena Hari Air Sedunia itu kita perlu melihat air dengan perspektif baru.

Air bukan sekadar kurniaan percuma daripada alam. Air sebenarnya ialah cecair yang ibarat mutiara kepada ekonomi dan menjadi pemangkin kehidupan.



Baharom Mahusin baharom@gmail.com Utusan Rencana 20140323
Tags: air
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments