kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Air oh air...masihkah ada catuan jika tarif air naik?

BUMBUNG rumah basah disirami hujan. Malangnya air itu mengalir terus ke dalam longkang dan tidak masuk ke paip rumah yang sedang mengalami catuan bekalan. Adakah pengaliran air ke longkang itu satu pembaziran dan sepatutnya dielakkan? Di ibu negara atau Lembah Klang, sudah beberapa kali hujan lebat tetapi penduduk tertanya-tanya kenapa masih ada catuan? Paling merisaukan apabila ada perkhabaran bahawa catuan ini akan berlanjutan sehingga Julai, bulan yang pada ketika itu surau dan masjid dipenuhi jemaah untuk menunaikan solat sunat tarawih dan witir, bazar Ramadan yang penuh dengan gerai menjual pelbagai juadah berbuka puasa dan imsak.

Akibat krisis bekalan air ketika ini, ada restoran yang menggunakan polesterin sama ada untuk mengisi makanan atau minuman. Mudah pakai buang, tidak perlu dibasuh. Tidak pasti sama ada kos poles­terin diambil kira dalam menentukan harga.

Catuan tidak dapat dielakkan bagi membolehkan takungan empangan di Selangor mencapai paras 55 peratus. Difahamkan dengan keadaan hujan sekarang (50 mm sebulan) tempoh untuk mencapai paras itu mengambil masa tiga bulan. Berdasarkan keadaan cuaca, bulan April dan Mei merupakan musim hujan diikuti agak kering mulai Jun hingga Ogos. Semoga, empangan ber­kenaan tidak menunggu sehingga tiga bulan untuk keluar daripada catuan air sekarang. Eloklah ketika kita sama-sama mendoakan agar pesawat MAS MH370 ditemui, pada masa sama turut mendoakan supaya negara tidak mengalami masalah bekalan air.

Manusia hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan. Syukurlah kita sudah merancang begitu lama untuk membina Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dan hanya akan dilaksanakan tahun ini selepas terlewat selama 589 hari bekerja. Jika semua berjalan lancar, titisan air pertama yang dibekalkan oleh Langat 2 akan dinikmati tiga tahun lagi apabila dijangka siap pada 2016 hingga 2017. Walaupun sudah terlewat tetapi sekurang-kurangnya terbuka juga hati insan-insan yang diberi tanggungjawab untuk berusaha dan ber­ikhtiar sebelum menyerahkan kepada kuasa Tuhan. Difahamkan, Langat 2 akan membantu menampung bekalan air di Lembah Klang sehingga 2050 hingga 2070.

Biarlah apa yang terjadi sebelum ini menjadi pengajaran kepada kita supaya dalam isu-isu kepentingan rakyat, jangan dipolitikkan. Dahulukan keperluan dan kebajikan rakyat, sementara politik parti, peribadi, puak atau kroni diletak tepi untuk sementara waktu. Seperti yang kita tahu, sejak kebelakangan ini cuaca tidak menentu menyebabkan bekalan air negara juga dalam keadaan tidak menentu.

Ada negeri yang mengalami lebihan air dan ada pula yang tidak mempunyai sumber bekalan yang mencukupi sehingga terpaksa import dari negeri lain. Contohnya Selangor yang akan menerima bekalan dari Negeri Pahang Darulmakmur. Baru-baru ini ketika di Kuantan, saya sempat bertanyakan khabar angin mengatakan Pahang juga bakal mengalami catuan air. Khabar angin itu mungkin juga ada kaitan dengan Langat 2, kononnya Pahang tidak mampu menampung bekalan air di negeri sendiri.

Memang berita itu satu khabar angin kerana sahabat di negeri itu berkata, Pahang sudah bersedia untuk menyalurkan air ke Lembah Klang melalui terowong sepanjang 45 kilometer bernilai RM1.3 bilion yang sudah siap 94 peratus. Terima kasih Pahang kerana negeri itu juga sudah banyak membantu untuk mengurangkan beban warga Lembah Klang, Selangor dan Putrajaya. Dalam memenuhi keperluan ini, Pahang terpaksa menempatkan semula 115 Orang Asli di Sungai Bilut dan mengambil sebahagian tanah peneroka di Klau bagi membina empangan, muka sauk, rumah pam dan pemasangan paip berkembar sepanjang 242 kilometer. Khabarnya air mentah sebanyak 1,890 juta liter sehari juga dijual pada harga yang berpatutan. Begitulah pengorbanan Pahang.

Tidak perlulah pihak tertentu membawa khabar tidak baik mengenai negeri itu berhubung kononnya akan berlaku catuan air. Jangan rosakkan kerja-kerja untuk bekalan air ke Selangor. Setahu saya gangguan bekalan air sebelum ini hanyalah kerana kerja-kerja mencuci atau membaiki paip.

Bercakap mengenai bekalan air juga, sejak kebelakangan ini, banyak pihak memberi perhatian kepada kerajaan DAP Pulau Pinang. Ini berikutan cadangan kerajaan negeri menaikkan tarif air atas alasan mahu mendidik pengguna serta mengelak pembaziran. Mudahnya mencari jalan keluar dengan rakyat dijadikan ‘mangsa kea­daan'. Apakah ini langkah terbaik untuk mendidik pengguna dan bagi mengelak krisis bekalan air pada masa hadapan? Apakah jaminan rakyat akan menjimatkan air apabila tarif dinaikkan? Adakah perokok kurang merokok apabila harga dinaikkan? Adakah penggunaan gula berkurangan apabila harga bahan itu naik? Di Pulau Pinang, rekod menunjukkan ke­perluan bekalan air me­ningkat daripada 865 juta liter sehari pada tahun 2007 kepada 1,035 juta liter sehari pada Mac lalu.

Agaknya, adakah jumlah pengguna di negeri itu statik sejak 2007? Tidak ada pertambahan penduduk? Tidak ada pembangunan kawasan perumahan? Jumlah pengguna sama seperti tahun 2007? Adakah ini bermakna industri di negeri itu juga yang memerlukan air tidak berkembang? Apakah ini jalan keluar yang ada pada kerajaan DAP Pulau Pinang? Pihak sebelah sana se­ring menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila berlaku sebarang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Walaupun kerajaan BN mempunyai pelbagai alasan bagi mewajarkan kenaikan itu tetapi sudah menjadi lumrah, semuanya itu tidak dapat diterima. Kerajaan tetap dipersalahkan setiap kali berlaku kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Sekarang bagaimana? Apakah pendirian Guan Eng jika kerajaan memperhebatkan pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi tujuan mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhemah? Apa pula reaksi jika kenaikan harga petrol dikaitkan dengan usaha mendidik pengguna supaya menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja, menaikkan tol atau mengenakan bayaran kemasukan kenderaan di dalam bandar supaya pengguna berkongsi kenderaan. Sudah tentu, kerajaan akan tetap dipersalahkan.

Nampak sangat pendekatan yang digunakan kerajaan DAP dalam mewajarkan kenaikan tarif air ini samalah seperti dua kali lima, lima kali dua atau pi mai pi mai tang tu. Mungkin kerajaan Pulau Pinang boleh mengenakan caj lebih tinggi untuk kenderaan memasuki pulau, sekali gus mengurangkan kesesakan di dua jambatan Pulau Pinang. Mungkin bayaran yang tinggi dapat mengelakkan kesesakan di pulau. Pada masa yang sama batalkan sahaja projek terowong yang dicadangkan dan digantikan dengan terowong air bagi keperluan penduduk.

Turut menarik perhatian apabila rakyat membangkitkan semula janji yang mendakwa kerajaan negeri DAP mahu menjaga kebajikan penduduk dan tidak membebankan rakyat. Kononnya kerajaan berjanji tidak akan menaikkan kadar sewa, tarif air dan lesen perniagaan tahun ini dan tahun depan. Sekarang apa sudah jadi? Ketika mereka mengkritik usaha kerajaan merasionalkan subsidi, mereka pula sebenarnya cakap tidak serupa bikin, pi mai pi mai tang tu, 2 x 5, lima kali dua.



Utusan Rencana 20140414
Tags: air
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments