kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik-Bisik Awang Selamat ~ Misteri, MB, Karpal dan Lim dan Raja FAM

Misteri lama


Peristiwa pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah pada Mac 2013 telah lama berlalu tetapi misteri mengenainya belum terlerai.

Lapan anggota polis dan tentera terkorban, ratusan penduduk dipindahkan, kos biayai operasi keselamatan yang mendadak tinggi dan pelbagai lagi namun sampai hari ini rakyat Malaysia tidak mengetahui siapa sebenarnya dalang.

Persoalan masih berlegar mengapa pengganas Kiram mengambil tindakan luar biasa menceroboh dan tidak mungkin mereka bertindak demikian tanpa dorongan.

Awang percaya ada konspirasi yang turut melibatkan pihak-pihak di Malaysia sebagaimana didedahkan oleh pihak perisikan Filipina. Tetapi apa sudah jadi dengan perkembangan siasatan pihak berkuasa kita, senyap seperti tiada apa-apa berlaku.

Laporan mengenainya masih dinanti-nantikan oleh masyarakat umum.

Insiden tersebut menggemparkan semua. Maruah sebagai negara berdaulat terjejas teruk, kawalan sempadan keselamatan dimalukan malah perajurit kita gugur meninggalkan balu dan anak-anak yatim.

Apakah insiden tersebut tidak ada makna buat kita semua? Sepatutnya, misteri itu yang mesti dicari jawapan. Agaknya si dalang senyum berpanjangan, bukanlah sangat kerana kelicikan mereka tetapi disebabkan kelemahan dan kelesuan kita.

MB berubah?

Khabarnya dua Menteri Besar bakal digantikan tidak lama lagi. Spekulasi mengenainya mulai bertiup bagai sepoi angin petang di pesisiran pantai.

Tidak perlulah Awang sebut siapa menteri besar berkenaan pada peringkat ini, biarlah ia terus menjadi desas-desus.

Jika benar, persoalan lebih menarik ialah siapa pengganti mereka? Beberapa nama calon yang dilihat berwibawa sudah pun dikenal pasti.

Awang berpendapat memang perlu ada peralihan bagi menyuntik kesegaran dalam tampuk pentadbiran negeri tertentu.

Perubahan tidak semestinya hanya berlaku pada pilihan raya umum atau negeri semata-mata.

Bukan sahaja kepimpinan negeri, ramai yang menyimpan harapan agar Perdana Menteri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO, menampilkan muka baharu bagi beberapa jawatan (lantikan) tertentu dalam parti.

Tentu terdapat tokoh yang boleh dijadikan sandaran, yang Awang percaya Najib sudah ada bayangan calon-calonnya. Kita tunggu.

Karpal dan Lim

Awang ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Karpal Singh atas kematian bekas Pengerusi DAP itu, baru-baru ini. Berita kematiannya dalam nahas jalan raya itu mengejutkan.

Apa sekalipun tafsiran - kritikan, kemarahan mahupun penghargaan dan pujian - terhadap mendiang ketika hayatnya, Karpal telah mewarnai politik tanah air hampir separuh abad.

Awang kerap menulis tentang pemimpin DAP itu sama ada yang dilihat positif mahupun negatif. Baru-baru ini, Awang menyifatkan Karpal lebih budiman dan berintegriti berbanding Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim apabila mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan Pengerusi DAP sementara menunggu rayuan kes hasutan selepas didapati bersalah. Sedangkan Anwar, tidak.

Mendiang juga pernah Awang hargai kerana bersikap lebih matang berbanding banyak pemimpin DAP dan PKR. Adakalanya beliau melawan arus. Karpal, misalnya tidak percaya kepada tindakan memboikot media kerana ia bukan mencerminkan keterbukaan dan kebebasan. Juga, masih segar dalam ingatan bagaimana Karpal menasihatkan Anwar supaya bertaubat apabila Ketua Pembangkang itu mahu menggulingkan kerajaan secara budaya lompat parti iaitu di luar proses demokrasi selepas Pilihan Raya Umum 2008. Malah beliau menyelar Anwar tidak layak memimpin Pakatan Rakyat dengan perbuatannya itu.

Pada Awang, pemergian mendiang memang suatu kehilangan besar kepada DAP terutama penasihat parti itu, Lim Kit Siang. Kejayaan Kit Siang membina dinasti politik antara lain disumbangkan oleh peranan Karpal. Ketika ada sahaja tokoh DAP meninggalkan Kit Siang dari semasa ke semasa terutama era 1980-an dan 1990-an kerana tidak berpuas hati cara kepimpinan beliau, mendiang tetap setia.

Dalam isu tertentu, Kit Siang dilihat ‘berselindung’ di sebalik suara lantang mendiang memperjuangkan agenda DAP. Ini termasuk kenyataan yang mencetuskan kontroversi iaitu langkah mayatnya terlebih dahulu sebelum menubuhkan negara Islam. Pengaruh Karpal jugalah secara tidak langsung membantu Kit Siang dalam percaturan melonjakkan anaknya, Lim Guan Eng hingga ke persada kuasa dalam DAP sebagai Setiausaha Agung dan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Agak mustahil bagi Kit Siang mahupun Guan Eng mendapat pemimpin bukan Cina yang setia dan komited ke hujung nyawa seperti mendiang, selepas ini. Besar sungguh hutang budi dinasti Lim kepada Karpal.

Raja dan FAM

Memang janggal apabila seorang Sultan dan dua anak Raja bersaing untuk merebut jawatan Presiden FAM. Jawatan itu seolah-olah eksklusif untuk pembesar istana.

Dalam politik sukan, itu bukanlah isu besar selagi ada sokongan dan khidmat masih diperlukan, apa salahnya.

Siapa yang menjadi pilihan selepas ini antara penyandang jawatan, Sultan Ahmad Shah, anakanda baginda yang juga Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) Tunku Mahkota Johor?

Ketiga-tiganya mendapat pencalonan bagi jawatan itu selepas dimuktamadkan semalam.

Walau apa sekalipun percaturan setiap calon, Awang percaya akan ada perubahan bagi jawatan Presiden FAM. Sultan Ahmad Shah kemungkinan besar menarik diri di saat-saat akhir.

Semua calon masih boleh berbuat demikian sebelum pemilihan hari kongres pada 25 Mei nanti. Sebagaimana tulisan minggu lalu, pandangan Awang konsisten. Baginda telah banyak berjasa kepada sukan bola sepak tanah air, lebih-lebih lagi selama 30 tahun memikul cabaran menjadi Presiden FAM. Biarpun seorang Raja, baginda bersikap terbuka dan berani mendedahkan dirinya kepada kritikan meluas, yang pemimpin politik belum tentu cukup budiman menghadapinya. Ramai wartawan sukan kagum kerana Sultan Ahmad Shah sentiasa tenang dan tidak mudah melenting setiap kali dikritik dan ditegur.

Tiada apa lagi yang baginda mahu buktikan sebenarnya. Eloklah jika baginda dilepaskan daripada beban jawatan itu. Maka sudah sampai masanya teraju FAM bertukar tangan, yang Awang lihat Tengku Abdullah paling layak atas pengalaman dan kedudukannya terkanan dalam FAM.

Setakat ini, masih terlalu awal untuk meramal. Mana tahu ada kejutan daripada Tunku Ismail, yang menjadi sandaran beberapa persatuan negeri. Namun Awang percaya, Tunku Ismail tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana baginda masih terlalu muda dan perjalanannya masih jauh.



Utusan Rencana 20140420
Tags: fam, raja
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments