kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Profesor ulung dunia Islam

ABDULLAH bin Abbas atau Ibnu Abbas adalah antara beberapa orang tokoh Islam yang belum menjangkau usia dewasa ketika wafatnya Rasulullah SAW. Namun, ketika mencapai umur dewasa, beliau telah dapat menjadikan dirinya sebagai ilmuwan terbilang, setaraf dengan ilmuwan Islam lain seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi dan sebagainya.

Salah satu keistimewaan Abdullah bin Abbas berbanding para sahabat Nabi Muhammad SAW yang lain ialah tentang keluasan ilmu yang dimilikinya.

Ibnu Abbas terkenal sebagai tokoh yang menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan, antaranya ilmu sastera dan bahasa Arab, ilmu tafsir, ilmu matematik dan ilmu faraid. Justeru, keluasan ilmunya itu membolehkan beliau mendapat gelaran pendeta Islam atau profesor dalam konteks bahasa moden pada hari ini. Maka, Abdullah bin Abbas merupakan profesor ulung dalam dunia Islam. Kejayaan yang beliau peroleh salah satu puncanya adalah doa Rasulullah SAW.

Doa baginda SAW ternyata dimakbulkan oleh Allah SWT apabila Abdullah bin Abbas berjaya memiliki sifat-sifat tersebut, tatkala beliau mencapai umur dewasa. Abdullah bin Abbas tergolong dalam keluarga baginda dan beliau adalah sepupu Nabi SAW kerana ayah Abdullah, iaitu Abbas bin Muttalib adalah bapa saudara Rasulullah SAW.

Apabila Rasulullah SAW wafat, Abdullah masih kecil lagi dan adalah diriwayatkan bahawa beliau telah melakukan solat di belakang baginda semasa umurnya tidak kurang dari lapan tahun. Semenjak kecil, Abdullah gemar bermain di rumah baginda dan pada suatu hari ketika Abdullah berlari menuju ke rumah baginda, beliau ternampak baginda Rasulullah sedang berwuduk, maka dengan segera Abdullah menghulurkan air wuduk untuk Rasululla h SAW.

Perbuatan Abdullah amat menggembirakan baginda Rasulullah dan setelah baginda selesai menunaikan solat, lantas baginda SAW memangku Abdullah sambil mengusap kepala Abdullah lalu baginda berdoa: “Ya Allah berikanlah keberkahan kepadanya dan berikanlah ilmu daripadanya."

Ibu Abbas pernah didoakan oleh Rasulullah SAW sebanyak dua kali, ketika dipeluk oleh baginda dan ketika melayani Rasulullah dengan mengambil wuduk. Doa Nabi SAW bermaksud: Ya Allah fahamkanlah (faqihkanlah) ia. (riwayat Muslim)

Terpandang Jibril

Satu lagi peristiwa yang diriwayatkan mengenai Abdullah ialah kisah beliau terpandang malaikat Jibril a.s.. Menurutnya, pada suatu hari ketika beliau memasuki rumah Rasulullah, Abdullah telah ternampak ada seorang lelaki yang tidak dikenalinya sedang bersama Rasulullah SAW.

Lantas Abdullah segera pulang akibat terlalu gementar dan terus memberitahu ayahnya Abbas bin Muttalib. Kemudian ayahnya berkata, “Wahai anakku, kau telah melihat Jibril yang kebetulan sedang bertemu dengan Rasulullah SAW?"

Ketika Abdullah bin Abbas meningkat dewasa, beliau telah mencapai kedudukan yang terkemuka dalam kalangan para sahabat Rasulullah. Beliau telah bekerja keras mengumpulkan hadis-hadis Rasulullah SAW dan memahami al-Quran sedalam mungkin serta memberikan fatwa-fatwa kepada masyarakat berhubung dengan hukum agama.

Menjelang zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab r.a, Abdullah bin Abbas telah mencapai pelbagai kejayaan, antaranya sebagai ahli tafsir dan hadis yang terkemuka sehingga orang ramai dari seluruh pelosok negeri berminat untuk menuntut ilmu dengannya.

Khalifah Umar r.a bukan sahaja sentiasa berada di sisi Abdullah bin Abbas, bahkan sentiasa bertukar pandangan dengan Abdullah sepertimana yang selalu Rasulullah SAW lakukan dengan para sahabat. Sebagai tanda penghargaan kepada Abdullah bin Abbas,

Sayidina Umar al-Khattab telah mengelarkan Abdullah bin Abbas sebagai, “Ibnu Abbas adalah seorang pemuda yang telah tua ilmunya, mempunyai lidah yang amat berharga dan mempunyai hati yang bersih."

Selain itu, Saidina Umar al-Khattab r.a pernah berkata, “Sebaik-baik tafsir al-Quran adalah daripada Ibnu Abbas. Jika umurku masih panjang, nescaya aku akan selalu berdampingan dengan Abdullah bin Abbas." Di samping itu, Umar al-Khattab juga pernah berkata bahawa “Tidak ada fatwa yang lebih baik yang pernah aku dengar melainkan daripada fatwa Ibnu Abbas."

Demikianlah kebesaran Ibnu Abbas sebagai tokoh tafsir yang tiada tolok bandingnya. Segala puji bagi Allah yang telah memperkenankan doa Nabi SAW terhadap diri Abdullah bin Abbas r.a.



Utusan Bicara Agama 20140415
Tags: tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments