kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Generasi berilmu pacu negara capai status maju

Transformasi sektor pendidikan perlu direalisasi seiring tuntutan semasa

Kerajaan sudah memperkenalkan pelbagai pelan transformasi bagi meletakkan Malaysia ke tahap lebih tinggi dan antara yang diberikan keutamaan ialah bidang pendidikan.


Sektor ini penting kerana ia menentukan jatuh bangun generasi Malaysia akan datang. Generasi inilah yang bakal memacu kemajuan negara dalam pelbagai bidang, bakal memimpin negara untuk terus maju ke hadapan dan menyambung legasi kemajuan serta kejayaan yang kita kecapi pada masa kini.

Namun, usaha menganjakkan paradigma dalam sektor pendidikan bukan mudah. Pelbagai aspek dan faktor perlu diambil kira. Peringkat sekolah rendah harus menjadi fasa paling penting bagi murid. Pada peringkat ini, asas pembelajaran ditekankan untuk diaplikasi dalam kehidupan seharian mereka.

Kepentingan asas pendidikan

Asas pendidikan mencukupi juga perlu dibekalkan pada peringkat sekolah rendah agar mereka boleh bersaing pada peringkat lebih tinggi. Pada peringkat ini, murid yang lemah perlu dibantu agar mereka tidak terus tercicir apabila masuk ke sekolah menengah.

Kaedah dan usaha kreatif untuk memastikan murid sekolah rendah menguasai kemahiran asas pendidikan perlu dilaksanakan, agar mereka tidak tercicir ketika di sekolah menengah yang mana kurikulumnya lebih sukar.
Murid cemerlang di sekolah rendah perlu mengekalkan momentum kecemerlangan mereka apabila berada pada tahap pendidikan lebih tinggi. Perjalanan mereka masih jauh dan banyak lagi peringkat pengajian yang perlu ditempuhi.

Sayang sekali jika kejayaan yang berputik pada peringkat rendah tidak dapat dikekalkan dek hanyut dengan gejala tidak berfaedah ataupun mudah berpuas hati dengan apa yang dikecapi.

Peringkat sekolah menengah pula adalah peringkat paling mencabar bukan sahaja kepada murid malah kepada guru dan ibu bapa. Murid lemah yang tercicir di sekolah rendah pastinya akan berhadapan pelbagai masalah. Apatah lagi ketika ini, mereka berada di alam remaja yang mudah dipengaruhi minda dan jiwa dengan perkara tidak sihat.

Cara didikan untuk murid sekolah menengah pastinya berbeza dengan murid sekolah rendah. Cabarannya terletak di bahu 178,872 orang guru sekolah menengah di seluruh negara. Guru bukan sahaja bertindak sebagai pengajar, malah turut berfungsi sebagai fasilitator, penasihat, kaunselor dan sebagainya.

Komunikasi antara guru dan murid amat digalakkan untuk mendapatkan pandangan mengenai sesuatu isu dan juga mengekalkan hubungan baik sesama mereka. Kaedah pengajaran menarik dan berkesan perlu diberi perhatian pada peringkat ini.

Murid tak minat jurusan sains

Salah satu isu yang melanda sistem pendidikan ialah kemerosotan minat murid memilih jurusan sains. Di sinilah peranan guru untuk melaksanakan amalan pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan bermakna di dalam bilik darjah. Penggunaan teknologi pendidikan serta pengaplikasian model dan teori pendidikan antarabangsa sudah terbukti berkesan dan perlu dijadikan amalan.

Dengan kata lain, guru perlu memanfaatkan kemudahan yang disediakan serta kreatif dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran.

Isu jurang pencapaian antara gender juga perlu diberi perhatian. Hal ini penting kerana negara memerlukan tenaga dan modal insan yang bernilai untuk memacu kejayaan dan pembangunan. Minat murid lelaki perlu diselami agar kaedah pembelajaran dan pengajaran sesuai dengan jiwa mereka di samping tidak mengabaikan murid perempuan.

Begitu juga pencapaian murid di luar bandar yang menurut laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) sedikit ketinggalan dengan murid di kawasan bandar. Antara perkara yang perlu diteliti termasuklah prestasi tenaga pengajar, mutu pembelajaran, sumber sekolah termasuk peranan ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Salah satu agenda diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini ialah kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) murid. Pelbagai kaedah diperkenalkan yang meliputi aspek kurikulum, pedagogi dan pentaksiran.

Namun, usaha itu mungkin akan mengambil masa untuk dijadikan amalan memandangkan murid perlu dibiasakan dengan pendekatan dalam ketiga-tiga komponen berkenaan.

Pelan transformasi pendidikan dalam laporan PPPM 2013-2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada tahun lalu memperlihatkan betapa kerajaan giat dan serius untuk mentransformasikan sektor pendidikan.

Pelan pembangunan serta hasrat kerajaan yang dinyatakan dalam laporan ini diharapkan dapat dihayati dan diterima secara positif oleh seluruh rakyat Malaysia tidak kiralah golongan pendidik, murid, ibu bapa dan sebagainya untuk memastikan ia dapat direalisasikan.

Dr Abdul Halim Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia Berita Harian Rencana 2014/04/18 - 20:45:20 PM
Tags: pendidikan, sains, transformasi
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Kerja Kontrak atau Tetap

    Isu terkini di Malaysia selain politik, Covid-19 dan wabak yang semakin berleluasa adalah kakitangan ‘kontrak’ bergelar ‘pegawai…

  • Kerajaan Swasta

    Apabila kita berfikir tentang pemerintahan kerajaan , apa yang muncul di kepala kita? Bagi kebanyak orang, gambar Agong, PM, bangunan parlimen ,…

  • Angkuh dari wajah

    Selagi kita terus tersilap mengenai keyakinan untuk kecekapan, kita akan berakhir dengan terlalu ramai bertemu dengan mereka yang tidak cekap yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments