Apa faktor yang menyebabkan bekalan air terjejas dan dicatu setiap kali tiba musim kering di Malaysia, sedangkan banyak empangan dan skim bekalan airdibina. Kenapa negara tanpa tadahan hujan besar seperti Singapura dan Hong Kong, malah negara yang mendapat hujan kurang 200 mm setahun seperti Arab Saudi, Qatar, UAE, Kuwait dan Oman tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan air sepanjang tahun?
Pada hemat saya, persoalan ini berkaitan dengan kefahaman dan tanggungjawab kita terhadap nilai serta harga air.
Ajaran Islam meletakkan nilai tinggi terhadap sumber air yang tidak boleh diukur dengan mata wang kerana air adalah salah satu sumber asasi kehidupan setiap makhluk termasuk manusia. Justeru, pelestarian sumber air adalah tanggungjawab negara yang perlu dirancang dan diguna secara lestari untuk pelbagai kegunaan domestik, pertanian dan industri.
Jika nilai air sedemikian, maka apakah wajar bekalan air dan pelestarian sumber air dikenakan caj perkhidmatan? Apakah tarif air dan pembetungan yang dikenakan ketika ini sudah memadai?
Persoalan tersebut perlu diolah dalam suasana semasa khususnya dari segi permintaan air selari dengan perkembangan pesat perbandaran dan perindustrian. Peningkatan tersebut bukan sahaja dari segi kuantiti per kapita, malah kualiti bagi pelbagai aktiviti perindustrian.
Perbandaran pesat ancam sumber
Malangnya, kepesatan perbandaran dan perindustrian turut mengancam kualiti dan kuantiti sumber air. Hal ini semakin ketara di persekitaran bandar besar yang sumber airnya semakin terhad disebabkan kawasan tadahan hujan semakin mengecil. Pencemaran air dan hakisan tanah menerusi pelbagai aktiviti pula menyulitkan lagi keadaan.
Dalam persekitaran sedemikian, sumber air tidak lagi dapat dilestarikan dengan mudah dan murah. Untuk mengurangkan kesan pencemaran, loji rawatan air sisa domestik dan industri terpaksa dibina dan diselenggara. Loji rawatan bekalan air pula terpaksa menggunakan teknologi semakin canggih. Semua inisiatif ini memerlukan pembiayaan besar. Sebagai contoh, purata kos pembinaan sistem pembentungan berpusat yang merawat air sisa domestik dianggarkan bernilai RM1,000 setara bagi setiap penduduk.
Dalam kata lain, inisiatif untuk melestarikan sumber air dan membekalkan air minum memerlukan biaya besar. Itu belum lagi membabitkan kos pemuliharaan sungai, tasik, empangan dan kos rawatan enap cemar yang terhasil daripada loji rawatan air sisa dan air minum. Ketika ini, hampir semua kos disubsidi dan tidak termasuk dalam bil perlu dibayar pengguna di Malaysia.
Transformasi industri air
Demikian latar belakang isu berkaitan pengurusan air yang semakin mencabar dari segi teknologi, tadbir urus, kewangan dan perundangan, bukan saja di negara maju bahkan di negara membangun seperti Malaysia. Itu rasional transformasi industri perkhidmatan air pada 2006 menerusi penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Antara peranan SPAN ialah menetapkan tarif bekalan air dan perkhidmatan pembetungan.
Pada hemat saya, tiga asas perlu difahami sebaiknya. Pertama, alam sekitar bandar tidak lagi boleh menyerap tompokan dan menampung curahan bahan cemar secara tabii dalam sistem akuatik. Air sisa yang terhasil daripada aktiviti domestik dan perindustrian memerlukan sistem rawatan berkesan.
Kedua, konsep permintaan dan bekalan perlu diguna pakai dalam menetapkan tarif perkhidmatan air. Monopoli dan organisasi tidak efisien perlu ditransformasi menjadikan sektor perkhidmatan air dinamik dan berdaya saing. Itu rasional penggubalan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Industri air perlu menjadi lebih berdaya saing seperti industri komunikasi, khususnya menerusi peranti telefon bimbit ketika ini.
Ketiga, konsep Islam perlu dihayati dalam memajukan industri perkhidmatan air. Kita perlu membezakan antara nilai sumber air dan harga perkhidmatan air. Nilai sumber air tidak terhingga.
Sebagai individu, kita perlu memastikan semua saluran kumbahan termasuk paip sinki pembasuhan disambung ke paip pembentungan utama dan menyelenggara tangki septik secara berkala.
Kita juga wajib membayar bil pembetungan IWK. Sebagai warga organisasi pula, kita menjadi pemangkin memastikan semua aktiviti mesra alam dan tidak mencemarkan alam sekitar, khususnya sumber air.
Dengan sumber air yang lestari maka sungai, tasik dan laut menjadi bersih serta cantik. Impaknya berganda. Selain selamat, industri pelancongan juga akan berkembang. Sementara teknologi rawatan air yang diperlukan menjadi lebih murah dan mudah. Jika sebaliknya, kos menjadi mahal berganda. Kita juga terpaksa menerima padah setiap kali tiba musim kering, sumber dan bekalan air juga mengering.
Dr Zaini Ujang ialah Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling (EQC) Malaysia Berita Harian Rencana 2014/03/23