kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Apabila kejayaan diukur dengan ‘semua A

MINGGU lepas keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan. Kepada yang lulus, tahniah! Tidak kiralah lulus cemerlang atau lulus cukup makan. Anda berhak diberi ucapan tahniah.

Kepada yang sudah berusaha keras tetapi tidak memperoleh keputusan yang diharapkan, jangan bersedih. Itu bukan pengakhiran hidup. Bagi yang gagal atau dapat keputusan teruk kerana banyak main atau ambil mudah pun tak perlu bersedih dan menyesal. Itu pilihan anda. Ada banyak pengajaran berguna yang boleh dijadikan peluang memperbaiki diri.

Seperti biasa, penulis merasa amat kagum dan tersentuh bila menyoroti kisah-kisah kejayaan pelajar cemerlang SPM. Lebih-lebih lagi bagi pelajar yang hidup dengan latar belakang ‘penuh kekurangan.’

Kisah kejayaan anak kepada pemandu lori, pemandu teksi, buruh kasar, nelayan, konstabel polis, lans koperal askar dan anak yatim piatu patut menjadi pendorong dan inspirasi besar kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan itu.

Ini belum lagi cerita kejayaan calon-calon yang cacat fizikal atau orang kurang upaya. Mereka wajar dijadikan contoh. Dengan segala kekurangan fizikal, mereka masih mampu lulus dalam peperiksaan ini. Ada juga yang mencatat keputusan setaraf dengan pelajar cemerlang lain. Golongan ini menukar kekurangan yang ada menjadi kekuatan dalam jiwa.

Kesedihan kerana gagal dalam peperiksaan adalah perkara biasa. Tetapi rawan kerana keputusan cemerlang adalah pelik. Bunyinya macam janggal, tak masuk akal tetapi percayalah perkara ini berlaku. Sama ada secara diam-diam atau terang-terangan, perkara ini memang berlaku.

Kebelakangan ini ada satu trend ‘taksub’ dengan keputusan ‘semua A.’ Mereka hanya mahukan ‘A.’ Bagi sesetengah pelajar kategori ini, keputusan yang bercampur-campur dengan ‘B’ dan ‘C’ adalah satu ‘kegagalan.’ Slip SPM yang mempunyai abjad selain daripada A+, A dan A- tidak sempurna malah ada yang menganggapnya sebagai memalukan.

Pelajar yang taksub ini akan merasa malu dan rendah diri yang amat dengan segelintirnya murung dengan keputusan sedemikian.

Seorang pembaca Utusan Malaysia berkongsi pengalamannya berhubung perkara ini. Beliau menghadiri satu majlis pengumuman keputusan SPM di sebuah sekolah berprestasi tinggi di Subang Jaya.

Sekolah tersebut memang hebat rekod pencapaian peperiksaan. Bagaimanapun khabarnya keputusan dua peperiksaan sedikit merosot tahun lalu.

Dalam majlis tersebut, wajah pengetua kelihatan tidak begitu ceria sewaktu membaca pengumuman. Barangkali kerana tidak banyak nama pelajar yang dapat 10A, 9A, 8A dapat dibacakannya.

Cerita pembaca itu lagi, sebaik sahaja nama pelajar yang mendapat keputusan ‘10A, 9A’ diumumkan, bunyi tangisan mengatasi bunyi tepukan tahniah! Anehnya yang menangis itu bukan calang-calang pelajar. Mereka adalah pelajar yang turut mendapat keputusan cemerlang 8A, 7A, 6A, 5A! Teruk sangatkah mendapat keputusan seumpama itu?

Ada yang meninggal majlis itu secara senyap-senyap. Duduk di satu sudut bangunan sekolah dan menangis diam-diam. Pada satu peringkat mereka terpaksa ditenangkan oleh guru-guru. Nada percakapan mereka selepas itu tidak lagi berbunyi kegembiraan sebaliknya disulami dengan ayat-ayat sedih dan penyesalan.

Adakah ini satu penyakit baharu dalam kalangan pelajar cemerlang? Harapnya tidak. Teruk sangatkah kalau tidak mendapat ‘semua A’ dalam SPM? Buruk sangatkah kalau sekadar mendapat 4A dan bercampur dengan satu dua ‘B’ dan ‘C’?

Jika inilah keadaannya, fenomena ini amat tidak sihat. Semua ibu bapa mahu anak-anak mereka berjaya. Guru-guru yang mengajar mereka pun mahu melihat kejayaan anak murid masing-masing.

Tetapi ‘A’ bukan segala-galanya. Percayalah itu semua rezeki yang Allah telah tentukan. Peperiksaan SPM hanyalah satu permulaan kepada kehidupan di luar yang lebih besar dan mencabar.

Para pelajar perlu diajar menghargai dan menerima apa sahaja keputusan yang diperoleh. Lagipun mereka telah berusaha sedaya upaya. Mereka perlu bersyukur walau apa jenis keputusan yang dapat. Lebih-lebih lagi yang mendapat keputusan cemerlang seperti 5A, 6A, 7A, 8A!

Sekolah pun satu hal. Perlukah diadakan majlis seumpama itu. Dalam majlis sedemikian terpampang jelas unsur-unsur diskriminasi antara pelajar yang berderet-deret dapat ‘A’ dengan yang dapat ‘kurang A’ dan bercampur-campur antara A, B dan C. Yang tidak mendapat A langsung apatah lagi!.

Keadaan yang sama pernah berlaku tidak lama dahulu. Setiap tahun ada segelintir pelajar mengambil berbelas-belas subjek demi memecahkan rekod ‘berbelas-belas A’ yang dicipta oleh ikon pelajar cemerlang terdahulu.

Setiap kali keputusan SPM diumumkan satu negara menunggu, pelajar mana yang bakal memecahkan rekod ‘berbelas-belas A’ itu.

Mujurlah Kementerian Pendidikan menyedari fenomena tidak sihat ini. Sejak dari itu calon-calon dihadkan kepada satu jumlah tertentu sahaja matapelajaran yang boleh diambil. Rupa-rupanya timbul satu lagi penyakit baru.

Inilah masalahnya bila kejayaan sekadar diukur berasaskan keputusan peperiksaan!



Kopi Panas Utusan Rencana 20140329
Tags: assessment, exam, pentaksiran, peperiksaan
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments