kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Akhiri derita kanak-kanak

PERBICARAAN pasangan dari Malaysia Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Nor Shal di Sweden berakhir pada hujung Mac lepas walaupun keputusannya tidak begitu menggembirakan kita semua.

Mereka didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Solna di Stockholm yang menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan ke atas Azizul Raheem, manakala Shalwati dihukum penjara 14 bulan kerana memukul anak-anak mereka pada Disember tahun lepas.

Azizul Raheem yang merupakan Pengarah Tourism Malaysia di Sweden dan Shalwati, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan pada 18 Disember tahun lalu untuk membantu siasatan kerana didakwa memukul tangan salah seorang anak mereka yang tidak bersolat.

Tiada apa yang boleh dilakukan selain menghormati keputusan mahkamah di Sweden itu walaupun kebanyakan kita tidak berpuas hati. Ini kerana mahkamah mereka tidak menilai agama sebagai undang-undang dan cara hidup sekali gus menolak hujah anak-anak di bawah usia 12 tahun dibenarkan dipukul bertujuan mendidik.

Apatah lagi bagi pasangan itu hidup di luar negara yang mana Islam adalah agama terpinggir dan pergaulan bebas dan liberal adalah satu kebimbangan. Kebanyakan kita melihat tindakan mereka memukul anak-anak adalah satu keperluan untuk mendisiplinkan diri dalam menetapkan jati diri sebagai umat Islam.

Perkara itu bagaimanapun tidak diterima oleh masyarakat Barat yang melihatnya sebagai satu perbuatan kejam. Walhal dalam norma mana-mana masyarakat adakalanya ibu bapa perlu tegas kepada anak-anak dan terpulang kepada cara mereka mendidik.

Namun itu adalah cara Sweden merencana sesuatu yang dilihat baik bagi mereka serta mampu melindungi hak dan keperluan warganya. Dan sudah tentu jika mereka tidak nampak kebaikan Islam sebagai agama yang suci sudah tentu mereka tidak akan faham kenapa adakalanya kita dibenarkan bertindak tegas kepada anak-anak.

Namun itu adalah kisah di Sweden tetapi saya sebenarnya begitu terkesan dengan berita-berita penganiayaan dan penderaan kanak-kanak yang berlaku di negara kita sekali gus terdetik di hati kenapa begitu kejam sekali perlakuan manusia yang bertopengkan haiwan ini.

Tergamak mereka membuang begitu sahaja insan kecil tidak berdosa ini seperti yang berlaku melibatkan bayi berusia empat tahun yang dipercayai mangsa dera di tepi Jalan Batu 14, Hulu Langat pada 5 April lepas. Ketika ditemui bayi berkenaan masih memakai lampin pakai buang dan sehingga kini tiada laporan berhubung kes kanak-kanak hilang direkodkan.

Mangsa dera

Begitu juga nasib seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan yang mengalami pendarahan otak dipercayai akibat didera di Kampung Seri Perkasa, Hutan Melintang pada awal Mac lepas.

Berikutan itu polis telah menahan ibu kandung mangsa dan teman lelakinya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kita juga masih tidak boleh melupakan kejadian yang berlaku kepada seorang kanak-kanak perempuan yang baru berusia dua tahun, Nursyafiqah Adawiyyah Abdullah yang ditemui mati dibunuh dengan kejam di sebuah rumah tidak berpenghuni di Taman Permint, Seri Paka Fasa Dua, Dungun awal tahun ini.

Polis kemudiannya mengesahkan empat orang termasuk ibu kanak-kanak malang itu telah ditahan dalam usaha menyelesaikan kes berkenaan.

Lebih menakutkan berdasarkan statistik, sebanyak 122 kes pembunuhan melibatkan golongan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dilaporkan di seluruh negara sejak lima tahun kebelakangan.

Menurut laporan yang pernah disiarkan oleh pasukan laporan khas Utusan Malaysia, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih 80 peratus daripada jumlah kes itu melibatkan pembunuhan yang berunsurkan penderaan seksual.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, seramai 18 kanak-kanak menjadi mangsa kes bunuh pada 2009, diikuti 2010, 21 orang; 2011 (31); 2012 (26); 2013 (24) dan tahun ini beberapa kes direkodkan.

Maka timbul persoalan apa janji kita sebagai rakyat Malaysia dalam melindungi masa depan dan hak kanak-kanak untuk hidup seperti yang pernah dilalui oleh kita semua. Apakah kita berbangga dengan menjadi sebuah negara Islam tetapi dari segi perundangan dan perlindungan kita tertinggal jauh berbanding Barat.

Bagi Azizul Raheem dan Shalwati usaha mereka umpama jihad kerana terpaksa meringkuk dalam penjara demi memastikan akhlak dan tingkah laku anak-anaknya tetap terpahat sebagai Islam dalam merintangi cabaran menetap di luar negara.

Tetapi adalah malang di negara sendiri hak dan keselamatan anak-anak ini masih belum terjamin kerana terdapatnya manusia berhati haiwan serta sistem perundangan lemah dan lopong yang memungkinkan perlakuan keji ini senantiasa berlaku dari semasa ke semasa.

Mungkin sudah sampai masanya kita menjadi seperti Sweden, yang begitu membela anak-anak kecil, tetapi pada masa sama kita mempunyai acuan sendiri dalam menjadikan Islam sebagai panduan sekali gus menjadikan agama itu dan umatnya lebih dihormati di mata masyarakat dunia.



Hafizahril Hamid Utusan Rencana 20140413
Tags: anak, dera
Subscribe

  • Tujuh petua berucap depan khalayak

    SATU daripada perkara yang leceh dan paling dirungutkan ialah bila kena berdiri di hadapan orang ramai untuk membuat pembentangan atau berucap…

  • Five Tips For Better.....

    Five Tips for Better Car Sex Car sex isn’t as easy as it sounds – especially if you’re on the go. Having car sex is great fun…

  • Petua Tahan Lama

    KELAPA PARUT Untuk lebih tahan lama, selama 2 tahun. Belah kelapa dan ambik sebelah sahaja. Gunakan sebelah pada 31 December 2010, dan sebelah…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments