kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik-Bisik Awang Selamat

Pakar menangguk...

Awang sedikit pun tidak terkejut dengan kenyataan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan menyembunyikan fakta sebenar kehilangan pesawat MH370.

Realitinya beliau pakar dalam bab menangguk di air keruh biar sekalipun menggadai maruah negara. Jika ada anugerah berkaitan hal itu, beliau boleh dinobatkan sebagai pemenangnya tanpa ada saingan sengit.

Buatlah kajian. Bukan sekali Anwar memburuk-burukkan negara, sudah terlalu banyak. Seolah-olah Malaysia tidak layak dihuni oleh manusia dan makhluk lain. Banyak boleh disenaraikan tetapi Awang cuma mahu mengambil satu contoh dalam perihal diplomatik.

Ketika hubungan Malaysia dan Indonesia tegang ekoran isu tertentu pada 2011, beliau mengambil kesempatan melonjakkan kepentingan peribadi dengan menyemarakkan sentimen anti-Malaysia. Sampaikan pada suatu tahap, Anwar sanggup memburukkan-burukkan batik Malaysia dan memuji batik Indonesia ketika berucap pada majlis di Jakarta, yang mendapat sorakan hadirin.

Strategi Anwar mudah dibaca. Beliau mahu dipuja oleh kerajaan dan masyarakat asing dengan muslihat mendapatkan sokongan luar bagi mengenakan tekanan ke atas negaranya sendiri.

Begitu juga dalam isu MH370. Beliau mahu membakar lagi sentimen kemarahan sebahagian rakyat China ke atas Malaysia selain menjaja dakwaan karut untuk tujuan mendapat populariti dunia Barat.

Maka janganlah sesiapa mengharapkan Anwar akan menjadi budiman dan mengambil sikap bertanggungjawab untuk bersama-sama menangani krisis yang dihadapi oleh negara.

Jauh beza dengan pemimpin-pemimpin utama pembangkang di negara lain yang menyerlahkan patriotisme selain bersatu hati apabila negara mereka ditimpa musibah dan krisis. Apatah lagi untuk mengkhianati negara sendiri.

Awang kasihan rakyat Malaysia kerana mempunyai Ketua Pembangkang yang songsang dan meletakkan nilai dirinya begitu rendah. Kepada Anwar, cerminlah diri. Jika mahu menyentuh soal menyembunyikan fakta, beliaulah yang sepatutnya merasa malu dan memohon maaf kepada rakyat.

Betapa banyak lagi fakta mengenai kes liwat, isu moral, integriti dan komplot termasuk untuk menggulingkan kerajaan, yang disembunyikan.

Lambat laun, semua akan terdedah. Bangkai gajah masakan ditutup dengan nyiru.

RBA terus kebal

SELAGI ‘Red Bean Army’ (RBA) tidak segera dibanteras, selagi itulah gejala memburuk-burukkan kerajaan terus berleluasa.

Tentera siber pembangkang ini digerakkan begitu tersusun. Pendedahan Presiden Pertubuhan Minda Dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao baru-baru ini mengenai RBA perlu diberi perhatian serius.

PMSP mendakwa memperoleh 800 senarai nama anggota RBA yang dibayar gaji RM3,000 sebulan bagi memperbodoh-bodohkan orang awam dengan pelbagai provokasi memburuk-burukkan kerajaan.

Dengan kata lain, RBA wujud dalam kalangan orang awam secara fizikal selain menggunakan laman sosial.

Operasi RBA itu dikatakan dibiayai oleh 20 syarikat yang mempunyai projek besar di Selangor dan Pulau Pinang. Tujuannya adalah bagi terus menyuburkan kebencian rakyat ke atas kerajaan melalui pelbagai pendekatan.

Masih segar dalam ingatan kita semua betapa dahsyatnya fitnah, tohmahan dan serangan RBA semasa PRU-13. Peranan merekalah membantu terutamanya DAP dan PKR menang banyak kerusi dalam PRU-13. Belum pernah kerja jahat sebegitu berlaku dalam sejarah politik tanah air.

Dalam insiden kehilangan pesawat MH370, RBA mengganas lagi dengan laporan yang memburuk-burukkan kerajaan dan negara sendiri. Tiada sedikit pun hati perut dan belas ihsan kepada keluarga penumpang dan anak kapal.

Ketika negara lain efisien menangani ancaman seperti itu, pihak berkuasa kita seolah-olah reda dengan RBA, yang nampaknya kebal dalam operasi halimunan mereka. Mana-mana negara yang didirikan atas tunjang demokrasi pun boleh runtuh jika komplot tentera siber ini tidak dihentikan.

Masalahnya, buatlah 1,000 pendedahan lagi berkaitan RBA, ia seperti mencurah air ke daun keladi. Tetapi Awang tidak akan berdiam.

Kaji undi PR1MA

ISU sistem cabutan undi pembelian rumah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dibangkitkan Pemuda UMNO ada logiknya.

Walaupun sistem itu digunakan untuk memastikan pengagihan secara adil, timbul rasa bimbang kemungkinan undian yang dijalankan tidak memihak kepada golongan sasar. Awang setuju dengan Ketuanya, Khairy Jamaluddin bahawa sistem cabutan itu perlu dikhaskan. Jika tidak sudah tentu golongan sasar terutama orang muda tidak berpeluang memiliki rumah di kawasan bandar. Kebimbangan sayap UMNO itu ada asasnya memandangkan setakat bulan lalu, lebih 500,000 permohonan untuk memiliki unit kediaman diterima oleh Perbadanan PR1MA Malaysia.

Sedangkan jumlah kediaman yang diluluskan untuk pembinaan iaitu 80,000 unit tidak mencukupi bagi menampung permintaan yang tinggi. Awang yakin, berikutan maklum balas Khairy, Perbadanan PR1MA Malaysia akan lebih sensitif dan mencari kaedah terbaik.

Ambil iktibar

Apa sahaja penjelasan dan alasan yang diberi, kes penculikan dua wanita termasuk warga China di Resort Singgahmata, Semporna, malam Rabu lalu, mesti diambil iktibar.

Sejak tahun 2000, sudah tujuh kejadian culik, cubaan culik dan serangan bersenjata di sekitar Semporna. Paling menggemparkan pencerobohan pengganas di Lahad Datu, yang sepatutnya menyedarkan kita.

Kejadian terbaharu ini satu lagi tamparan ketika negara menghadapi krisis besar kehilangan pesawat MH370 yang penumpangnya ramai warganegara China dan ketika Tahun Melawat Malaysia 2014.

Awang berharap pihak berkuasa dapat melakukan segera post mortem bagaimana kawalan keselamatan boleh dibolosi lagi.

Apa sudah jadi dengan kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), yang bertujuan meningkatkan lagi keselamatan dan keyakinan masyarakat?

Siapa terajui FAM?

Isu jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelang pemilihan Mei ini menjadi bualan ramai.

Awang menjunjung kasih menyokong jika Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mahu mempertahankan jawatan tersebut yang telah disandangnya 30 tahun. Sekiranya baginda mahu berundur, perlu dihormati keputusan itu.

Awang ingin mengulangi pendirian. Bagi era selepas Sultan Ahmad Shah, eloklah jika Raja dan pembesar istana mengelak diri daripada menerajui FAM lebih-lebih lagi dalam konteks landskap sukan hari ini.

Jawatan tersebut mendedahkan penyandangnya kepada kritikan meluas dan liar daripada peminat sukan dan orang ramai. Tidak wajar institusi raja dibiarkan terus menjadi sasaran tohmahan dan serangan hanya kerana isu sukan. Tanpa mahu menafikan potensi, bakat dan kebolehan sesiapa, pembesar istana sewajarnya menolak jawatan tersebut jika dicalonkan.

Tokoh dalam kalangan rakyat biasa, masih ramai, cuma tidak mendapat peluang sewajarnya. Bagaimanapun jika arus kuat daripada persatuan bola sepak negeri mahukan pembesar istana, Awang akur.

Antara calon yang menjadi perhatian ialah anakanda Sultan Pahang, Tengku Abdullah selaku Timbalan Presiden FAM dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail walaupun boleh menjadi sandaran tetapi masih muda. Atas kertas Tengku Abdullah lebih sesuai kerana hierarki dalam FAM, pengalaman dan perawakannya. Apa pun masih terlalu awal untuk mencongak, mana tahu ada kejutan berlaku.

Shila dan China

DI sebalik ledakan kemarahan keluarga penumpang MH370 warga China terhadap Malaysia, kejayaan penyanyi Shila Amzah menang tempat ketiga pertandingan nyanyian I Am Singer di Beijing, China kelmarin menyerlahkan sesuatu. Iaitu, kemarahan keluarga penumpang warga China itu tidak mewakili keseluruhan rakyat negara tersebut.

Sudah acap kali kerajaan China termasuk melalui dutanya, Huang Huikang menegaskan Malaysia tetap negara sahabat di sebalik cabaran diplomatik ekoran isu MH370.

Dengan keupayaan mengalunkan lagu dalam bahasa Mandarin (walaupun bukan bahasa ibundanya), Shila meruntun hati peminat China. Penampilan beliau mendapat sambutan positif. Program I Am Singer disertai bintang-bintang ternama dalam industri muzik antarabangsa. Finalisnya dari China, Hong Kong dan Taiwan. Kejayaan Shila sekurang-kurangnya menjawab tohmahan pihak tertentu kononnya Malaysia dipandang negatif di China.

Awang melihat Shila sebagai duta yang menjadi jambatan hubungan rakyat kedua-dua negara. Dalam kedukaan dan keresahan ini, dia menjadi penawar.



Utusan Rencana 20140406
Tags: anwar, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments