kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bangsamoro menuju sinar harapan baharu

SELAMA dua hari berturut-turut sejak Rabu lalu, akhbar arus perdana di Filipina menyiarkan di muka hadapan mereka laporan tentang perjanjian damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan kerajaan Filipina yang diadakan di Istana Presiden, Istana Malacanang, Manila pada 27 Mac lalu.

Akhbar The Philippine STAR di muka hadapannya pada 26 Mac menyiarkan laporan dengan tajuk “Dawn of Peace Seen," dan kelmarin akhbar yang sama sekali lagi menyiarkan laporan upacara menandatangani Perjanjian Komprehensif tentang Bangsamoro (CAB) di Istana Malacanang di muka hadapan dengan tajuk “A shared victory."

The Philippine STAR turut menyiarkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Filipina, Benigno S. Aquino III tersenyum ketika menyaksikan wakil MILF dan kerajaan Filipina bertukar-tukar dokumen perjanjian selepas upacara itu selesai.

Senyuman yang terpancar di wajah kedua-dua pemimpin itu menunjukkan tanda kepuasan kerana perdamaian akhirnya dapat diwujudkan di selatan Filipina, sekali gus menamatkan pergolakan dan konflik berdarah selama lebih empat dekad di wilayah itu yang telah meragut lebih 150,000 nyawa.

Akhbar-akhbar lain di negara itu turut menyiarkan laporan tentang upacara itu di muka hadapan masing-masing, serta mendapat liputan langsung oleh stesen televisyen negara itu.

Sebagai ketua kerajaan Malaysia, Najib sendiri berpuas hati kerana Malaysia bukan sahaja telah dapat menjalankan peranan dengan berkesan sebagai fasilitator dalam proses rundingan damai yang mengambil masa hampir 17 tahun, tetapi sekali gus mengangkat imej negara di pentas antarabangsa.

Akhbar-akhbar Filipina turut mengiktiraf peranan besar Malaysia itu dengan menyatakan tentang komitmen Malaysia di arena antarabangsa, walaupun sedang berdepan dengan krisis kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.


Najib Tun Razak dan Presiden Benigno S. Aquino III, menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Komprehensif tentang Bangsamoro (CAB)
antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan kerajaan Filipina di Istana Malacanang, Manila pada 27 Mac lalu. - AGENSI

Pengerusi MILF, Murad Ebrahim dalam ucapannya ketika merakamkan detik bersejarah bagi perjuangan kemerdekaan Bangsamoro, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas peranan Malaysia yang berkesan sehingga CAB berjaya ditandatangani.

Murad juga tidak melupakan jasa bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir atas inisiatifnya menjelang persaraannya untuk mengerakkan semula rundingan damai di selatan Filipina.

Aquino dalam ucapannya pula menyifatkan sumbangan Malaysia sangat signifikan dalam proses rundingan damai itu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Peranan yang Malaysia mainkan dalam menjayakan perjanjian damai ini sangat signifikan, dengan pembentukan Bangsamoro ini akan meningkatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Filipina melalui hubungan pertalian persaudaraan," katanya.

“Kami ingin berkongsi sejarah bangsa Melayu sebagai satu rumpun dan inspirasi supaya kita turut dapat berkongsi kestabilan, kekayaan dan ikatan melalui perkongsian kejayaan," tegas beliau.

Malahan, Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) turut mengiktiraf CAB apabila jurucakap pergerakan itu, Emmanuel Fontanilla menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan rundingan tiga pihak (kerajaan Filipina, MILF dan MNLF) untuk menyemak semula pelaksanaan perjanjian damai 1996 oleh kerajaan Filipina dengan kumpulan pejuang pemisah ketika itu, supaya CAB dapat bergerak ke hadapan.

MNLF sebelum ini mengemukakan petisyen di Mahkamah Agung Filipina pada Disember lalu bagi meminta mahkamah menghalang CAB kelmarin diadakan kerana ia akan mengetepikan perjanjian damai 1996 antara kerajaan Filipina dengan MNLF.

Kenyataan ikhlas MNLF itu diharap dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan dengan menarik balik petisyen itu yang sehingga kini masih ditangguhkan.

Semua pihak menaruh harapan besar untuk melihat agar CAB mencapai kejayaan bagi memberi sinar harapan baharu kepada Bangsamoro dan mewujudkan perdamaian berkekalan di wilayah itu, dengan penduduk majoriti Islam dan penduduk Kristian dapat hidup bersama dalam keadaan aman untuk membina masa depan bersama.

Kini terpulang kepada Kongres Filipina untuk membuat keputusan meluluskan rang undang-undang dasar mengenai Bangsamoro, jika tidak, perdamaian dan CAB tidak akan menuju ke mana-mana.

Apa yang penting ialah semua pihak perlu membantu menterjemahkan perjanjian itu menjadi kenyataan. Malaysia telah berjanji akan meneruskan komitmennya untuk membantu membangunkan wilayah itu.

Najib dalam ucapannya menegaskan bahawa peranan Malaysia di wilayah itu tidak terhenti sebagai fasilitator sahaja tetapi membantu membangunkan institusi termasuk pendidikan dan pertanian, selagi bantuan Malaysia diperlukan.

Perdana Menteri menekankan bahawa keamanan di wilayah itu sangat penting kerana ia boleh menyumbang kepada keamanan serantau dan menjayakan Komuniti ASEAN menjelang akhir 2015, sekali gus akan membawa limpahan dari segi ekonomi dan keamanan di Sabah.

Negara-negara Islam lain yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam proses perdamaian itu seperti Arab Saudi, Indonesia, Brunei, Libya, Turki dan beberapa negara lain termasuk Norway dan Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom, Australia, Kanada, New Zealand dan Amerika Syarikat - juga perlu menghulurkan bantuan supaya pembangunan di wilayah ini dapat digerakkan segera.

OIC dan begitu juga Jepun yang bersetuju menjadi tempat bagi pertemuan secara bersemuka antara Aquino dan Pengerusi MILF, Murad Ebrahim pada 2011 bagi menyambung semula rundingan damai perlu menjadi penggerak bagi memastikan CAB dilaksanakan.

Kegagalan perjanjian damai 1996 sedikit sebanyak adalah disebabkan kerajaan Filipina sebelum ini gagal menunaikan janjinya untuk menyalurkan geran bagi membangunkan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) ketika itu.

Aquino merupakan orang yang perlu diberi ‘penghormatan’ kerana mengambil daya usaha bersungguh-sungguh itu. Beliau berharap menjelang 2016, satu pilihan raya bebas dapat diadakan di wilayah itu dan menyaksikan MILF bertukar daripada pasukan bersenjata kepada sebuah entiti politik dan melihat MILF bertanding dalam proses demokrasi untuk membentuk kerajaan baru di wilayah Mindanao.

Menurut Aquino wawasannya untuk Bangsamoro ialah untuk melihat wilayah selatan Filipina menjadi pintu masuk bagi perdagangan, dan pertukaran kebudayaan dalam lingkungan Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina yang merupakan Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN, dan sekali gus membangunkan Bangsamoro yang kini jauh ketinggalan.

Pada satu peringkat beliau memberi amaran tidak akan membiarkan sesiapa cuba menggagalkan perdamaian yang baru mula berputik.



MUSTAFA KAMAL BASRI Utusan Rencana 20140330
Tags: sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments