kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sukarnya seniman hebat menongkah zamannya

Seniman selalunya manusia yang terluka. Kehebatan yang diungkap selepas ketiadaan mereka pula selalunya menenggelamkan keperitan untuk menongkah sudut pandangan tipikal masyarakat zamannya.

Banyak orang menganggap seniman tergolong sebagai pemburu mimpi. Tidak berjejak di bumi nyata apabila gagasan dalam karya-karya mereka tidak tergapai oleh manusia zamannya. Mereka ditolak, kalau kalah dalam ujian ini sudah pasti tewas selama-lamanya.

Bukan mudah untuk membawa sesuatu yang baharu di luar pemikiran semasa. Inilah yang berlaku kepada pelukis tersohor Vincent Van Gogh. Siapa percaya semasa hayatnya, Van Gogh hanya berjaya menjual sebuah lukisan sahaja, The Red Vineyard dengan harga 400 francs (AS$1,000) pada 1890.

Malah dia bukanlah pelukis yang dikagumi semasa hayatnya dan lukisan tidak menyumbangkan kekayaan kebendaan setaraf dengan pengiktirafan selepas kematiannya.

Tetapi seniman yang hebat dan karya yang baik tidak pernah ditelan zaman. Tidak lapuk dek hujan ataupun lekang dek panas yang mengubah manusia dan zaman. Ini berlaku kepada banyak seniman disebabkan pemikiran mereka jauh melangkaui zaman. Mereka terpaksa menderita kerana ditolak oleh masyarakat yang tidak boleh menerima karya yang lahir lebih awal dari zamannya.

Kini lukisan Van Gogh antara yang bernilai tinggi di pasaran. Ada yang berkata, sebuah lukisan Van Gogh sama dengan harga muzium yang mempamerkan lukisan itu. Ini terbukti apabila lukisan yang dihasilkan seminggu sebelum dia membunuh diri, Potrait of Dr. Gachet (1890) dijual pada harga AS$138.4 juta pada masa ini.

Van Gogh adalah kisah lara manusia biasa abad ke-19. Dia seniman yang menderita dan tidak sempat menikmati hidup yang sempurna dengan hasil seninya. Kisahnya yang penuh lara dan menongkah gaya lukisan tradisional abad ke-19 di Eropah itu dialirkan dalam semua lukisannya. Malangnya semua timbal balas minda seniman itu hanya disedari selepas ketiadaannya.

Matinya Van Gogh pada usia 37 tahun menandakan lahirnya gaya impresionisme iaitu yang baharu dalam seni lukis. Semasa hayatnya Van Gogh menolak gaya tradisional yang menjadi ikutan banyak pelukis sezamannya. Dia menganggap lukisan adalah olahan dan tafsiran daripada kehidupan di sekelilingnya.

Van Gogh membawa khalayak memahami maksud tersirat dalam karya-karya impresionisme. Pada masa yang sama juga membawa khalayak menyusuri pergolakan bawah sedarnya yang terlalu ambitious terhadap seni lukis. Sebahagian karya Van Gogh memperihal tindak balas mindanya dan juga nyanyi kesunyian dan kenangan apabila jauh daripada keluarga.

Misalnya menerusi lebih 1,000 surat kepada keluarga dan rakan-rakan terutama abangnya, Theo, Van Gogh mengungkapkan kerinduan, kesunyian termasuk laras seninya yang ditolak oleh masyarakat. Pada Julai 1890 Van Gogh menulis kepada Theo: "Saya rasa ini adalah kegagalan. Ia lebih jauh daripada apa yang dijangkakan. Saya rasa ini adalah penamat, saya terima dan semua ini takkan berubah."

Gagal

Semasa hayatnya, Van Gogh seorang manusia yang gagal. Dia gagal dalam kerjaya menjadi seorang pendakwah Protestan. Dia gagal dalam cinta kepada sepupunya, Kee kerana gadis itu menolaknya. Malah mengecewakan ibu dan adik beradik dan Theo terpaksa menyara hidup Van Gogh selama sepuluh tahun menjadi pelukis.

Kepiluan dan kegagalan ini diperlihatkan dalam lukisan bertajuk Wheat Field With Crows yang memaparkan keyakinan dan putus asa menerusi awan kelam di kaki langit. Beberapa hari selepas menyiapkan lukisan itu Van Gogh menembak dirinya sendiri. Bagaimanapun ini bukanlah lukisan terakhir Van Gogh yang secara sukarela menjadi pesakit hospital jiwa.

Apa yang dilalui oleh Van Gogh boleh memberi semangat kepada seniman lain bahawa cahaya di hujung terowong bukan mudah untuk digapai, mimpi pula bukan senang untuk dipetik menjadi realiti.

Van Gogh bukanlah pelukis terbaik zamannya. Saya percaya banyak yang setuju dengan kenyataan ini. Malah ini diakui oleh Van Gogh dan menjadi sebab penderitaan jiwanya. Van Gogh mengimpikan menjadi pelukis sehebat Eugene Delacroix yang lukisannya sangat berseni dan mempunyai kehalusan goresannya. Tambahan pula pelukis ini menjadi pujaan masyarakat apabila dipamerkan di Pameran Salon di Paris.

Tetapi di sebalik lukisan yang dianggap kotor, goresan kasar itu, sebenarnya makna yang lebih besar. Goresan berus Van Gogh memang kelihatan kasar malah mendekati gaya naive. Bagaimanapun ternyata bukan naive kerana Van Gogh melakar landskap, figuratif termasuk potret mendekati gaya realisme. Van Gogh seorang pelukis yang bijak bermain antara cahaya dan bayang walaupun goresan berusnya kasar dan seolah-olah ‘tidak siap.’

Pemikiran Van Gogh yang terpahat pada karya lukisan yang menjadi sejarah zamannya. Moral kisahnya ia memberikan kefahaman kepada kita untuk menghargai karya seni termasuk yang dianggap tidak masuk akal dan ‘tidak cantik’ daripada mata zahir.

Menghayati karya seni tidak popular seperti lukisan boleh mempertajamkan jiwa dan rasa untuk menghargai keindahan. Daripadanya kita akan tahu kenapa hari ini lukisan Van Gogh begitu bernilai malah harganya tidak masuk akal (akal kita) yang banyak terbius oleh seni pop daripada filem dan muzik yang sebenarnya telah lapuk di Barat.

Buktinya di negara kita Balai Seni Visual Negara (BSVN) dulunya Balai Seni Lukis Negara kelihatan sunyi dan sepi berbanding Istana Budaya yang sentiasa dilimpahi butir-butir bintang gemerlapan.

BSVN tidak gagal dalam tugasnya walaupun suasana agak sunyi. Untuk mencari khalayak yang menghargai dan menghayati karya seni tentulah tidak semudah mencari penggemar artis.



Ku Seman Ku Hussain Utusan Rencana 20140420
Tags: seniman
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments