kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tinggalkan LCCT, terima klia2

MINGGU lepas, saya menaiki pesawat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang atas urusan kerja ke Langkawi. Naik pesawat Turborprop atau berenjin kipas. Kena berjalan kaki atas landasan untuk 'nikik bilun'.

Di Langkawi sejam kemudiannya, pesawat itu berhenti di sudut paling hujung di kanan terminal. Dalam panas terik tengah hari, semua penumpang berjalan menunduk ke pintu masuk di sudut kiri.

Tidak pasti berapa jarak tapi berpeluh juga belakang badan. Maklumlah cuaca pulau lebih mencengkam berbanding di Lembah Klang. Tapi sekurang-kurangnya Langkawi walaupun panas, tiada catuan air.

Sekilas itu juga terfikir. Sampai bila pulau peranginan Langkawi kena guna kaedah tradisional, tanpa jejambat aero (aerobridges) menyambungkan pintu pesawat terus ke bangunan terminal. Tidaklah penumpang diseksa panas atau hujan. Begitu juga di terminal di Subang dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Satu faktor yang tidak boleh dielak menggunakan LCCT atau LTSAAS ialah bila tiket diuruskan oleh orang lain. Maka ikut sahajalah. Dan kalau memilih LTSAAS pun kerana jaraknya di Subang dekat dengan rumah. Ini kerana soal tiket penerbangan lebih murah sekarang adalah isu yang subjektif. Konon naik penerbangan murah tapi kena bayar untuk makanan, caj tambahan untuk beg kedua dan paling sadis, kerusi roda pun kena caj!

LCCT yang akan ditutup empat minggu lagi sudah ada jawapan dengan bermulanya operasi lapangan terbang baharu klia2 pada 2 Mei ini. Sebanyak 80 aerobridges tersedia di situ. Tetapi rupa-rupanya perihal aerobridges ini menjadi agenda perdebatan antara syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dengan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Pelik? Memang pelik. Kalau tanya saya, memang akan pilih aerobridges. Bayangkan warga emas kena berjalan dalam cuaca panas atau hujan, sambil mengendong beg masing-masing. Bagaimana ibu bapa yang ada bayi. Kasihan.

Perdebatan AirAsia berkisar kepada model perniagaannya iaitu masa pusingan pantas bagi meningkatkan penggunaan pesawat. Secara ringkasnya, sejurus sahaja pesawat mendarat, penumpang keluar, kira-kira 10 minit kemudian kumpulan penumpang baharu menaiki pesawat dan berlepas semula.

Kaedah ini adalah kunci kepada formula penerbangan tambang murah iaitu membolehkan pesawat terbang lebih kerap ke sesuatu destinasi dalam sehari, terutama untuk penerbangan pendek antara sejam ke tiga jam penerbangan.

Oleh itu, AirAsia merayu diberikan pengecualian menggunakan aerobridges kepada MAHB pada 2011 iaitu semasa pembinaan klia2. Dalam semangat sebagai rakan perniagaan, kehendak AirAsia dipersetujui MAHB, yang tentunya harus menawarkan pengecualian serupa kepada syarikat penerbangan lain.

Aerobridges

Bagaimanapun, permintaan itu hanya di klia2. Di lapangan terbang lain di Malaysia, AirAsia menggunakan aerobridges seperti di Kuching, walaupun ada pesawat lain mengerahkan penumpang berjalan di atas landasan. Mungkin AirAsia akur kepada permintaan pelanggan yang merasa sangat leceh tanpa menggunakan aerobridges.

Lapangan terbang di negara lain di rantau ini mengenakan perintah mandatori (wajib) untuk menggunakan aerobridges bagi kesenangan dan keselamatan penumpang. Bila sesebuah syarikat tidak mahu menggunakan aerobridges, pesawat terpaksa berhenti di kawasan hujung terminal dan bas digunakan bagi mengangkut penumpang.

Dalam hal ini, AirAsia menyatakan syarikat itu mematuhi peraturan seumpamanya di luar negara kerana tiada pengecualian diberikan. Di klia2, AirAsia minta pengecualian. Dan MAHB beri pengecualian. Maka ketika itu, klia2 dibina tanpa dipasang aerobridges. Ini bukan cerita rekaan saya. Rujuk kenyataan akhbar MAHB dalam laman web mereka.

Tetapi keputusan itu ditarik balik oleh Kementerian Pengangkutan yang mahu keselesaan dan keselamatan penumpang diutamakan. Maka aerobridges dipasang. Seorang pegawai memberitahu, isu ini adalah termasuk dalam 'isu-isu yang belum selesai' seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar, Rabu lalu.

Lihat dari segi kos. Caj MAHB kepada syarikat penerbangan untuk menggunakan aerobridges ialah RM85 sekali pakai. Ambil contoh pesawat A320 membawa 180 penumpang, kos puratanya adalah kurang daripada 25 sen setiap penumpang. Caj ini adalah terendah di Asia.

Soal cukai perkhidmatan penumpang antarabangsa (PSC) juga antara isu terbabit. Pada masa ini, cukai PSC di LCCT adalah sebanyak RM32 seorang. Spekulasi dalam industri ialah PSC akan dinaikkan kepada RM65 seorang.

Ditanya mengenai cukai tersebut, Pengurus Besar Kanan (Operasi) MAHB, Datuk Azmi MuradAzmi berkata, setakat ini, masih belum ada keputusan mengenai perkara tersebut.

Spekulasi cukai itu mendatangkan cakap-cakap bahawa itulah cara MAHB untuk mendapatkan balik perbelanjaan modalnya membina klia2.

Jika benar cukai PSC itu naik ke paras itu, bermakna kos dibayar oleh syarikat penerbangan akan terpaksa diturunkan kepada penumpang. Ini diterjemahkan sebagai tiada lagi tiket murah. Itu rasional penganalisis industri.

Pada 2011, AirAsia mengemukakan bantahan kepada Kementerian Pengangkutan yang meluluskan cadangan MAHB untuk menaikkan PSC di LCCT daripada RM25 kepada RM32 untuk penumpang ke destinasi luar negara. Kelulusan itu dibuat selepas tertangguh selama dua tahun.

Januari lalu, MAHB menyatakan keyakinannya untuk mencatat pertumbuhan 9.7 peratus dari segi bilangan penumpang pada tahun ini, dan pada masa yang sama menyatakan kajian semula terhadap kadar PSC sudah cukup tempoh pada Februari lepas tetapi keputusan akhir di tangan kerajaan.

Soal kos pembinaan melambung tinggi RM4 bilion dan penangguhan yang panjang, kita tunggu laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Pada 1 April lalu, Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid dan Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Abd. Hamid Mohd. Ali memberi keterangan kepada PAC yang akan mengumumkan hasil pemeriksaan mereka.

Menyaksikan siri terbaharu perdebatan AirAsia dan MAHB, mungkin ramai akan kehairanan. Kenapa AirAsia berkeras enggan berpindah ke klia2? Ini menyebabkan MAHB dikritik kerana seolah-olah memanjakan AirAsia dan sekarang dibalas tuba. Apa yang kita kena tahu ialah sejak 2002, MAHB memberikan AirAsia pelbagai dan paling banyak insentif sehingga berjaya menjadi penerbangan paling berjaya hari ini.

Lagi aneh bila AirAsia berterusan menyalahkan MAHB kerana didakwa tidak menyediakan klia2 yang 'benar-benar' boleh berfungsi dan selamat, landasan mendap dan retak. Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sudah mengesahkan masalah itu telah diatasi dan selamat digunakan. Pun tak percaya?

Persoalannya, kenapa syarikat penerbangan lain seperti Malindo Air tidak berpendapat sedemikian dan akur untuk beroperasi di klia2 pada 2 Mei ini?

Walau apa pun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menyatakan pendiriannya. Pindah! Tinggalkan LCCT yang umpama pasar malam mega. Sesak dan merimaskan. Letak kereta pun sampai ke bulatan besar. Terimalah klia2. Lebih baik, lebih selesa untuk kita semua.



JOHARDY IBRAHIM johardyibrahim@twitter.com Utusan Rencana 20140406
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments