kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Faktor Chin Peng ke China

DI akhir coretan lalu, saya berkata Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) ketika itu, tiba di China (Beijing) pada pertengahan 1961. Mengikut intelligence Cawangan Khas, dia ke China adalah atas keputusan parti. Setelah PKM berundur ke sebelah Thailand, membangunkan beberapa kawasan baharu operasi mereka di hutan belantara yang memagari sempadan Malaysia - Thailand, PKM bertekad menyusun semula struktur parti serta mengkaji segala kelemahan dalam taktik perjuangan dan sebagainya. Bagi PKM, pengunduran ke sempadan Thailand memanglah sejajar dengan amalan strategi parti itu: selangkah ke belakang, dua langkah ke depan.

Dengan tujuan itu, sepanjang pertengahan 1950-an, kepimpinan PKM banyak membuat kajian dan beberapa keputusan dibuat. Antara yang penting ialah; memperbanyakkan keahlian parti (ahli-ahli baharu) bukan saja daripada kalangan penduduk Malaya tetapi juga penduduk Thailand terutama keturunan Cina dan Melayu di selatan negara itu; mewujudkan apa yang dibilang sekolah-sekolah parti untuk 'mengajar' ahli-ahli baharu, selain memperdalam pengetahuan ahli-ahli 'lama' parti tentang ideologi Marxisme dan perjuangan gerila; menghantar lebih ramai ahli parti ke China dan Vietnam Utara untuk mengikuti pengajian tentang teori dan taktik peperangan gerila dan ilmu serta taktik mempengaruhi masyarakat agar menyokong 'perjuangan' komunis.

Yang menariknya, kenapa parti memilih Chin Peng untuk mengetuai apa yang dinamakan perwakilan Jawatan Kuasa Pusat (JKP) PKM di China yang berpusat di Beijing. Sebagai dasar, Parti Komunis China (PKC) mewujudkan apa yang dinamakan Jabatan Perhubungan (Liaison Department) untuk menguruskan semua perkara menyentuh perhubungan PKC dengan parti-parti komunis luar negara. Ini termasuk mentadbirkan hal-hal kebajikan ahli-ahli parti komunis luar negara yang berada di China, sama ada yang tinggal dalam buangan (exile) atau atas sebab tertentu seperti menghadiri kursus politik.


Pertemuan Chin Peng (kiri) dengan Mao Tse-tung di Wuhan, China pada pertengahan 1960-an.

China sangat ketat mengamalkan dasar yang dinamakan perhubungan 'parti ke parti', semacam mereka tidak mahu Kerajaan China dilihat terbabit dalam soal kerjasama antara parti ini. Namun, dunia mengetahui di China pada zaman Mao Tse-tung, Parti ialah Kerajaan, Kerajaan ialah Parti.

Rekod Cawangan Khas banyak mendedahkan, melalui saluran Liaison Department inilah PKM menerima pelbagai jenis bantuan seperti bahan-bahan bacaan berkenaan ideologi komunis selain bantuan kewangan. Bantuan-bantuan ini telah dapat membantu PKM membiayai sebahagian daripada keperluan logistik dan persenjataan mereka semasa melawan penjajah Inggeris dan Kerajaan Malaya selepas merdeka. Siaran bahasa Melayu Radio Beijing (yang stafnya terdiri daripada orang Malaya) adalah juga di bawah kelolaan Liaison Department dari segi menentukan semua isi kandungan siarannya.

Penempatan Chin Peng ke China diputuskan setelah parti mengambil kira beberapa faktor. Terpenting ialah PKM berkehendakkan pertolongan lebih besar daripada Parti Komunis China setelah ia mengalami kekalahan teruk dalam pemberontakan bersenjata 1948. Selain daripada itu, PKM juga ingin menyelesaikan soal status sebilangan orang Cina dari Malaya yang telah 'dibuang negeri' (banished) ke China terutama semasa zaman Darurat 1948 - 1960. Bilangannya menghampiri 3,500 orang.

Selain faktor tersebut, pada masa itu PKC pula sedang menghadapi krisis dalaman akibat dasar-dasar Mao Tse-tung yang tidak disenangi sebilangan pemimpin kanan parti. PKC pimpinan Mao juga sedang bersengketa dengan Parti Komunis Kesatuan Soviet (PKKS) pimpinan Nikita Khrushchev. Apabila Khrushchev secara terbuka mengecam dengan hebatnya dasar-dasar keras Stalin pada tahun 1956, Mao dengan pantas mengecam Khrushchev. Sejak penghujung tahun 1950-an telah bermula 'perang mulut' yang hebat antara dua negara besar komunis ini.

Maka, dalam menghadapi faktor-faktor keadaan semasa inilah PKM mendapati kesesuaian Chin Peng mengetuai perwakilan JKP parti di China agar parti dapat membuat sesuatu keputusan dengan lebih jitu untuk kepentingan PKM.

Kita kembali kepada keadaan di China. Untuk mengetahui betapa peritnya kehidupan rakyat China pada penghujung 1950-an dan awal tahun 1960-an, kita ikuti kisah yang tercatat di halaman 378 buku memoir Dr. Li Zhisui, doktor peribadi Mao Tse-tung dari 1954 sehingga 1976 (tahun kematian Mao) berjudul The Private Life of Mao Tse-tung.

Kata Dr. Zhisui: "Apabila kepimpinan parti bersidang pada bulan Mei dan Januari 1961, negara sedang sengsara teruk. Rakyat di mana-mana pun nampak kurus, muka pucat, badan menggelembung kerana tidak cukup makan (malnutrition). Jalan-jalan raya kosong. Orang duduk di rumah saja kerana tidak bertenaga untuk keluar membuat kerja atau bersiar-siar. Peringkat pertama dasar memindahkan penduduk bandar ke desa-desa sudah pun dimulakan. Oleh sebab makanan tidak mencukupi (kerana dasar pertanian yang gagal) untuk dibekalkan kepada penduduk bandar, Parti Komunis China telah memindahkan sepuluh juta penduduk dari beberapa buah bandar ke desa-desa. Bagi parti, ini adalah satu cara untuk mengelak tercetusnya keadaan kacau-bilau di bandar-bandar, dan untuk mendekatkan mereka yang lapar itu kepada 'kemungkinan akan mendapat makanan'."

Tahap pertama 1949-1955 menyaksikan betapa Mao Tse-tung mula menyerlahkan sikap kuku besi apabila melaksanakan dasar Land Reform dan counterrevolutionaries secara paksaan dan kekerasan. Kerana adanya tentangan-tentangan yang konsisten daripada sebilangan pemimpin kanan PKC, Mao mengendurkan sedikit dasar Land Reform itu pada peringkat awal. Dia membenarkan tanah-tanah yang dirampas daripada landlords dibahagi-bahagikan kepada rakyat China yang tidak pernah memiliki tanah. Satu keluarga diberi tanah seluas tiga 'mu' ('mu' ialah istilah sukatan saiz tanah di China. Satu 'mu' bersamaan 0.165 ekar). Jutaan rakyat desa bergembira dengan dasar ini. Mereka mengerjakan tanah-tanah yang diberi secara pajakan itu untuk pertanian.

Dalam masa dua atau tiga tahun saja sejak dasar itu dilaksanakan, hasil gandum, jagung dan sayur-sayuran di beberapa wilayah di China meningkat berlipat kali ganda. Tetapi Mao tetaplah Mao. Dia menganggap kejayaan dalam bidang pertanian itu tidak sejalan dengan pemikirannya. Dia hendak memulakan sistem sosialis bernama collectivization yang menidakkan private ownership (pemilikan harta peribadi). Ini tidak dipersetujui oleh kumpulan pemimpin kanan.

Walau bagaimanapun, atas usaha Perdana Menteri China, Chou En-lai, Mao Tse-tung pada tahun 1956, bersetuju dengan cadangan Chou untuk menggalakkan orang awam, termasuk para cendekiawan pelbagai bidang ilmu, meluahkan pendapat mereka secara terbuka. Perbahasan terbuka ini diberi nama: "Biarkan Seribu Jenis Bunga Berkembang." Tujuannya agar kerajaan dapat menjadi lebih bertanggungjawab dan lebih peka akan kehendak-kehendak rakyat. Tetapi, di sebalik persetujuan Mao itu, dia sebetulnya mahukan perbahasan terbuka itu mengikut kehendak dan seleranya, iaitu mesti mencetuskan idea-idea bersifat sosialis.

Walaupun pada awalnya tidak ramai orang berani menyuarakan pendapat mereka, tetapi menjelang pertengahan 1957 keadaan mula berubah setelah Mao sendiri, menerusi satu ucapan awam, mendesak agar rakyat China tampil mengkritik parti dan kerajaan. Lalu, para cendekiawan dan pemikir-pemikir pelbagai bidang mulalah meluahkan pendapat mereka. Pejabat-pejabat kerajaan dan parti dihujani dengan puluhan juta surat yang mengkritik segala-galanya, temasuk terhadap diri Mao Tse-tung sendiri, apatah lagi terhadap Parti Komunis China dan kader serta pemimpin-pemimpin kanan parti.

Mao amat tersinggung tetapi menganggap kebanyakan ulasan itu karut atau tidak relevan. Dia kemudian mengakui program menggalakkan rakyat mengkritik parti dan kerajaan itu adalah helahnya saja untuk 'menarik ular-ular' supaya keluar dari sarangnya. Dia lantas memerintahkan kerajaan dan parti mengumpul data semua individu, akademik dan cendekiawan terbabit. Mao berniat menjadikan mereka sebahagian daripada senarai sasaran kempen pembersihan (purge) 'Anti-Rightist' yang bakal dilancarkannya pada tahun 1957.

Hampir 600,000 orang penama yang digelar 'ular-ular' oleh Mao, tidak berapa lama kemudian telah dikenakan tindakan struggles oleh kader-kader parti. Hampir 300,000 orang daripada mereka berakhir dengan kematian, kebanyakannya kerana diseksa. Selebihnya dikenakan hukuman 'kerja berat' di kem-kem tahanan di merata wilayah China.

Nyatalah, menjelang akhir tahun 1950-an itu, yakni setelah berjalan hampir sepuluh tahun, sebuah negara komunis bernama Republik Rakyat China berada di ambang mengulangi kesilapan dasar-dasar kekerasan - malah paksaan.

Saya akan menceritakan sedikit pemerintahan Stalin dalam coretan saya akan datang. Apa pun, rakyat China bakal mengharungi 'zaman gelap', zaman kebuluran, yang amat dahsyat dalam seluruh sejarah China. Ini gara-gara Mao Tse-tung yang nekad mahu melancarkan apa yang dibilangnya The Great Leap Forward (Melompat Ke Depan Dengan Hebat).



Utusan Rencana 20140406
Tags: chin peng, komunis, pkm, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments