kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Langkah radikal PKC

TEPAT pada pukul 10.00 pagi (waktu tempatan) 1 Oktober 1949, Mao Tse-tung diiringi beberapa pemimpin kanan Parti Komunis China (PKC) muncul di atas podium menghala ke Dataran Tiananmen untuk mengisytiharkan pembentukan negara Republik Rakyat China. Ada banyak pihak mengatakan peristiwa bersejarah itu menyaksikan sebesar-besar perhimpunan di Dataran Tiananmen melebihi dua juta orang manusia.

Sejak awal pagi hari itu, semasa menanti ketibaan Mao Tse-tung, mereka menjerit-jerit, melaungkan slogan-slogan “Hidup Parti Komunis China", “Hidup Republik Rakyat China", “Hidup Rakyat Baru Cina". Mereka menyanyikan lagu-lagu revolusi dengan penuh semangat, tidak terputus-putus, semacam bergelombang dari satu penjuru ke penjuru lain di lapangan Dataran Tiananmen. Suasana disegarkan pula dengan tiupan angin sepoi musim gugur. Ribuan panji dengan berbagai-bagai ragam kata dan ungkapan bersemangat semacam berkibar-kibar ‘di atas kepala’ manusia yang membanjiri Dataran itu. Khabarnya, mereka datang dari segenap pelosok negara China.



Dasar Mao Tse-tung dan Parti Komunis China bersifat kuku besi dan banyak menindas rakyatnya sendiri.

Tentulah Mao, yang bakal mencecah 56 tahun pada 26 Disember tahun itu, menjadi tumpuan utama. Dia tampak ‘merendah diri’ tetapi menimbulkan rasa hormat kepada orang yang melihatnya. Dia mula berucap, tidak dalam bahasa standard Mandarin, tetapi dalam dialek Hunan, wilayah kelahirannya. Dia bercakap perlahan, terang dan nyata, tetapi memukau hadirin. Sebaik-baik saja dia mengisytiharkan: ‘Bangsa Cina telah bangkit sekarang!’ ratusan ribu manusia di depannya semacam menjadi ‘liar’, dengan sorakan bergemuruh, mereka melaungkan tidak henti-henti ‘Hidup Republik Rakyat China!’, ‘Hidup Parti Komunis China!’

Itulah harapan tertinggi rakyat China dengan terdirinya negara ‘baharu’ mereka, harapan untuk hidup lebih senang serba-serbinya. Tetapi, harapan tinggal harapan. Mao Tse-tung, pemimpin tertinggi PKC yang diagung-agungkan itu, memusnahkan harapan mereka. Jentera pentadbiran negara dan kepimpinan parti jatuh dalam cengkamannya. Walaupun parti menetapkan pemerintahan yang berasaskan konsep Kediktatoran Proletariat (buruh/petani), Mao menidakkannya. Dia menjadi diktator, sampai ke tahap semacam ‘separa Tuhan’ (demi god).

Parti Komunis China di bawah kepimpinan Mao Tse-tung menjadikan China ditadbir menerusi suatu sistem autoritarian yang bersifat kuku-besi. Dengan Mao Tse-tung satu-satunya sumber autoriti untuk menentukan kesahihan sesuatu tafsiran berkenaan ideologi Marxisme, maka tidak menghairankan kenapa semasa pemerintahan Mao, kerajaan China menjadi semacam sebuah kerajaan teokrasi sekular, yakni ia berfungsi menerusi arahan ‘paderi’ bernama Mao Tse-tung.

Oleh sebab kerajaan China berkuasa menghukum atau menarik balik apa saja kemudahan yang diberi kepada seseorang, tidak mudahlah bagi sesiapa pun menyuarakan bantahan. Rasa takut dan suka berpura-pura banyak mempengaruhi sikap penjawat awam dan kepimpinan PKC di zaman Mao Tse-tung.

Sesungguhnya, bagi Mao dan PKC, tidak ada harga atau paksaan terlalu tinggi dalam usaha merealisasi cita-cita parti untuk rakyat China. Tetapi anehnya, rakyat Chinalah - yakni kaum petani dan buruh - yang memikul beban yang seberat-beratnya untuk mencapai cita-cita itu. Merekalah yang menderita memikul kos-kos rancangan raksasa perindustrian negara, projek-projek empangan air besar-besaran, rancangan perladangan raksasa milik bersama (collective farms) dan sebagainya. Ini tidak termasuk menyenggara kehidupan mewah para pegawai/petugas awam dan parti.

Mao Tse-tung memerintah China selama 27 tahun. Saya tertarik menafsirkan permerintahan Mao terbahagi kepada empat peringkat. Tahap pertama menyentuh tempoh 1949 hingga 1955. Ia bermula sebaik-baik saja Parti Komunis China merampas kuasa daripada Parti Kuomintang (nasionalis) pada Oktober 1949. Langkah-langkah radikal PKC dalam tempoh lima tahun itu tertumpu kepada gerakan besar-besaran memilik-negarakan tanah kepunyaan orang awam seluruh China. Gerakan ini diberi nama Land Reform. Serentak dengan itu dilancarkan kempen besar-besaran menumpaskan golongan counterrevolutionaries yang menentang revolusi komunis di China. Golongan ini daripada pelbagai latar belakang seperti pemilik tanah, kumpulan suku kaum dari pelbagai provinsi atau wilayah, pengetua agama, puak bangsawan, pemilik perusahaan besar yang berpengaruh di China dan sebagainya.

Selain itu, gerakan menyapu bersih golongan counterrevolutionaries ini banyak juga ditumpukan kepada ‘saki-baki’ pemimpin atau penyokong Parti Kuomintang yang menjadi musuh ketat PKC sekian lama. Mereka telah menghadapi Perang Saudara (Civil War) sebaik-baik saja Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945 dalam Perang Dunia Kedua. Perang Saudara ini berakhir dengan kemenangan pihak komunis pada 1949 dan menubuhkan negara komunis China pada tahun itu.

Perang Korea selama tiga tahun 1950 - 1953 juga banyak mendatangkan kesan buruk kepada negara komunis China yang baru ditubuhkan itu. Ada ahli-ahli sejarah berpendapat yang Mao Tse-tung dan PKC turut terbabit dalam mencetuskan peperangan itu.

Dipendekkan kata, pada awal lima tahun pertama pemerintahan Parti Komunis China, pertumpahan darah berlaku di seluruh pelosok China. Semasa gerakan Land Reform dan kempen menumpaskan golongan counterrevolutionaries yang dilancarkan dengan gigihnya, kepimpinan PKC menyuruh kader-kader parti supaya “tidak takut-takut melaksanakan hukuman mati," dan tidak gentar untuk menghukum sesiapa pun yang didapati terlalu berlembut atau memilih cara tidak menggunakan kekerasan dalam menunaikan misi Land Reform.

Mao Tse-tung telah menetapkan sebagai dasar bahawa kempen Land Reform dan penumpasan counterrevolutionaries ialah dwimisi mass struggles yang bersifat bottom’s up, yakni mesti disapu bersih sampai mengikis kerak-keraknya. Pemilik-pemilik tanah (landlords) serta kaum kerabat dan rakan karib mereka perlu ditahan, dikenakan ‘perbicaraan’ yang dibilang ‘struggle sessions’ yang diatur oleh kader-kader parti, yang kebanyakannya berakhir dengan hukuman mati. Pendek kata, dwimisi ini menyebabkan terlalu banyak darah tumpah ke bumi China. Ada pihak-pihak yang menganggarkan, dalam masa lima tahun itu, dua hingga lima juta rakyat China terbunuh termasuk mereka yang telah membunuh diri untuk mengelak daripada diseksa.

Khazanah maklumat dalam Cawangan Khas ada menceritakan, tidak semua pemimpin kanan PKC bersetuju dengan cara kekerasan (violent) yang ditentukan oleh kepimpinan pusat parti. Banyak perbahasan diadakan oleh mereka di awal-awal tahun kejayaan mereka menubuhkan negara Komunis China. Mereka yang tidak suka dengan cara kekerasan memberi beberapa alasan jitu: Rakyat China telah cukup lama menderita kerana menghadapi peperangan demi peperangan sejak 1920-an. Peperangan dengan Imperial Jepun 1937 - 1945 saja telah mengorbankan jutaan rakyat China. Tidakkah ramai antara kita yang tahu peristiwa Rape of Nanjing oleh tentera Imperial Jepun pada tahun 1937? Jepun membunuh dengan amat kejamnya hampir setengah juta penduduk Nanjing semasa ‘perkosaan’ itu. Ini telah disusuli pula dengan Perang Saudara PKC melawan Kuomintang 1945 - 1949 yang pada masa itu belum lagi menunjukkan tanda-tanda telah lega sepenuhnya.

Pemimpin-pemimpin PKC yang tidak setuju cara kekerasan itu juga memberi contoh bagaimana keadaan huru-hara tercetus di negara Kesatuan Soviet selepas Joseph Stalin yang terkenal dengan sikap kediktatorannya mengambil alih pucuk kepimpinan. Menurut mereka, cara Stalin melaksanakan dasar-dasar komunis dengan kekerasan tidak wajar diikuti oleh kepimpinan PKC. Namun, Mao Tse-tung tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Pihak yang tidak sehaluan dengannya terpaksa akur, Mao menjadi bertambah ghairah dan rakus dengan kekuasaannya.

Sementara itu, Ong Boon Hwa @ Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya ketika itu, tiba di China pada awal pertengahan 1961 untuk memulakan kehidupan orang buangannya (exile). Ini setelah Parti Komunis Malaya gagal dalam pemberontakan bersenjata menentang kerajaan penjajah Inggeris yang dimulakan pertengahan tahun 1948. Apakah Chin Peng dan rakan-rakan seperjuangannya yang tinggal di China sangat mengikuti perkembangan politik di China pada masa itu? Apakah pula ‘nasib’ mereka di tengah-tengah kancah pergolakan politik PKC dan Mao Tse-tung masa itu? Semua ini akan saya singkap dalam coretan-coretan saya mendatang, termasuk paparan mengenai keburukan-keburukan lain oleh Mao Tse-tung selepas mengharungi lima tahun pertama pemerintahannya.   ABDUL RAHIM NOOR Utusan Rencana 20140330

Tags: komunis, mao
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments