kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

CENTHRA hadapi cabaran selepas UPR

Selepas sesi penerimaan muktamad berkaitan proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) bagi Malaysia di sesi ke 25 Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva 20 Mac baru-baru ini, isu-isu yang melingkari tuntutan-tuntutan batil Hak Asasi Manusia (HAM) terhadap Malaysia terus mendapat perhatian pelbagai pihak. Terkini, beberapa kenyataan kontroversi daripada NGO-NGO bersekutu COMANGO melalui acara sampingan yang dianjurkan di Geneva pada 21 Mac menjadi bukti betapa puak-puak yang berkepentingan dan tidak menghormati kedaulatan negara akan terus berusaha untuk mengganggu-gugat kemurnian Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan negara.

Beberapa NGO asing turut digunakan sebagai topeng untuk membuktikan tuntutan COMANGO itu kononnya disokong masyarakat antarabangsa.

Selain isu kebebasan beragama, isu yang sangat membimbangkan dan terus-menerus menjadi tuntutan yang ditekan NGO asing ialah hak golongan LGBT. Sementara hak umum semua golongan diiktiraf dan perbuatan menganiaya atau menzalimi mana-mana insan adalah dilarang dan undang-undang Malaysia sedia melindungi hak asasi setiap individu, NGO-NGO tidak bertanggungjawab tersebut terus-menerus memanipulasi isu ini untuk menghapuskan peruntukan-peruntukan jenayah yang melarang perbuatan berkaitan budaya seks songsang, termasuk dalam seksyen 377 Kanun Kesiksaan dan enakmen-enakmen syariah.

Tekanan-tekanan terhadap Malaysia yang berlaku selepas proses UPR ini tidak akan berakhir dengan penerimaan muktamad syor-syor oleh kerajaan Malaysia. Biarpun Malaysia bertegas untuk tidak menerima syor-syor yang bersifat kontroversi, namun lobi berterusan COMANGO berisiko tinggi untuk mempengaruhi pandangan awam serta perspektif dunia ke arah yang negatif terhadap negara kita.

Pada hakikatnya, hal ini telah pun berlaku apabila pada 25 November 2013, Juru lapor Khas PBB bagi Kebebasan Beragama, Heiner Bielefeldt mengkritik dan menggesa kerajaan Malaysia supaya menarik semula keputusan menghalang penggunaan kalimah Allah dalam konteks penganut Kristian.

Sebuah platform berdedikasi serta berwibawa perlu diwujudkan agar iktibar daripada tindakan COMANGO serta pengalaman semasa menyertai proses UPR di Geneva tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa strategi jangka panjang. Justeru MuslimUPRo telah mengambil langkah proaktif mewujudkan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centre for Human Rights Research and Advocacy), atau ringkasnya CENTHRA, yang akan berperanan menumpukan pada isu-isu penyelidikan dan advokasi serta latihan dan melobi perspektif Islam di pelbagai peringkat, khususnya yang terkait dengan mekanisme serta agensi-agensi ASEAN dan PBB.

CENTHRA sebagai sebuah entiti yang berdaftar di bawah undang-undang Malaysia akan memperhalusi kajian tema-tema penting di sekitar isu-isu HAM menurut pandangan Islam di samping memainkan peranan sebagai wahana untuk MuslimUPRo dan NGI berkongsi idea dan pengalaman semasa Proses UPR.

CENTHRA juga akan terus memperkasa wacana dan usaha advokasi Islam dan HAM di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa dengan pendedahan isu-isu mutakhir serta kupasan cabaran-cabaran yang melatari perkembangan perbahasan Islam dan HAM di pelbagai peringkat. Antara lain CENTHRA akan mengenal pasti ahli akademik dan aktivis NGI yang boleh diketengahkan untuk memperkasa agenda memperjuangkan isu-isu HAM dari peringkat serantau dan antarabangsa.

Perancangan terdekat MuslimUPRo melalui CENTHRA ini termasuklah mengadakan sesi perundingan di peringkat kebangsaan bagi meneliti laporan penuh UPR 2013 yang telah diterima secara muktamad pada 20 Mac lalu. Dengan sesi perundingan CENTHRA ini diharapkan dapat mengumpulkan para pemimpin NGI bersama-sama wakil ulama dan sarjana Muslim yang akan mengkaji syor-syor UPR 2013, bagi membantu pelaksanaan syor-syor bertujuan memperbaiki situasi HAM di Malaysia serta memberikan cadangan kepada pembaikan menjelang penilaian separuh penggal UPR dalam masa dua tahun.

CENTHRA harus pada asasnya memperkasa wacana Islam mengenai HAM dengan kembali mengartikulasi Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam yang diluluskan pada 5 Ogos 1990. Pandangan dalam Islam harus membimbing upaya CENTHRA untuk menzahirkan kepada dunia bahawa hak asasi manusia bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan umatnya, tetapi pada hakikatnya merupakan ajaran ke arah mencapai maksud dan tujuan penciptaan manusia dalam pandangan Islam.

Memperbaiki

Pada hemat penulis, sepatutnya tanggungjawab memperbaiki keadaan sebenar hak asasi manusia mendahului keghairahan mendapatkan pengiktirafan sebagai negara yang paling banyak meratifikasi konvensyen-konvensyen tertentu. Perkara lebih utama ialah memastikan upaya memperbaiki keadaan hidup dan memastikan hak-hak masyarakat dipertahankan dengan sewajarnya, bukan sekadar menzahirkan kepura-puraan sosial atau social camouflage, suatu istilah yang digunakan untuk mentakrifkan negara-negara yang meratifikasi konvensyen-konvensyen hak asasi manusia tetapi pada masa yang sama melakukan pelanggaran hak-hak tersebut. Inilah yang berlaku terhadap negara-negara seperti Mesir, Syria, Tunisia, Pakistan dan hatta Myanmar sekalipun.

Realiti di negara-negara tersebut berbeza jika dibandingkan dengan Malaysia yang memperbaiki keadaan sosio-ekonomi, mempertahankan hak-hak masyarakat melalui kerangka Perlembagaan Persekutuan adalah menurut maqasid syariah serta lebih menyerlah tanpa semestinya tunduk pada tuntutan meratifikasi konvensyen-konvensyen hak asasi manusia.

Pendirian bertanggungjawab Malaysia terhadap usaha memperkukuh keadaan serta melaksanakan syor-syor yang munasabah berkaitan hak asasi manusia memerlukan dokongan dan inisiatif tambahan daripada masyarakat sivil. Justeru CENTHRA selaku suara dan kuasa masyarakat sivil, khususnya daripada kalangan NGI akan berperanan dengan menguasai kemahiran berhujah dan aspek-aspek kemahiran melobi serta menjalankan mekanisme tertentu di sidang-sidang berkaitan hak asasi manusia di peringkat ASEAN dan PBB.

Berkaitan inisiatif UPR pada pusingan ketiga tahun 2017 kelak, CENTHRA telah memulakan inisiatif untuk mengemukakan laporan stakeholder yang kukuh kepada Majlis Hak Asasi Manusia yang akan menjadi asas semakan kelak. Laporan tersebut perlu mewakili pandangan sebenar majoriti rakyat tentang kemahuan-kemahuan munasabah Hak Asasi Manusia tanpa melanggari batas-batas keagamaan, Perlembagaan Persekutuan serta budaya dan sejarah negara.

CENTHRA juga berhasrat mengangkat kembali tujuan dan semangat yang melatari Perisytiharan dan Pelan Tindakan Vienna 1993 yang mengambil kira realiti agama, budaya dan sejarah sesebuah negara dalam melaksanakan prinsip-prinsip Hak Asasi Manusia. Dalam konteks Malaysia, CENTHRA perlu menjadi suara masyarakat sivil untuk terus menegur pihak-pihak seperti COMANGO agar tidak melampaui batas dan nilai agama dan budaya dalam membuat tuntutan hak asasi manusia. Malah, CENTHRA perlu menyeru hatta pihak seperti SUHAKAM sekalipun, agar tidak terbabas daripada fungsi asal melaksanakan prinsip-prinsip hak asasi manusia di negara ini, bertepatan dengan Seksyen 4(4) Akta SUHAKAM itu sendiri.

AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam dan kini mengetuai MuslimUPRo, iaitu Delegasi Pertubuhan-pertubuhan Islam ke Semakan Berkala Sejagat, Geneva, Switzerland. Utusan Rencana 20140406

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments