kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

SPM bukan penentu kejayaan hidup

Ke mana selepas memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?

Sudah pasti itulah soalan yang berlegar-legar di minda 470,395 pelajar SPM 2013 dan ibu bapa selepas keputusan diumumkan minggu lalu.


Bagi yang memperoleh keputusan cemerlang, pasti tidak mempunyai masalah memohon melanjutkan pengajian di institusi pe­ngajian tinggi (IPT).

Namun, bagaimana nasib dan masa depan pelajar sederhana atau tidak cemerlang.




SAMA ada berjaya atau tidak, yang penting pelajar harus bijak membuat pemilihan
hala tuju masa depan supaya tidak menyesal di kemudian hari.

SAMA ada berjaya atau tidak, yang penting pelajar harus bijak membuat pemilihan hala tuju masa depan supaya tidak menyesal di kemudian hari.


Masih mampukah mereka merencana masa depan diingini?


Pegawai Kaunseling Kanan Pusat Perkhidmatan Kaunseling Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Saiful Redza Mohamed berkata, sama ada mendapat keputusan cemerlang atau sebaliknya, paling penting pelajar mesti tahu menentukan arah tujuan masa depan.

Beliau berkata, keputusan SPM hanya sebagai pengukur kemampuan pelajar terhadap subjek sepanjang tempoh persekolahan namun bukan penentu tahap pencapaian minda individu.

“Keputusan SPM tidak boleh dijadikan penanda aras utama menentukan kejayaan hidup pelajar pada masa depan.

“Pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, mereka mungkin ada teknik belajar yang betul.

“Calon yang gagal pula mungkin kurang persediaan, teknik belajar kurang tepat atau gagal me­nguasai subjek dengan baik hingga menjejaskan keputusan,” katanya.

Beliau berkata, sama ada berjaya memperoleh keputusan cemerlang atau sebaliknya, paling penting pelajar perlu membuat perancangan dan pemilihan tepat supaya tidak menyesal.

“Ramai pelajar teruja memasuki IPT tapi kerana keterujaan itu ada kalanya mereka tersilap membuat pilihan kursus.

“Ada pula cenderung memilih nama universiti terlebih dulu, akhirnya menyedari mereka tidak berminat dengan kursus ditawarkan.

“Ini sangat merugikan. Pelajar cemerlang akhirnya mensia-siakan masa depan kerana ‘tercampak’ me­ngikuti kursus tidak diingini atas faktor kurang minat juga tiada bimbingan ibu bapa,” katanya.

Manakala, bagi pelajar kurang cemerlang, masih ada pilihan boleh dilakukan untuk membina masa depan.

Menurutnya, pelajar boleh memilih bidang kemahiran yang kini banyak ditawarkan institusi kemahiran seperti kolej atau politeknik.

“Jangan sempitkan fikiran dengan tanggapan masa depan sudah punah dengan kegagalan memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.

“Bidang kemahiran adalah antara pilihan terbaik boleh diikuti pelajar kerana jaminan kerjayanya sangat tinggi selain permintaan berterusan daripada pihak industri.

“Malah, kajian mendapati keperluan dalam bidang teknikal sangat luas dan tidak mengalami masalah pengangguran,” katanya.

Beliau menggariskan lima aspek penting yang perlu diberi perhatian utama pelajar untuk merangka masa depan iaitu minat, nilai diri mengapa memilih pekerjaan dikehendaki, kebolehan, personaliti terhadap kerjaya pilihan juga potensi kerjaya dipilih.

“Untuk mengelak pelajar berdepan masalah, berjumpa kaunselor, berbincang dengan ibu bapa atau mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber seperti Internet.

“Ini demi kebaikan pelajar juga untuk jangka panjang,” katanya.

Ruhaiza Rusmin myMetro Bestari 2014/03/24
Tags: peperiksaan, spm
Subscribe

  • Raja, rakyat dan perlembagaan

    TIDAK berapa lama dulu seorang diplomat Thai memberitahu bahawa saya tidak perlu menunjukkan pembesar dan pemimpin Thai berinsut di lantai ketika…

  • Perlembagaan Persekutuan bukan saluran pecat pemimpin

    SAYA terpanggil untuk berkongsi pandangan perundangan mengenai isu ini kerana sejak akhir-akhir ini, ada yang menyatakan pandangan dan tafsiran…

  • Hak kebebasan berhimpun

    DALAM masyarakat demokratik, rakyat memainkan peranan penting menyemak dan mengimbangi (check and balance) cabang-cabang kerajaan supaya tidak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments