kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penilaian PT3 bersifat menyeluruh

RAMAI yang menarik nafas lega apabila Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) baru-baru ini.


Menurut beliau pentaksiran itu mampu mengurangkan beban guru sehingga 80%. Apa yang menggusarkan guru selama ini te­lah terjawab apabila mereka boleh merekodkan data prestasi pelajar mengikut kaedah dan kesesuaian masa mereka sendiri. Guru tidak perlu lagi merekodkan data penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat secara dalam talian.

Penambahbaikan PBS dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi menggantikan Peni­laian Menengah Rendah (PMR) dilaksanakan bermula 1 April.

Bagi memastikan pelaksanaan yang lebih lancar maka semua guru mata pelajaran di sekolah menengah akan diberikan kursus dan latihan mengenainya. Penambahbaikan PBS ini dilakukan menerusi kajian pihak kementerian, input daripada warga pendidik dan kesatuan-kesatuan guru.

Sesungguhnya tiga isu besar yang membelenggu guru dalam pelaksanaan PBS telah dapat diatasi.

Pertama, penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang menyebabkan guru terikat dengan bilangan penyataan deskriptor dan evidens yang banyak akan dikurangkan.

Kedua, pengurusan fail yang rencam meliputi Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit dilakukan mengikut kesesuaian masa guru manakala ketiga Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara atas talian yang sukar diakses dan memakan masa lama tidak lagi diperlukan. Guru boleh menyimpan rekod pelajar mengikut kaedah masing-masing.

Mungkin ada yang bertanya apakah yang membezakan PT3 dengan PMR yang diamalkan sebelum ini. PT3 dilaksanakan berasaskan sekolah sementara PMR adalah peperiksaan berpusat serentak di semua sekolah di seluruh negara. PMR dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan. Bahagian itu turut menyediakan semua soalan, jadual peperiksaan, pelantikan pemeriksa, penetapan standard jawapan, jumlah skor markah dan mengumumkan keputusan peperiksaan di akhir tahun.

Walaupun PT3 dikendalikan sepenuhnya oleh pihak sekolah tetapi masih juga memerlukan pelajar menjawab soalan secara bertulis. Misalnya bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris pelajar bukan sahaja menduduki ujian bertulis tetapi juga dikehendaki menduduki ujian lisan.

Sementara itu, bagi mata pelajaran Sains, Matematik, Pendidikan Agama Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Cina, Tamil, Iban dan Kadazandusun akan ditaksir melalui ujian bertulis. Bagi subjek Sejarah dan Geografi pula pentaksiran dilakukan melalui kerja kursus, penyediaan projek, kerja lapangan dan kajian kes.

Ada yang bertanya bagaimana pula kriteria untuk memasuki Tingkatan 4 di sekolah tertentu pada tahun hadapan? Seperti diumumkan oleh Menteri Pendidikan, pelajar boleh menggunakan keputusan PT3 untuk memohon memasuki Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Mene­ngah Teknik atau Kolej Vokasional.

Menariknya PT3 tidak hanya menilai pelajar dari segi kognitif atau aspek akademik semata-mata tetapi turut menyediakan ujian psikomatrik. Ujian ini adalah untuk mengenal pasti kecenderungan, minat dan bidang kebolehan pelajar. Pada masa sama ujian ini dapat menjelaskan keupayaan pelajar dalam bidang sains dan minat terhadap penyelidikan.

Sesungguhnya PT3 merupakan suatu pentaksiran yang bersifat holistik. Ini disebabkan ia turut memberikan pemberatan terhadap pencapaian dalam bidang kokurikulum. Keupayaan pelajar dalam bidang sukan, permainan, olahraga, persatuan, kelab dan pasukan beruniform akan dinilai dan diberikan markah. Dalam masa sama penilaian ini akan dapat mengenal pasti lebih awal bakat dan kebolehan pelajar dari aspek kepimpinan, keupayaan fizikal dan keunggulan sahsiah.

Bagi memastikan pengurusan PT3 ditadbirkan dengan berkesan Lembaga Peperiksaan akan sentiasa memantau dan menilai pelaksanaannya. Bahagian itu akan menyediakan garis panduan dari segi standard jawapan dan menyelaraskan skor markah. Oleh itu semua pihak tidak perlu bimbang atau sangsi dari segi kesahihan dan kebolehpercayaan pentaksiran itu kerana akan sentiasa diawasi dan dinilai oleh Lembaga Peperiksaan dari semasa ke semasa.

Selain itu keputusan PMR kebiasaannya diumumkan pada akhir tahun kini keputusan PT3 mungkin boleh diumumkan lebih awal oleh pihak sekolah.

Sesungguhnya pelaksanaan PBS melalui PT3 akan dapat mengurangkan kritikan sesetengah pihak yang mengatakan sistem pendidikan kita terlalu berorientasikan pe­periksaan. Sudah tentu penekanan terhadap keputusan peperiksaan cemerlang semata-mata akan menyebabkan hala tuju pendidikan tidak menepati matlamat sebenarnya.

Matlamat pendidikan seharusnya seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan. Pada masa sama dapat mengembangkan bakat mereka sama ada dalam bidang jasmani, emosi, rohani atau intelek. Akhirnya sistem pendidikan dapat menyediakan warga negara yang akan berbakti dan memberi sumbangan bererti kepada agama, bangsa dan pembangunan negara.

Ironinya terlalu memberi penekanan berlebihan terhadap peperiksaan menyebabkan aktiviti kokurikulum terabai. Terbukti bahawa aktiviti kokurikulum dapat membentuk dan membina keupayaan pelajar dalam berbagai bidang. Ia akan dapat mengembangkan bakat kepimpinan, membina sahsiah yang unggul dan keperibadian yang mantap.

Oleh itu dalam menghasilkan sistem pendidikan yang berkesan maka pelajar-pelajar perlu digalakkan terlibat secara aktif dalam bidang sukan, permainan, olahraga, persatuan, kelab dan pasukan seragam. Di samping itu aktiviti dalam dan luar bilik darjah seperti lakonan, teater, perbahasan, syarahan, koir, bermain alat muzik, nyanyian, tarian, kuiz, forum, teka silang kata, treasure hunt dan sebagainya hendaklah dijadikan amalan biasa di sekolah.

Dalam usaha menjadikan pembelajaran lebih menarik maka sekolah perlu juga merancang aktiviti luar seperti melawat muzium, tempat bersejarah, kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar, membersihkan rumah ibadat, lawatan ke rumah orang tua atau rumah kebajikan. Termasuklah aktiviti rekreasi seperti mendaki gunung, menerokai kawasan hutan atau bersantai di pantai atau kawasan air terjun.

Hakikatnya, aktiviti ini sukar untuk dilaksanakan sekiranya guru-guru sentiasa dihambat untuk mengejar sukatan pelajaran dan persediaan mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Mungkin atas kesedaran tersebut maka Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah kepada pelajar Tingkatan 1 yang bermula tahun 2011. PBS dan PT3 memberi ruang dan peluang kepada pihak sekolah menilai sendiri pelajar mereka. Justeru pentaksiran baharu ini adalah suatu penilaian yang lebih bersifat holistik.

Alimuddin Mohd. Dom ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UniSZA. Utusan Rencana 20140403

Tags: pentaksiran
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments