kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Anwar - Mangsa Pedakwaan Yang Rakus

 

Feb 9 - Telah hampir 16 tahun saya berkhidmat sebagai seorang peguamcara jenayah. Sepanjang tempoh ini, pengalaman saya boleh dikatakan cukup luas dalam membela orang tertuduh dalam kes-kes jenayah salahlaku seks. Suatu yang agak nyata dari pengalaman saya, pihak berkuasa tidak akan sama sekali membuat pendakwaan jika bukti perubatan tidak berpihak kepada mereka. Ianya seakan suatu peraturan - atau syarat sah dalam bidang perundangan bagi kes-kes rogol mahupun kes liwat - bukti perubatan adalah merupakan oksigen kepada pihak pendakwa.

Dari pengamatan saya, peraturan atau syarat sah tersebut tidak langsung digunapakai dalam perbicaraan Fitnah 2 Anwar Ibrahim yang sedang berlangsung. Apabila si tertuduh itu adalah Anwar Ibrahim, maka peraturan yang ada akan terus bertukar secara drastik dengan tiba-tiba. Apabila yang didakwa adalah Anwar Ibrahim, pihak pendakwa tidak lagi perlu mengukur keupayaan mereka terhadap kes mengikut bukti-bukti yang ada. Apabila yang dibicarakan adalah Anwar Ibrahim, pihak pendakwa - tidak akan memperdulikan apa pun yang berlaku, akan terus meneruskan pendakwaan dan perbicaraan tanpa mengambil kisah samada dengan kelemahan bukti yang ada mahupun langsung ketiadaan bukti!!

Satu-satunya jenayah yang telah Anwar lakukan dalam kes Fitnah 2 ini adalah kerana namanya Anwar Ibrahim.

Saya percaya jika si tertuduh itu bernama Ibrahim Anwar atau mana-mana Ibrahim sekalipun yang didakwa meliwat Saiful, pihak berkuasa tidak akan mendakwa si tertuduh itu berdasarkan bukti laporan perubatan yang disediakan oleh para doktor dari kedua-dua Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI) dan juga dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kedua-dua laporan tersebut, seperti yang dinyatakan kepada saya oleh barisan peguam Anwar mengandungi bukti secara jelas dan nyata yang tidak berpihak kepada pihak pendakwa, iaitu pengesahan bahawa tiada langsung kesan kemasukan yang zahir (no visible penetration) pada dubur Saiful. Malah, laporan Hospital Kuala Lumpur telah disahkan dan ditandatangani oleh tiga orang pakar perubatan. Maka, laporan-laporan perubatan yang ada di dalam tangan pihak pendakwa sekarang merupakan hasil laporan yang disahkan oleh empat orang pakar perubatan (satu dari PUSRAWI dan tiga dari HKL) yang menafikan teori pihak pendakwa bahawa Saiful telah diliwat oleh Anwar.

Persoalan yang ditimbulkan kepada Peguam Negara adalah, walaupun dengan terdapatnya bukti-bukti yang cukup jelas dan nyata ini, mengapa pihak pendakwa berkeras untuk meneruskan pendakwaan terhadap Anwar? Jawabannya cukup jelas, ianya adalah kerana si tertuduh adalah Anwar Ibrahim. Apabila yang dibicarakan itu adalah Anwar Ibrahim, biar pun ada beratus-ratus laporan perubatan yang membebaskan Anwar pihak pendakwa tidak akan ambil peduli.

Bagi kebanyakan orang, persoalan ini pastinya akan timbul di benak kepala. Adakah bukti perubatan ini penting dan signifikan dalam perbicaraan Anwar? Jawaban kepada persoalan ini adalah jelas dan nyata - ya, ia penting dan signifikan. Seperti yang telah saya nyatakan di atas, bukti perubatan (dalam kes-kes jenayah salahlaku seks) merupakan oksigen kepada kes pihak pendakwa. Apabila ketiadaan atau berlaku kerosakan kepada bekalan oksigen ini, kes-kes pihak pendakwa akan terbantut dan mati.

Bagi kes-kes jenayah salahlaku seks, peraturan perundangan (rule of prudence) seperti yang diamalkan oleh peguamcara dan peguambela - bukti dari keterangan pengadu sahaja sememangnya tidak memadai. Bukti tersebut haruslah disokong dan disahihkan (corroborated) oleh lain-lain bukti yang bebas (independent evidence).

Jika dipakaikan di dalam perbicaraan Anwar, bukti keterangan Saiful sahaja sememangnya tidak mencukupi untuk membolehkan Anwar didapati bersalah. Bukti keterangan Saiful harus disokong dan disahihkan (dengan lain-lain bukti). Tidak semua kes-kes jenayah memerlukan bukti sokongan dan bukti sahih. Tetapi, bagi kes-kes jenayah salahlaku seks, pembuktian sokongan adalah amat penting untuk menyokong wujudnya perlakuan liwat seperti yang didakwa.

Mengapa perlu adanya pembuktian sokongan bagi kes-kes jenayah salahlaku seks? Pengamal perundangan bersetuju bahawa ianya perlu kerana jenis dan sifat kesalahan salahlaku seks itu sendiri. Dalam mana-mana kes rogol atau liwat, adalah cukup mudah untuk seseorang itu dituduh oleh seorang yang lain, tetapi sebaliknya adalah amat sukar untuk orang yang dituduh untuk menafikan tuduhan tersebut.

Dengan begitu jelas telah dapat kita lihat walaupun sebelum mahkamah menjatuhkan sebarang hukuman terhadap Anwar, bahawa berdasarkan liputan media yang dibuat oleh Utusan dan lain-lain media kepunyaan BN, Anwar telahpun dihukum bersalah oleh juri-juri ini. Liputan media tersebut berniat cukup jahat dan membuatkan orang tertanya-tanya, samada maruah Anwar mahupun ahli keluarganya diambilkira oleh media-media yang tidak bertanggungjawab ini.

Undang-undang yang ada dengan jelas mengatakan bahawa jika anda menuduh seseorang meliwat anda, anda dikehendaki memberi bukti sokongan dan bukti sahih untuk menyokong tuduhan anda. Kerana itulah dalam undang-undang jenayah Islam apabila seseorang dituduh melakukan liwat, pihak pendakwa wajib untuk memiliki empat orang saksi yang secara nyata melihat kemasukan (ke dalam dubur mangsa). Ini menunjukkan Islam begitu mengambil berat akan pembuktian sokongan.

Di dalam undang-undang Islam juga, tahap pembuktian dalam kes-kes liwat adalah amat tinggi sehinggakan pihak pendakwa harus membuktikan pertuduhan mereka dengan jelas dan langsung tanpa sebarang syak mahupun wasangka manakala tahap pembuktian dalam undang-undang sivil pula hanya memerlukan tanpa sebarang wasangka yang munasabah (beyond reasonable doubt). Maka dalam Islam, sebarang wasangka walaupun sekelumit mana akan memihak kepada si tertuduh berdasarkan kepada pernyataan bahawa “kesalahan hudud akan dihentikan (pendakwaannya) bilamana wujud syak dan wasangka walaupun sedikit”. Islam berpandangan bahawa adalah lebih baik jika seseorang hakim itu tersilap dalam membebaskan 10 orang yang bersalah dari tersilap menghukum walau seorang yang sebenarnya tidak bersalah.

Dalam sebarang kesalahan meliwat, seperti juga kesalahan merogol, elemen utama yang amat perlu dibuktikan oleh pihak pendakwa adalah perbuatan kemasukan (ke dalam dubur atau faraj) itu sendiri. Dalam perundangan Islam juga, elemen yang serupa juga perlu dibuktikan oleh pihak pendakwa dengan terang dan jelas.

Jadi, bagaimana boleh pihak pendakwa membuktikan wujud elemen kemasukan jika mereka tidak mengeluarkan bukti-bukti laporan perubatan (di mahkamah?) Dan apalah gunanya bukti-bukti laporan perubatan itu kepada pihak pendakwa jika ia secara terang menyatakan bahawa tiada kesan kemasukan ke dalam dubur Saiful? Bukti-bukti laporan perubatan sepatutnya menjadi pembuktian sokongan kepada bukti keterangan Saiful tetapi dalam kes ini, bukti-bukti laporan perubatan yang sama sebenarnya membebaskan Anwar dari pertuduhan yang ada. Peraturannya amat mudah sekali: tiada kemasukan, tiada pertuduhan. Tetapi pejabat Peguam Negara seolah-olah berpendapat bahawa, ya, benar tiada kemasukan tetapi pertuduhan akan tetap diteruskan!!

Semestinya jika Anwar dibicarakan di bawah undang-undang Islam, pertuduhan yang difitnahkan terhadapnya tentunya tidak akan diteruskan. Melihat kepada keterangan Saiful di mahkamah setakat ini, umum pasti akan akan merumuskan bahawa pertuduhan yang dikenakan itu sememangnya langsung tidak berasas atau hanya fitnah jahat semata.

Peguam Negara sepatutnya menunjukkan tahap profesionalisma dan integriti yang tinggi dalam kes Anwar ini. Kejujuran intelek mewajibkan pihak pendakwa untuk menarik balik pendakwaan terhadap Anwar Ibrahim. Cukup. Menuduh seseorang tanpa bukti-bukti yang jelas merupakan suatu kesalahan pendakwaan dan pembaziran wang rakyat.

Episod Peguam Negara dijadikan alat kepada ahli politik yang jahat dan zalim sepatutnya telah berlalu selepas tsunami pilihanraya 2008.

 

Mohamed Hanipa Maidin merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Penasihat Undang-Undang PAS. Beliau juga adalah seorang peguam yang berpengalaman dan berblog di peguampas.blogspot.com


via "SABAK BT4"
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments