kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Siasat dalang bocor rahsia kerajaan, tiada kompromi

PENULIS tidak pasti apakah dua wakil rakyat DAP yang membuat tuduhan kononnya "Muhyiddin hanya bekerja tiga jam tetapi bermain golf 10 jam" dalam kunjungannya ke Dubai, mempunyai pengalaman berurusan dengan pemimpin Arab, ahli perniagaan mereka atau setidak-tidaknya orang Arab.

Namun daripada cara kedua-duanya melemparkan tuduhan tersebut, penulis percaya mereka tidak ada pengalaman langsung. Bahkan mungkin tidak tahu dan tidak terdedah pun dengan budaya kerja orang rantau Timur Tengah ini.

Sepatah kata, Niresh Nathan, anak pemilik Eversendai Corporation, syarikat pembinaan milik rakyat Malaysia yang cukup berjaya di rantau Arab ini berdasarkan 30 tahun pengalaman bertapak di sini dan berurusniaga dengan mereka; "Untuk berjaya di sini, kita perlu memahami budaya mereka dan pandai menyesuaikan diri, tidak boleh sekadar ‘copy and paste’ model dari negara lain waima dari negara kita sendiri pun untuk digunakan di sini."

Bak kata pepatah, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang rimau mengaum. Walaupun penulis sendiri tidak ada pengalaman berurusan secara langsung dengan mereka, pengalaman membuat liputan di negara-negara Teluk ini membuka mata betapa masyarakat Arab cukup ‘menjaga’ budaya mereka daripada cara berpakaian, bertutur, melayan tetamu sehinggalah ke urusan bisnes apatah lagi melibatkan pemimpin negara.

Pernah berlaku acara lawatan kerja seorang pemimpin negara dibatalkan di saat-saat akhir, setelah pemimpin itu sudah pun berada di bumi Arab, gara-gara pemimpin yang hendak ditemui membuat komitmen lain di tempat lain pada masa itu. ‘Menunggu’ ketibaan pemimpin adalah perkara biasa dalam diari wartawan. Namun ia juga menjadi amalan biasa bagi pemimpin asing yang berurusan dengan pemimpin rantau sebelah sini.

Menariknya jika pemimpin yang ditemui itu ‘sebulu’ dengan mereka, layanan yang diberikan cukup mesra. Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Sheikh Nahyan Mubarak Al Nahyan, Menteri Pembangunan Kebudayaan, Belia dan Sosial UAE, serta Menteri Pendidikannya, Humaid Mohammed Al Qatami, misalnya menghabiskan masa hampir separuh hari bersama di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Dubai, walaupun pertemuan pemimpin kedua-dua negara itu berlangsung agak terlewat daripada jadual asal.

Bermula dengan kunjungan hormat, perbincangan di bilik Majlis, berjalan sejauh 50 meter ke tapak Pameran Pendidikan dan Latihan Teluk (Getex) 2014 dan merasmikannya bersama-sama, berjalan lagi melawat ruang pameran yang melibatkan penyertaan dari pelbagai negara, sebelum ke pavilion Education Malaysia - semua itu sahaja sudah memakan masa hampir tiga jam!

Itu baharu program sehari, belum dikira penyertaan pada Mesyuarat Pelaburan Tahunan (AIM) 2014 sehari sebelumnya di mana Timbalan Perdana Menteri (TPM) diberi penghormatan sebagai satu-satunya pemimpin dari negara asing, memberikan ucaptama pada forum berprestij yang dianggap ‘acara wajib hadir’ dalam kalangan komuniti perniagaan global terutama dari rantau Asia Barat.

Jadi penulis tidak pasti dari mana datangnya pengiraan yang dibuat oleh dua wakil rakyat DAP itu, melainkan kedua-duanya memang dengan sengaja mahu mencipta tanggapan buruk terhadap Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu ketika beliau sedang membawa nama baik negara di pentas antarabangsa. Gambar Muhyiddin duduk di sebelah Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammad Rashid Al Maktoum, terpampang di muka depan hampir kesemua akhbar tempatan di Dubai, cukup menjadi bukti lawatan beliau bukan main-main.

Memang ada agenda main golf tajaan ahli perniagaan Malaysia yang berjaya di bumi kaya minyak ini hasil hubungan baik kerajaan Malaysia dengan kerajaan UAE. Satu lagi acara golf pula ditaja oleh Tourism Malaysia sempena promosi Tahun Melawat Malaysia. Pejabat TPM sendiri tidak menafikannya, sebagai salah satu acara ‘business networking’ dengan ahli-ahli perniagaan yang diatur dan memang difahami oleh golongan korporat.

Penulis percaya dua ahli Parlimen pembangkang itu pun memahami tujuannya tetapi mereka buat-buat tak faham. Yang penting ada bahan untuk dieksploitasikan. Ada cerita pemimpin kerajaan yang boleh jadi modal sunggingan dan songehan politik murahan. Betul atau salah bukan soalnya. Mujurlah pejabat TPM cepat-cepat memberi penjelasan. Walaupun penyokong pembangkang akan tetap dengan dasar pembangkang, tidak akan menerima apa pun penjelasan kerajaan, setidak-tidaknya rakyat mendapat pencerahan dan tidak dibiarkan fikiran mereka diracuni oleh dakyah dan fitnah.

Secepat pejabat TPM memberi penjelasan, penulis berharap secepat itulah juga tindakan diambil oleh pihak berkuasa untuk menyiasat dalang yang membocorkan jadual lawatan kerja pemimpin negara itu. Lebih-lebih lagi jika ada orang dalam yang terlibat. Draf awal, draf akhir atau dokumen yang belum dimuktamadkan, bukan soalnya. Ia lebih daripada itu.

Hakikatnya, ada pihak yang telah membocorkan jadual pergerakan pemimpin kedua tertinggi dalam kerajaan, yang boleh menjejaskan keselamatan beliau ketika berada di luar negara. Dan dalam hal ini, soal keselamatan sama sekali tidak boleh dikompromi!



Marhaini Kamaruddin Utusan Rencana 20140412
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments