Dari dulu hingga kini, tanggapan mengenai kesukaran menguasai subjek Sains dan Matematik tidak pernah hilang.
Berikutan itu, ramai yang tidak menunjukkan minat terhadapnya. Ada pihak berpendapat subjek berkenaan hanya sesuai untuk pelajar bijak manakala pelajar bertahap sederhana ataupun lemah memadai jika sekadar lulus.
Kita sedia maklum, pelbagai usaha sudah dan sedang dilakukan, namun penolakan terhadap kedua-dua subjek itu masih ketara menyebabkan timbul suatu pertanyaan, apakah langkah yang harus dilaksanakan lagi?
Bagaimanakah caranya untuk menjadikan subjek Sains dan Matematik lebih seronok, sekali gus mengatasi masalah pelajar aliran sains yang semakin merudum bilangannya?
Koordinator Jaringan Industri dan Alumni, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA, Dr Zaibunisa Abdul Haiyee berkata, perasaan suka dan keseronokan itu perlu diterapkan dari awal supaya pelajar tidak terpengaruh dengan persepsi salah mengenainya.
Menurutnya, pemahaman yang terbentuk akibat persepsi salah boleh meninggalkan kesan jangka panjang menyebabkan pelajar membina jurang antara subjek berkenaan dengan subjek lain.
“Pengukuhan pemahaman awal boleh menjadi pemangkin untuk memperbetulkan persepsi berkenaan, selain mengelakkan pelajar daripada dibelenggu rasa terkejut.
“Ia bermaksud mereka tidak mempunyai atau membina tanggapan subjek Sains dan Matematik sukar hingga perlu dielakkan dalam proses pembelajaran.
“Apabila persepsi salah sudah diperbetulkan, penolakan tidak akan berlaku kerana pelajar turut menganggap subjek berkenaan sama seperti subjek lain yang mudah dipelajari,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menolak andaian bahawa subjek Sains dan Matematik agak kompleks sama ada dari segi pemahaman dan pembelajaran.
“Walaupun kompleks, jika kena gaya pengajaran, pembelajaran, penyampaian dan penerimaan, ia mudah dikuasai.
“Saya yakin jika halangan ini diperbetulkan, masalah pelajar tidak berminat tidak akan timbul.
“Ketakutan terhadap subjek ini kerana mereka disogokkan dengan maklumat, cara pembelajaran mahupun penyampaian maklumat yang salah hingga terbinanya tembok penolakan,” katanya.
Ditanya punca lain subjek Sains dan Matematik ditolak, katanya ini kerana pelajar tiada keseronokan belajar manakala sesetengah guru pula tiada inisiatif untuk menjadi lebih kreatif.
GURU perlu kreatif agar sesi pembelajaran lebih menyeronokkan. - Gambar hiasan
Menurutnya, cara mengajar dan penyampaian maklumat daripada guru sangat penting untuk memupuk dan membina minat golongan sasaran.
“Umum hanya mengaitkan subjek Sains dan Matematik dengan formula, angka dan pengiraan. Mereka tidak mengaitkannya dengan aspek persekitaran dan kehidupan, sedangkan konsep kedua-dua subjek berkenaan ada di sekeliling kita dan tidak semestinya bersifat angka atau standard semata-mata.
“Jika betul cara penyampaian maklumat serta pelbagai medium digunakan, kita pasti dapat bayangkan betapa seronoknya pelajar mempelajarinya,” katanya sambil mengakui cara pembelajaran dan pengajaran penting untuk menjadikan Sains dan Matematik lebih ‘hidup’.
Dr Zaibunisa berpendapat, guru hari ini mesti lebih kreatif dan kritis untuk menarik minat serta perhatian pelajar.
“Gunakan kaedah pembelajaran menarik, pelbagaikan ia dan jangan terikat dengan kaedah pengajaran tradisional yang membosankan.
“Sebaliknya gunakan ‘pengaruh’ alam dan persekitaran sebagai medium tarikan. Pelajar yang tertarik lebih mudah memahami,” katanya.
Antara pendekatan boleh dilakukan ialah melalui penerapan maklumat secara spontan, lawatan, sokongan teknologi maklumat dan menyertai pertandingan.
“Jika hanya menggunakan buku, pelajar akan bosan. Begitu juga jika guru memberi gambaran hanya melalui kaedah lisan.
“Pelbagaikan medium seperti visual dan audio. Aspek ini mudah menarik perhatian dan penyertaan aktif pelajar,” katanya.
Malah, jika minat pelajar semakin berkurangan, ia akan memberi kesan jangka panjang terhadap proses pendidikan peringkat tinggi, alam pekerjaan dan negara.
“Jika peratusan pelajar aliran sains semakin berkurangan, jumlah mereka memasuki institusi pengajian tinggi juga akan rendah.
“Institusi seperti kolej dan universiti tidak mampu melahirkan jumlah bilangan sumber manusia mencukupi untuk pasaran kerjaya.
“Akibatnya negara akan berdepan kekurangan kepakaran dalam sektor tertentu, sekali gus menyebabkan masalah lain seperti terpaksa meletakkan kebergantungan pada tenaga kerja asing,” katanya.
Justeru, beliau berharap guru dan pihak terbabit dapat memberi sokongan selain memperkenalkan mekanisme bagi membantu pelajar meminati subjek berkenan.
“Masalah pelajar hari ini lebih kepada persepsi yang salah mengenai sains dan matematik, namun dari segi kemampuan, saya percaya mereka boleh.
“Sebab itu perlu ada usaha untuk memperbetulkan persepsi bagi tujuan menarik minat atau mewujudkan keseronokan ketika belajar.
“Jangan berterusan dihimpit persepsi yang akhirnya bukan saja akan merugikan pelajar tapi juga banyak pihak. Tanggapan baru yang positif kepada sains dan matematik perlu diberikan,” katanya.