Dasar Stalin ini bertentangan dengan amalan Lenin semasa pemerintahannya selama tujuh tahun (1917-1924).Sebaik-baik saja Revolusi Bolshevik berjaya menubuhkan kerajaan komunis pada 1917, Lenin telah membahagi-bahagikan tanah yang dirampas daripada pemilik-pemilik ladang yang besar kepada petani Rusia yang tidak memiliki tanah.
Tentangan paling kuat terhadap collectivisation datang daripada petani-petani yang telah lama berjaya mengerjakan ladang mereka. Mereka dinamakan Kulak. Di saat kemenangan Revolusi Bolshevik, golongan Kulak memiliki lebih daripada 90 peratus tanah yang boleh diusahakan untuk pertanian.
Kulak (istilah bahasa Rusia yang bermakna cengkaman) ialah gelaran bagi petani-petani yang berjaya dalam bidang pertanian. Mereka dianggap kedekut, tidak jujur atau lintah darat oleh orang kampung. Setelah komunis berkuasa, Kulak bukan saja dianggap tamak, malah dikatakan kaya secara luar biasa.
Pada awal tahun 1918, Lenin membenarkan penubuhan apa yang dinamakan Jawatankuasa Rakyat Miskin, yang dianggotai orang kampung yang miskin. Tujuannya untuk menentukan siapa dalam kalangan orang kampung yang tergolong dalam kumpulan Kulak. Jawatankuasa ini boleh merampas semua harta milik Kulak berkenaan. Banyak timbul kes di mana keputusan jawatankuasa itu telah dipengaruhi sifat iri hati atau pertelingkahan peribadi sebelum kejayaan revolusi. Banyak juga berlaku pembunuhan bila ada tentangan kuat oleh Kulak. Lenin cepat-cepat membatalkan jawatankuasa ini pada penghujung tahun 1918 setelah dia sedar, dalam tempoh tidak sampai setahun itu, 50 juta hektar tanah milik Kulak telah dirampas oleh orang kampung.
Perjuangan
Semasa Lenin berkuasa, golongan Kulak tidak dimusuhi walaupun Lenin tahu mereka tidak sehaluan dengan perjuangan kaum buruh/ petani Soviet. Ini sebahagiannya disebabkan pada masa itu negara Soviet sedang menghadapi masalah ekonomi yang meluas. Golongan Kulak dibenarkan wujud seiringan ladang-ladang koperasi Soviet sehinggalah Kulak dihapuskan pada tahun 1929 oleh Stalin yang hendak melaksanakan secara paksaaan dasar pertanian collectivisation (Kolkoze dalam bahasa Rusia). Dalam sepucuk surat pada tahun 1929 kepada kepimpinan Parti Komunis Kesatuan Soviet (PKKS) bertajuk Dasar Menghapuskan Golongan Kulak Sebagai Satu Class, Stalin berkata: "Untuk menghapuskan Kulak sebagai satu class, mereka hendaklah ditentang habis-habisan secara terbuka dan segala sumber kehidupan mereka - tanah, alat-alat pertanian, tenaga buruh yang digaji mereka - dirampas."
Satu lagi kumpulan petani yang menentang dasar collectivisation ialah petani-petani yang telah diberi tanah oleh Lenin di awal kejayaan revolusi. Mereka telah bekerja keras mengusahakan tanah mereka, dan tahu ini telah menyumbang kepada pertambahan hasil pertanian negara Soviet menghampiri 40 peratus. Mereka bersatu dengan Kulak menentang collectivisation.
Ladang-ladang gandum di bawah sistem collectivisation ini terbukti terus menerus gagal memberi hasil yang diharapkan, sampai ke suatu peringkat, tentera Soviet terpaksa dihantar ke desa-desa membantu bidang pertanian pada tahun 1950-an dan 1960-an. Namun, setiap sasaran rancangan lima tahun negara Soviet tidak berjaya dicapai. Malah, sepanjang tahun-tahun 1950-an, 1960-an dan 1970-an (di zaman pasca-Stalin), gandum dan jagung terpaksa diimport dengan banyaknya dari Amerika Syarikat (walaupun secara terbuka, kedua-dua negara ini adalah bermusuhan dan kerap berperang mulut semasa Perang Dingin zaman itu).
Ada ahli sejarah berpendapat, dasar menghapuskan golongan Kulak akhirnya telah melemahkan negara Soviet sendiri, menjadikan ia mudah diceroboh oleh Nazi Jerman semasa Perang Dunia Kedua, dan menyebabkan kekalahan Soviet dalam bidang ekonomi semasa Perang Dingin selepas tamat perang dunia itu. Menurut mereka, golongan Kulak itu sepatutnya telah dapat membantu memperkukuhkan Soviet. Malangnya, sumber manusia yang penting ini telah dihapuskan oleh orang komunis yang buta hati kerana ideologi, dan kerana hendak menegakkan seorang diktator mutlak bernama Stalin.
Gulag adalah satu lagi istilah yang sangat rapat dengan pemerintahan Stalin. Ia merupakan akronim dalam bahasa Rusia bagi Glavnoye Upravleniye Lagerey i Koloniy atau dalam bahasa Inggeris Main Camp Administration (Kem Utama Pentadbiran). Gulag ialah agensi kerajaan Soviet yang mentadbirkan kem-kem utama buruh paksaan yang berselerak di banyak lokasi terpencil semasa era pemerintahan Stalin.
Di antara tahun 1929 hingga 1953, terdapat 14 juta penghuni di kem-kem Gulag. Penulis Rusia bernama Aleksandr Solzhenitsyn, pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan pada 1970 dan yang pernah menjadi penghuni Gulag kerana penentangannya terhadap kerajaan Soviet, pernah berkata dalam bukunya, The Gulag Archipelago bahawa Gulag adalah suatu sistem di mana penghuninya bekerja sampai mati.
Menurut satu kajian pada 1993 berasaskan maklumat di arkib negara Soviet, sejumlah 1,053,829 orang telah mati di Gulag antara 1929 hingga 1953. Tetapi, jika diambil kira bilangan penghuni yang telah dibebaskan kerana sudah terlalu uzur atau menghadapi saat-saat akan mati, bilangan orang yang mati bagi tempoh itu tentu meningkat. Dianggarkan angkanya mencapai 1.6 juta kematian.
Apabila Stalin meninggal dunia pada Mac 1953, Mao Tse-tung belum pun empat tahun memerintah China. Mao sangat berminat memperkenalkan dasar-dasar Stalin untuk negara China. Dia menganggap keadaan di China tidak jauh bezanya dengan keadaan di Kesatuan Soviet. Terpenting, menurut Mao sebahagian besar penduduk China ialah petani yang miskin dan hidup melarat seperti halnya di Soviet. Di China juga wujud golongan bangsawan dan pemilik-pemilik tanah (landlords) yang kaya raya seperti golongan Kulak di Rusia.
Seperti Stalin, Mao juga melihat dasar membahagikan tanah kepada petani secara kecil-kecilan tidak boleh mewujudkan masyarakat sosialis/ komunis dengan cepat dan berkesan. Walaupun Mao, pada awal tahun 1950-an, mengikuti langkah Lenin membahagikan tanah kepada petani di China, dia tidak senang dengan dasar itu kerana tidak sehaluan dengan pemikiran Marxisnya. Mao mahukan negara China melaksanakan sistem pertanian collectivization acuan Stalin sepenuhnya.
ABDUL RAHIM NOOR Utusan Rencana 20140420