kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mencari di lautan sunyi

)PERASI mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi telah menyedarkan kita semua bahawa masih banyak lagi kawasan di bumi ini yang sukar untuk diterokai manusia.

Dakwaan sekarang adalah era dunia tanpa sempadan dengan teknologi internet dan pengangkutan moden akan membolehkan seseorang itu meneroka ke mana sahaja ternyata tidak benar.

Ini kerana masih ada kawasan yang payah untuk dihubungi berikutan faktor geografi dan cuaca yang sukar untuk diatasi oleh teknologi manusia.

Disebabkan kedudukan geografi berkenaan, pesawat besar seperti Boeing 777-200ER boleh hilang tanpa dikesan dalam tempoh yang lama.

Berikut fakta-fakta mengenai lautan luas berkenaan yang menjadi antara lokasi paling terpencil dan sunyi di dunia.

LAUTAN TIDAK BERPENGHUNI

KAWASAN pencarian seluas 479,147 kilometer (km) yang terletak 2,500 km ke barat daya Perth, Australia mempunyai cuaca yang sejuk kerana berhampiran Antartika.

Lautan luas berkenaan sentiasa bergelora dan berkabus kerana ia menjadi tempat pertemuan antara arus panas dari Lautan Hindi dan arus sejuk dari Antartika.

Kawasan berkenaan juga mempunyai keadaan cuaca yang sering berubah dengan pantas, angin kencang dengan ombak mencecah setinggi enam meter dan juga diliputi awan tebal yang rendah sehingga menyukarkan satelit untuk merakam imej secara jelas.

Arus laut di kawasan berkenaan juga sangat deras sehingga boleh menghanyutkan objek terapung sejauh 173 km dalam tempoh dua hari sahaja.

Purata kedalaman kawasan lautan itu adalah 3,600 meter yang bersamaan empat kali ketinggian Burj Khalifa atau lapan kali Menara Berkembar Petronas.

Terdapat juga kawasan di situ yang dikenali dengan nama Jurang Diamantina yang mempunyai kedalaman 8,047 meter.

KEPULAUAN Cocos (Keeling) adalah penempatan kedua paling hampir dengan kawasan operasi
pencarian selepas Perth.
DI LUAR LALUAN PERKAPALAN

TEMPAT penemuan serpihan MH370 terletak di luar laluan perkapalan kerana kapal-kapal cenderung untuk belayar berhampiran kawasan pantai Australia Barat menghala ke Indonesia sebelum memasuki Selat Melaka atau Laut China Selatan.

JAUH DARI DARATAN

KAWASAN daratan paling hampir adalah Perth, iaitu kira-kira lapan jam penerbangan pergi dan balik. Oleh kerana jarak yang jauh, pesawat peninjau tentera Australia, P3C- Orion hanya boleh beroperasi selama dua jam sahaja sebelum terpaksa pulang ke pangkalan bagi mengelak kehabisan minyak.

Daratan kedua paling hampir adalah Kepulauan Cocos (Keeling) iaitu kira-kira 10 jam penerbangan pergi dan balik. Penempatan yang mempunyai 27 pulau batu karang itu didiami majoriti orang Melayu beragama Islam.

Hanya terdapat dua pulau yang berpenghuni iaitu Pulau Panjang yang merupakan pulau paling luas yang menempatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kepulauan Cocos (Keeling) sepanjang 2,438 meter yang didiami 120 penduduk berbangsa Eropah. Sebanyak 500 orang Melayu pula menetap di Pulau Selma iaitu pulau keempat terbesar.

Orang Melayu telah berhijrah ke situ sejak 1826 untuk bekerja dengan pedagang Inggeris dalam industri kelapa kering (kopra). Kebanyakan mereka berasal dari Singapura, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Indonesia.

Walaupun sudah lama merantau, namun mereka masih boleh bertutur menggunakan bahasa Melayu ‘pasar’.

Cogan kata kepulauan itu yang ditadbir Australia sejak 1955 juga masih menggunakan ungkapan yang mirip bahasa Melayu iaitu ‘Maju Pulu Kita’, manakala nama pulau-pulau masih menggunakan nama Melayu seperti Pulau Siput dan Pulau Kelapa Satu.

LEMBANGAN WHARTON

KAWASAN berkenaan adalah sempena nama pakar hidrografi Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), William Wharton. Ia merupakan tempat pertemuan plat-plat tektonik India dan Australia. Ahli biologi dari Scotland, Ivan T. Sanderson pernah menulis pada 1972 dalam artikel bertajuk ‘12 Perkuburan Syaitan di Seluruh Dunia’ yang menyenaraikan lembangan berkenaan dan Segi Tiga Bermuda sebagai sebahagian daripada 12 kawasan paling banyak berlaku kemalangan dan kejadian aneh.

ANGIN PUTING BELIUNG TROPIKA

SIKLON atau angin puting beliung adalah fenomena biasa di kawasan berkenaan yang terjadi antara pertengahan November hingga April.

Disember hingga Mac adalah bulan-bulan yang paling teruk dilanda siklon. Bagaimanapun terdapat juga kes siklon melanda di luar musim.

Antara angin puting beliung yang telah melanda baru-baru ini adalah Siklon Tropika Colin yang berlaku pertengahan Januari lalu dan terbaharu Siklon Tropika Gillian yang boleh mengancam usaha mengesan bangkai pesawat berkenaan.

DI LUAR JANGKAUAN RADAR

KAWASAN berkenaan adalah di luar jangkauan radar penerbangan awam Australia yang hanya mampu memantau pesawat sehingga 410 km dari pantai Perth.

Radar tentera yang dikenali dengan nama Rangkaian Radar Pengendalian Jindalee (JORN) yang terletak di Laverton, Australia Barat pula dikatakan mampu memantau sehingga jarak 3,000 km termasuk Kepulauan Cocos (Keeling), sebahagian Sumatera, Pulau Jawa dan sebahagian Kalimantan.

Bagaimanapun tiada laporan JORN telah mengesan pergerakan pesawat MH370.

PUSARAN GYRE

IA adalah pusaran sisa plastik yang amat besar di permukaan laut. Semua serpihan yang terperangkap dalam gyre ini akan berpusing dan diapung oleh arus.

Pusaran yang ditemui ahli sains pada 2010 masih lagi menjadi satu fenomena misteri yang perlu kajian lanjut. Selain selatan Lautan Hindi, pusaran berkenaan juga terdapat di empat lokasi lain di Lautan Pasifik dan Lautan Atlantik.



NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my Utusan Rencana 20140329
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Kerja Kontrak atau Tetap

    Isu terkini di Malaysia selain politik, Covid-19 dan wabak yang semakin berleluasa adalah kakitangan ‘kontrak’ bergelar ‘pegawai…

  • Kerajaan Swasta

    Apabila kita berfikir tentang pemerintahan kerajaan , apa yang muncul di kepala kita? Bagi kebanyak orang, gambar Agong, PM, bangunan parlimen ,…

  • Angkuh dari wajah

    Selagi kita terus tersilap mengenai keyakinan untuk kecekapan, kita akan berakhir dengan terlalu ramai bertemu dengan mereka yang tidak cekap yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments