kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bahasa, tandas: Cerita dua negara

Kali ini Kunta Kinte nak kongsi dua perkara dengan pembaca. Satu berlaku di negara kita dan satu lagi di India. Mula-mula yang jadi di negara kita. Hari ini, kalau kita cakap bahasa Melayu dengan betul, teratur dan bergaya, ramai orang hairan dan ada juga yang kata kita menunjuk-nunjuk.


Sekali Kunta Kinte jumpa seorang pembesar negara. Sebab hormat kepada dia dan ada orang lain bersama, Kunta Kinte pun gunalah bahasa Melayu baku dan cakap dengan penuh tertib.


Kunta Kinte terkilanlah sikit bila dia kata, dalam bahasa Inggeris, Kunta Kinte scripted. Maksudnya, Kunta Kinte cakap seolah-olah ikut skrip.


Tapi Kunta Kinte tak berapa hairan dengan reaksi pembesar itu. Hari ini jarang sangat kita dengar orang cakap ikut tata bahasa, bergaya dan serius.

Kesan aplikasi internet

Tapi biarlah daripada awal lagi Kunta Kinte kata, bukan mutu bahasa Melayu saja yang makin hari makin jatuh. Boleh semua bahasa di dunia alami nasib yang sama akibat sistem pendidikan yang tak utamakan penguasaan bahasa.

Keadaan ini jadi lebih buruk dan teruk akibat aplikasi internet seperti khidmat pesanan ringkas (SMS) dan Facebook. Kunta Kinte pun tak faham pasal apa pengguna aplikasi (apps) telefon pintar mesti guna bahasa yang buruk bila berhubungan melalui SMS, Facebook, Twitter dan Instagram. Ini termasuk orang dewasa yang tahu berbahasa.

Jadi Kunta Kinte sangatlah seronok bila membeli-belah di kedai perkakasan (hardware) ‘Mr K Diy Trading’ milik seorang tauke Cina di Damansara Utama.

Walaupun nama kedainya dalam bahasa Inggeris, bahasa urusannya Melayu. Kunta Kinte yakin lebih ramai orang pelbagai bangsa, kaum dan negara cakap Melayu di kedai itu daripada di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kunta Kinte tak kata di DBP orang tak cakap Melayu. Sebaliknya, mungkin itulah satu-satunya bahasa yang digunakan tapi penggunanya boleh jadi semua orang Melayu.

Bahasa kebangsaan berkembang

Di kedai Mr K, pekerjanya dari Indonesia dan benua kecil India. Pelanggannya ada orang tempatan pelbagai bangsa dan orang asing dari Indonesia, India, Bangladesh, Myanmar dan banyak lagi. Semuanya cakap Melayu. Tak apalah kalau mutunya tak macam bahasa Sasterawan Negara.

Di kedai makan Ratha’s di sebelahnya pun macam itu juga. Taukenya India Malaysia. Pekerjanya dari India dan Indonesia. Alhamdulillah bahasa komunikasinya Melayu.

Jadi sedikit sebanyak berkembang jugalah bahasa kebangsaan kita dengan adanya orang asing yang datang cari makan di negara kita. Tapi tentulah kita tak mahu dan tak boleh harap pekerja bawahan asing saja untuk perkukuhkan bahasa kita.

Kisah di India

Berkenaan India pula, mereka sedang buat kempen cegah orang ramai buang air di kawasan terbuka. Mereka mahu rakyat jelata guna tandas.

Ini cerita betul dan Kunta Kinte alami sendiri masa melawat India kali pertama pada tahun 1980-an. Masa itu, Kunta Kinte dalam perjalanan dari New Delhi ke Agra dengan kereta rasmi yang dibagi oleh Kerajaan India. Agra adalah tempat terletaknya Taj Mahal.

Jalannya sesak dan uzur. Ia dikongsi oleh kenderaan bermotor macam motosikal, kereta, lori, bas dan traktor serta kenderaan kuasa haiwan seperti kereta lembu, kereta unta dan kereta keldai. Gajah pun ikut guna.

Oleh sebab kesesakan jalan raya, Kunta Kinte berasa nak buang air kecil. Kunta Kinte tanya pemandu dan pengiring Kunta Kinte di mana boleh berhenti. Mereka kata di mana-mana saja dan pemandu serta-merta berhentikan kereta.

Kunta Kinte tanya, mana tandasnya? Mereka kata lakukan saja dalam belukar atau belakang pokok. Minta maaflah, kerana tak tahan Kunta Kinte pun buatlah apa yang orang India buat.

Lagipun, masa Kunta Kinte budak-budak dan remaja di kampung pada tahun 1950-an dan 60-an, kami buang air dalam belukar juga. Kami berhenti hanyalah bila kerajaan perkenalkan tandas curah.

Kita tambah pengotor

Jadi kita janganlah hairan kalau tandas awam kita tak bersih walaupun kita gaji pekerja dari benua kecil India jaga. Bagi mereka, tandas kita yang kotor dan busuk bau itu adalah bersih dan wangi ikut standard mereka.

Alhamdulillah, nampaknya penjaga tandas lebuh raya bertol dan kompleks beli-belah dari India, Bangladesh, Indonesia dan Myanmar dah tahu dan amalkan piawaian yang lebih tinggi.

Tapi dah terbalik kong pula. Orang kita yang nampaknya tambah pengotor. Kalau tak percaya, cubalah guna tandas masjid, surau dan dewan orang ramai.

Wallahuaklam. E-mel ke rencanabh@bh.com.my untuk berkongsi pendapat anda. Berita Harian Agama 2014/04/26 - 02:27:47 AM Kunta Kinte
Tags: aplikasi, bahasa, internet, negara, tandas
Subscribe

  • Grades in high school to be a teacher?

    The subject above is related to an article entitled 70% of teachers have no more than 3A in SPM (FMT, 09/09/2021) I am called upon to give a little…

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • Disiplin Politik: Yang Betul, Yang Salah

    Berita terkini mengenai seorang penyokong tegar bekas PM (dikatakan) dipecat dari parti merupakan sesuatu yang agak menarik. Melihat akan kehidupan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments