kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

NOTA ciri baharu mengundi

Kunta Kinte nak cerita sikit pasal dua pilihan raya umum (PRU) dua buah negara yang besar di dunia. Satu yang selalu disebut sebagai negara demokrasi paling besar di dunia dan satu lagi demokrasi baru. Nombor satu India dan nombor dua Indonesia.

PRU Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia baharu saja berlangsung iaitu pada 9 April lalu. PRU Dewan Rakyat India pula bermula pada 7 April dan akan berlangsung secara berperingkat sehingga 12 Mei depan sebab bilangan pengundi yang sangat ramai.

Di negara ‘raksasa’ jiran kita, mereka memiliki 186 juta pemilih berdaftar. Parlimen mereka ada 560 kerusi. Setengah juta pusat mengundi dibuka dan proses itu menelan belanja RM4.5 bilion.

Jadi kita tahulah yang demokrasi bukan mudah dan tidaklah murah. Itu pun bukan dalam semua hal dan di semua negara pilihan raya berkesan.

Protes kekalahan

Selepas pilihan raya, yang kalah tuduh tipu serta buat tunjuk perasaan macam di Thailand dan Ukraine. Di negara kita pun dah mula nampak tabiat buruk ini.

Bila menang kata rakyat bijak dan sistem pilihan raya adil. Bila kalah kata rakyat tak cerdik, kena tipu, kena suap dan sistem pilihan raya berat sebelah. Yang menang pula diam-diam buat kerja jahat tipu rakyat jelata kerana nak cepat kaya. Bila rakyat tak hormat atau tegur mereka, mereka tak suka.

Fasal itulah Kunta Kinte selalu kata, kita kena pandai serta berhati-hati amal demokrasi dan buat pilihan raya. Dalam sistem demokrasi, kitalah bos.

Kita pilih orang politik jadi ketua untuk buat perkara yang betul dan baik. Kita tak pilih mereka untuk buat yang salah dan jahat. Kalau mereka buat juga, kita wajib tegur. Kalau mereka buat tak peduli, kita buang mereka bila sampai masa mengundi.

Rakyat India dibenar tak memangkah

PRU India kali ini sangat menarik dan istimewa. Bagi PRU kali ini, ada 814 juta pengundi yang akan pilih wakil untuk 543 kerusi.

Yang Kunta Kinte kata menarik dan istimewa itu ialah buat kali pertama dalam sejarah, pengundi diberi hak untuk tak pangkah mana-mana calon, tapi undi mereka dikira sah.

Dalam erti kata lain, pengundi boleh pilih tak pangkah mana-mana calon dalam kertas undi tetapi mereka tetap dikira sebagai undi sah.

Dalam kertas undi, selain nama calon, ada satu kotak yang dipanggil NOTA iaitu singkatan kepada ‘none of the above’ atau bukan mana-mana yang disebut di atas.

Perkenal kotak NOTA

Pengundi yang tak setuju dengan mana-mana calon yang disenaraikan dalam kertas undi boleh pangkah kotak NOTA.

Dalam sistem pilihan raya biasa termasuk di negara kita kalau pengundi tak suka calon dalam kertas undi, mereka sama ada rosakkan atau tak pulangkan kertas undi.

Sebab itu dalam kiraan undi kita, ada disebut kertas undi yang dikeluarkan, kertas undi yang dipulangkan dan undi rosak.

Pada pandangan Kunta Kinte, peruntukan NOTA ini sangat logik dan berguna sebab hari ini semakin ramai pengundi tak sebulu dengan parti politik, calon atau kedua-duanya sekali.

Dengan cara itu, pengundi boleh menunjukkan protes tetapi tidak merosakkan undi. Pada masa yang sama, parti politik dan calon pula boleh tahu tahap sokongan terhadap mereka.

Hari ini, banyak negara yang amalkan pilihan raya diperintah oleh parti atau pemimpin yang sebenarnya dapat undi minoriti. Hanya sebahagian kecil saja pengundi pilih mereka tapi sebab mereka dapat undi terbanyak, mereka menang.

Peratusan merosot

Di negara maju seperti Eropah misalnya, peratus yang keluar mengundi semakin merosot sejak tahun 1960-an, sehingga ada yang terpaksa jadikan mengundi perkara wajib.

Kunta Kinte tak tahulah sama ada kita nak tiru atau tidak kaedah yang India buat itu. Tapi, macam kata tok nenek kita, yang baik jadikan teladan yang buruk jadikan sempadan.

Apa-apa pun, kita wajib selalu berfikir serta timbang cara kita berpolitik dan pilih pemimpin, sebab kalau salah pilih padahnya sangatlah buruk.

Wallahuaklam.


Berita Harian Rencana 2014/04/12 - 03:12:26 AM Kunta Kinte
Tags: pilihanraya
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments