Berbeza dengan filem, watak Dr. David Banner (lakonan Bill Bixby) yang merupakan seorang ahli fizik dan saintis, yang disangka telah mati, mengembara ke seluruh Amerika Syarikat menggunakan nama samaran, dan selalu membantu orang lain.
Masalahnya, Dr. Banner memiliki rahsia yang sukar. Bila dalam keadaan tersangat marah, dia akan bertukar menjadi makhluk gergasi berwarna hijau dinamakan The Hulk.
Lazimnya sewaktu situasi tegang, Dr. Banner akan memberi amaran Dont make me angry. You wouldnt like me when Im angry." (Jangan buat saya marah. Awak tidak akan suka bila saya marah).
Dan tentulah orang yang diberi amaran itu kebanyakan masa tidak mengendahkannya dan terus memukul atau menembaknya. Dan kemudian, The Hulk muncul.
Ayat lazim Dr. Banner di atas, kekal menjadi frasa amaran awal kepada sesiapa yang berpotensi mencetuskan kemarahan orang hijau dalam diri, sekurang-kurangnya bagi generasi saya.
Apakah antara isu-isu yang boleh mengakibatkan kemarahan anda? Berikut adalah 10 faktor penyebab kemarahan:
1. Janji manis
Anda dihubungi sahabat. Aku nak bawa kau ke Langkawi bulan depan. Aku ajak Leman sekali, kata sahabat. Seminggu kemudian, dia telefon semula. Tak jadilah bawa kau. Leman nak bawa adik dia. Maka tiket kau dah diambil adik dia.
Siapa yang datang menawarkan tiket ke Langkawi? Siapa pula benarkan Leman bawa adik? Kalau sudah berjanji, penuhilah. Tidak pedulilah Leman hendak bawa adik atau ibu bapanya sekali pun. Janganlah ubah sesuka hati demi nak jaga kroni.
2. Alasan tidak masuk akal
Setelah membaca kertas cadangan, syarikat A secara verbal menyatakan persetujuan untuk menyumbangkan hamper kepada pasukan bola Penghuni Gua FC. Selang beberapa hari, diutus e-mel mengatakan tidak jadi bagi hamper kerana takut disaman FIFA.
Oleh sebab tiada persetujuan bersurat, Penghuni Gua FC pun tidak boleh buat apa-apa, walaupun sangat aneh kerana pasukan itu sudah terkeluar daripada kejohanan Piala Juara-juara dan tidak akan berada di kelompok Top 4. Mana mungkin FIFA peduli pun?
3. Anggota pasukan pandai cakap
Akan ada dalam mana-mana organisasi seorang watak yang sentiasa pandai bercakap dan banyak cakap tetapi buat kerja tidak serupa bikin. Masa bentangkan laporan macam calon pilihan raya. Saya sudah jumpa menteri..." atau Saya cakap sendiri kepada Tan Sri..." Yakin pasti projek akan dapat.
Tetapi bila masa deadline, dia dengan selamba menyatakan dalam WhatSsap proposal ditolak. Ternyata kekaguman kita semasa dia bercakap dulu, terus meluncur ke longkang. Propa sahaja lebih.
4. Orang ditunggu tiba lewat
Oleh sebab dia hendak datang bertemu ketua, maka kita pun tamatkan mesyuarat kita dengan segera supaya tidak memalukan ketua. Tetapi tunggu punya tunggu, dia tiba sejam lewat. Orang macam ini patut dimaki hamun depan pintu kerana membuang masa orang lain.
5. Tengah marah makin dicucuk
Bila bekerja dalam kelompok ramai, eloklah guna kesemua panca indera anda untuk mengetahui sama ada seseorang itu sedia untuk bertegur, bergurau atau tidak. Kalau muka sudah tegang, dahi berkerut, janganlah diketawakan pasukan Penghuni Gua yang disokongnya. Ini boleh dikategorikan provokasi melampau, yang boleh mendatangkan tindak balas fizikal.
6. Wateva!
Wateva atau What Ever bermaksud apa-apa sahajalah adalah ungkapan popular hari ini, sebagai satu bentuk jawapan selamba, sarkastik (dan biadap). Kalau seseorang itu bukan dalam nada bergurau dan terutamanya sedang bercakap tentang hal-hal tugasan, elaklah daripada menggunakan Wateva.
7. Rakan sekerja yang santai
Di kala anda prihatin kepada aspek Petunjuk Utama Prestasi (KPI) dan berusaha keras meningkatkan mutu kerja, anda dapati rakan sekerja lain tidak pula obses mengenai KPI. Mereka berebut-rebut hendak cuti, tiap bulan nak melancong dan tidak kisah pun hendak sediakan laporan tetap mingguan. Kenapa anda tidak boleh jadi seperti mereka?
8. Rakan sekerja buat kerja seadanya
Golongan ini pun ramai. Diberi tugasan cuci tingkap. Dia bersihkan cermin tingkap. Cantik. Berkilat. Tapi dia tidak sentuh kerangka tingkap dan tirai. Kalau jumpa cermin retak pun dibiarkan. Tiada masalah sebab tugasan utama ialah cuci tingkap. Bukan ganti cermin atau alihkan tirai.
9. Orang cetus kemarahan buat tidak tahu
Sama ada disengajakan atau tidak, golongan ini seolah-olah menganggap bikin orang marah adalah suatu seni agung dan anda harus memahami, menerima dan menghargai seninya itu. Dia buat orang marah dengan pelbagai cara. Sindiran mulut atau pinjam duit tidak mahu bayar.
10. Mengkritik guna media sosial
Bab yang ini, memang lawak. Untuk Facebook dan Twitter, acap kali orang yang mengkritik dengan orang yang dikritik ada dalam akaun masing-masing. Tanpa menamakan sasarannya, yang mengkritik menghamburkan kutukan dan rungutan di media sosial. Masalahnya, orang yang dituju tidak pun tahu. Orang lain pula terbaca dan terasa. Kenapa tidak secara langsung? Takut. Tapi tak takut guna media sosial. Hebat.
Johardy Ibrahim Utusan Rencana 20140413