kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Stalin, Mao sama kejam

Mao Tse-tung ialah penyokong kuat Joseph Stalin, pemimpin komunis yang memerintah negara Kesatuan Soviet dari tahun 1925 sehingga kematiannya pada 1953. Dia lahir di Georgia, sebuah negeri di bawah takluk kerajaan beraja (Czar) Rusia pada 18 Disember 1879. Nama asalnya Iosif Vissarionovich Dzhugashvili, kemudian semasa mengikuti revolusi komunis Rusia dia menukar kepada nama Joseph Stalin (‘stalin’ bermakna besi dalam bahasa Rusia). Bapanya tukang kasut, manakala ibunya pencuci pakaian.

Dari segi sikap kediktatoran tiada banyak perbezaan besar antara kedua-dua pemimpin komunis ini. Mao Tse-tung memerintah China selama 27 tahun, sedang Stalin 28 tahun di puncak kuasa Kesatuan Soviet. Stalin 14 tahun lebih tua daripada Mao. Kedua-duanya dilahirkan pada bulan Disember.

Ibu Stalin hendakkan dia menjadi paderi agama Kristian Ortodoks apabila pada umur 9 tahun dia dimasukkan ke sekolah gereja di kampungnya Gori di Georgia. Dia mendapat biasiswa bagi meneruskan pengajiannya di sebuah maktab untuk latihan menjadi paderi (Theological Seminary) di bandar Tiflis pada 1894. Tetapi, semasa di maktab ini, Stalin telah mula menjinakkan diri dengan fahaman Marxisme menerusi beberapa kenalan yang telah memberinya penulisan-penulisan Marx dan Engels. Dia meninggalkan maktab itu pada 1898 untuk menyertai pergerakan revolusi Bolshevik di Rusia sepenuh masa. Sebelum kejayaan Revolusi Bolshevik pada Oktober 1917, Stalin pernah beberapa kali ditangkap oleh pihak berkuasa Rusia dan ‘dibuang negeri’ ke wilayah Siberia.

Menyentuh diri Mao Tse-tung pula, saya petik kata-kata penulis pasangan Jung Chang - Jon Halliday di halaman 3 buku mereka berjudul Mao The Unknown Story: “Mao Tse-tung, yang untuk beberapa dekad memegang kuasa mutlak terhadap nyawa manusia yang bilangannya menyamai satu perempat daripada penduduk dunia, bertanggungjawab atas kematian lebih daripada 70 juta manusia (rakyat China) pada masa aman; ini mengatasi perbuatan mana-mana pemimpin lain di dunia di abad kedua puluh."


Mao Tse-tung berdiri di sebelah kanan Stalin (memakai uniform tentera) semasa majlis
sambutan hari jadi Stalin ke-70, pada Disember 1949 di Moscow.


Jung Chang juga terkenal dengan sebuah lagi buku karangannya berjudul Wild Swans, mengisahkan kesengsaraan yang menimpa keluarganya semasa menghadapi gerakan Revolusi Kebudayaan di China pada pertengahan kedua tahun 1960-an. Dia sendiri pun, katanya, sebagai murid sekolah berumur 14 tahun, telah diarahkan menyertai Red Guards (Pengawal Merah) yang digunakan Mao Tse-tung sebagai ‘senjata’ untuk menggerakkan Revolusi Kebudayaan di seluruh pelosok China.

Mao dilahirkan pada 26 Disember, 1893 di sebuah kampung bernama Shaoshan, wilayah Hunan di utara wilayah Guangdong selatan China. Dia ialah anak ketiga daripada lima beradik. Bapanya memberi nama ‘Tse’ bermakna ‘menyinari’, sedang ‘tung’ ialah ‘arah timur’. Jadi, ‘Tse-tung’ membawa erti ‘menyinari arah timur’. Semasa ditemu ramah oleh Edgar Snow (seorang peminat ajaran Marx), pengarang buku Red Star Over China, Mao ada berkata dia boleh dikira ‘terpelajar’ dalam kalangan ahli keluarganya kerana dia sangat suka membaca bahan-bahan bacaan klasik Cina seperti sejarah tentang pemberontakan rakyat terhadap pihak berkuasa dan pemerintahan maharaja China.

Pada umur awal belasan tahun, Mao telah diberhentikan mengikuti sekolah dasar oleh bapanya dan disuruh bekerja sepenuh masa di ladang bapanya. Tetapi Mao meneruskan persekolahannya secara persendirian sampai dia mencapai umur 17 tahun apabila dia berhijrah ke bandar Changsha, ibu kota Hunan untuk meneruskan persekolahan. Di Changshalah, Mao mula terdedah kepada pengaruh pergolakan politik di China kerana pada masa itu, negara China berada di ambang revolusi pihak Republikan yang dipelopori parti Kuomintang (nasionalis). Ia bertujuan menamatkan pemerintahan beraja di China yang telah berjalan sejak lebih 2000 tahun.

Mao telah dibawa oleh arus kegiatan politik sama ada secara terbuka atau terselindung. Ini termasuk mengetuai Institut Latihan Pertanian untuk Petani di bawah kelolaan Parti Kuomintang di Changsha, walaupun Mao pada masa itu - awal tahun 1920 - telah menganggap dirinya seorang Marxis. Mao juga salah seorang daripada sekumpulan pemuda Marxis yang menubuhkan Parti Komunis China (PKC) pada Julai 1921.

Sementara itu, V.I Lenin, pengasas negara Kesatuan Soviet, meninggal dunia tiga tahun selepas tertubuhnya PKC. Tempat Lenin diambil alih oleh Stalin setelah dia berjaya secara kekerasan dan tipu helah mengalahkan musuh-musuh politiknya terutama kumpulan yang diketuai Leon Trotsky, salah seorang pemimpin kanan dan rakan karib Lenin semasa melancarkan Revolusi Bolshevik 1917. Ahli sejarah mengatakan, Mao Tse-tung sejak dari mula sangat mengagumi kepimpinan Stalin dan dasar-dasar yang diperkenalkannya semasa memerintah Kesatuan Soviet.

Pemerintahan Stalin termasyhur dengan rekod pembunuhan dan kesengsaraan rakyat Soviet. Pokoknya, ada dua sebab utama Stalin membunuh rakyat Soviet: pertama, terhadap orang yang dikatakan hendak menjatuhkan kedudukan politiknya; kedua, terhadap mereka yang dikatakan cuba menggagalkan dasar-dasar yang telah ditetapkannya. Mangsa kekejaman Stalin adalah kalangan orang politik dan pegawai-pegawai kerajaan (termasuk tentera) di pelbagai peringkat.

Episod kezaliman Stalin sering dinamakan The Great Terror (Keganasan Yang Hebat) atau The Great Purge (Pembersihan Yang Hebat) yang dilancarkan pada tahun 1934 sehingga 1938. Cara Stalin melaksanakan dasar ini adalah dengan mengadakan apa yang disebut show trials (perbicaraan palsu) di mana musuh-musuh politiknya atau pegawai-pegawai awam terbabit (termasuk tentera) dipaksa membuat pengakuan bahawa mereka terlibat dalam kegiatan yang menyalahi kepentingan negara. Menerusi siri-siri perbicaraan palsu itu, Stalin berjaya menghapuskan musuh-musuh politiknya, walaupun sesetengah daripada mereka adalah rakan karibnya sendiri.

MENENTANG

Ahli sejarah tidak dapat merumuskan dengan tepat bilangan rakyat Soviet yang dibunuh oleh Stalin semasa The Great Terror itu. Sesetengah berpendapat bilangannya menghampiri 20 juta orang, tetapi angka ini didapati termasuk mereka yang terkorban di wilayah Ukraine dalam tempoh dua tahun 1932 - 1933 kerana kebuluran. Rakyat Ukraine pada masa itu menentang dasar pertanian collectivization yang hendak diperkenalkan oleh Stalin. Mereka lebih suka mengamalkan cara pertanian tradisional yang berasaskan pemilikan tanah oleh individu. Ini telah menyebabkan Stalin bertindak balas dengan cara meningkatkan berlipat ganda jumlah kuota hasil pertanian (terutama gandum) untuk disumbangkan oleh penduduk Ukraine kepada kerajaan pusat (Moscow). Kesannya; hampir tujuh juta penduduk Ukraine mati kebuluran dalam tempoh itu dan ia juga telah mematahkan tentangan mereka terhadap dasar collectivization Stalin.

Seperti yang saya katakan, kekejaman Stalin tidak hanya terhadap orang awam, malah tentera Soviet pun turut menjadi mangsa. Ada sumber menganggarkan, semasa tindakan The Great Purge itu, seramai 35,000 pegawai telah dibunuh atau dikenakan hukuman ‘kerja berat’ atau ‘dibuang negeri’ ke wilayah Siberia. Mereka termasuk sebilangan jeneral yang berpengalaman. Kononnya, ini telah menyebabkan timbulnya keadaan di mana tentera Soviet, semasa Perang Dunia Kedua, terpaksa berpada-pada dengan angkatan pegawai sama ada yang sudah larut umur atau relatif muda tetapi tidak berpengalaman dalam menghadapi kemaraan tentera Nazi Jerman di perbatasan. Kesannya banyak menjejaskan kecekapan military leadership di pihak tentera Soviet. Ini telah terbukti apabila tentera Jerman berjaya membolosi banyak benteng pertahanan Soviet pada peringkat awal kemaraan Jerman.

Dalam coretan akan datang, saya akan melanjutkan sedikit lagi kisah-kisah kekejaman pemerintahan Stalin sambil menarik perhatian pembaca kenapa Mao Tse-tung sangat mengagumi kepimpinan dan pemerintahan Stalin. Jika ada ruang, akan diceritakan bagaimana Chin Peng mengorak langkah rubbing shoulders dengan pihak-pihak yang berwibawa di Beijing.



Abdul Rahim Noor Utusan Rencana 20140413
Tags: komunis, mao, sejarah
Subscribe

  • Unhappy over unfair competition

    I WOULD like to express my thoughts on a public speaking competition organised by the Girl Guides Association Malaysia, that was held recently. I…

  • Manusia Tanpa Kemanusiaan

    Manusia dan kemanusiaan harusnya seiring. Kata orang lama di tempat saya , manusia tanpa kemanusiaan umpama haiwan atau binatang. Sejak kecil…

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments