kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pengaruh air kepada kehidupan, politik

Catuan berlaku sekarang satu pengajaran

Di kawasan yang mengalami catuan air, ramai yang merungut. Pada mereka, keadaan seperti itu tidak sepatutnya berlaku atas alasan apa sekali pun. Malaysia adalah negara yang pesat membangun.


Kita menguar-uarkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah negara teknologi tinggi dan lengkap dengan segala kemudahan prasarana, tetapi bila kemarau panjang, rakyat dihukum dengan catuan air.

Rungutan mereka tidak akan berakhir selagi catuan itu berterusan berikutan paras air di kawasan tadahan air berkurangan kerana kemarau. Rakyat mempersoalkan tidak ada sebab Malaysia yang akan diisytiharkan negara maju enam tahun lagi terpaksa menghadapi krisis bekalan air.

Catuan air boleh menyebabkan imej negara terjejas. Pelabur tidak berani menanam modal kerana ketiadaan air boleh menjejaskan operasi mereka.

Mereka pelik, Malaysia yang mempunyai kadar hujan tinggi dan lengkap dengan pelbagai kemudahan dan takungan air besar menghadapi masalah bekalan air yang meruncing. Rakyat yang menyedari hak mereka, menyalahkan pihak berkuasa terbabit kerana gagal menyediakan prasarana asas kepada rakyat.

Sasaran utama ialah kerajaan PKR Selangor yang lewat membuat keputusan untuk melaksanakan Loji Rawatan Air Langat 2. Jika kerajaan negeri bersetuju dengan projek itu lama dulu, mungkin catuan air tidak berlaku. Kerajaan bukan saja rugi dari segi masa dan kos yang meningkat, malah kepakaran jurutera tempatan yang tidak dapat digunakan akibat penentangan kerajaan pembangkang Selangor.

Hari ini, beberapa pihak berhasrat mengambil tindakan mahkamah terhadap Kerajaan PKR Selangor, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pihak yang dianggap sebagai punca kepada masalah yang berpanjangan ini.

Air jadi isu politik

Masalah air dan catuan bekalan air sudah menjadi isu politik panas. Jika dulu, isu ini membabitkan perbalahan antara Kerajaan Pusat dan parti pembangkang khasnya di Selangor, hari ini ia menjadi pertikaian dalaman sesama sendiri antara pemimpin parti pembangkang.

Paling jelas, isu ini memberi tekanan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan berhubung pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Langat 2.

Isu air ini menjadi penentu kepada kedudukan Abdul Khalid, sama ada akan terus kekal menerajui negeri itu atau sebaliknya. Ujian getir yang akan beliau hadapi ialah saingan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR yang kini disandang oleh Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin sudah pun berkempen menjadikan isu Abdul Khalid menandatangani MoU dengan kerajaan Februari lalu itu sebagai modal politik untuk ‘membunuh’ kerjaya politik Menteri Besar itu.

Beliau dan penyokongnya tidak bersetuju dengan tindakan Abdul Khalid yang bertindak tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada pucuk pimpinan PKR. Abdul Khalid pula dalam penjelasannya mengatakan beliau berbuat demikian kerana tidak mahu menyusahkan rakyat.

Selagi projek Loji Rawatan Air Langat 2 tidak dilaksanakan, rakyat akan terus menghadapi catuan khasnya apabila berlaku kemarau. Mohamed Azmin pula secara terbuka mengatakan Abdul Khalid membelakangkan parti. Tindakan Abdul Khalid itu dijaja menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti.

Jika Mohamed Azmin berjaya meyakinkan perwakilan mengenai tindakan salah Abdul Khalid itu, bermakna Menteri Besar itu terpaksa mencari jalan keluar. Sebaliknya, jika perwakilan berasakan Abdul Khalid mempunyai alasan kukuh untuk menandatangani MoU itu, tidak mustahil Mohamed Azmin pula yang akan kecundang.

Abdul Khalid yakin bahawa dengan melewatkan pembinaan projek Loji Rawatan Air Langat 2, rakyat menghadapi masalah berterusan. Bagi beliau, keputusannya selaras dengan kehendak dan kesejahteraan rakyat.

Pengajaran kepada semua pihak

Sesungguhnya, catuan air yang berlaku sekarang adalah satu pengajaran. Ramai yang mula sedar betapa pentingnya air dalam kehidupan – segala-galanya memerlukan air daripada mengambil wuduk sehinggalah kepada mandi dan memasak.

Bekalan air begitu penting kepada manusia tidak kira di bandar atau di mana juga.

Di bandar yang sebelum ini dianggap paling awal menerima kemudahan bekalan air bersih, sekarang keadaan adalah sebaliknya. Di bandar pula yang kekurangan air. Disebabkan kemudahan bekalan air paip sudah dibina hampir ke setiap desa, perigi pun jarang ditemui. Itulah sebabnya bila berlaku catuan, penduduk kampung juga terjejas.

Air banyak meninggalkan peristiwa di negara ini dan dunia. Pada masa ini, air di Lautan Hindi menyimpan rahsia di mana pesawat MH370 terdampar.

Air lautan yang luas sejauh mata memandang dan sedalam sehingga mencecah lima kilometer, menyukarkan misi mencari dan menyelamat walaupun menggunakan peralatan canggih.

Air seperti juga api, ketika kecil menjadi kawan, tetapi bila besar menjadi lawan. Air laut yang bergelora bukan saja boleh membunuh manusia, malah boleh menenggelamkan kapal yang besar. Ketika tsunami melanda, air laut yang mengganas membunuh ribuan manusia dan merosakkan harta benda di beberapa negara.

Tanpa tsunami juga, korban boleh diakibatkan oleh banjir yang disebabkan hujan lebat dan sistem pengaliran serta perparitan yang tidak baik. Banjir membunuh ramai manusia, termasuk ketika mereka yang bermain dengan air.

Air yang tenang, jangan disangka tiada buaya. Air yang dibiarkan bertakung adalah tempat nyamuk Aedes membiak dan menjadi punca wabak demam denggi yang meragut banyak nyawa manusia. Berita Harian Rencaa 2014/04/18 - 20:46:51 PM Mior Kamarul Shahid
Tags: air, politik
Subscribe

  • Raja, rakyat dan perlembagaan

    TIDAK berapa lama dulu seorang diplomat Thai memberitahu bahawa saya tidak perlu menunjukkan pembesar dan pemimpin Thai berinsut di lantai ketika…

  • Perlembagaan Persekutuan bukan saluran pecat pemimpin

    SAYA terpanggil untuk berkongsi pandangan perundangan mengenai isu ini kerana sejak akhir-akhir ini, ada yang menyatakan pandangan dan tafsiran…

  • Hak kebebasan berhimpun

    DALAM masyarakat demokratik, rakyat memainkan peranan penting menyemak dan mengimbangi (check and balance) cabang-cabang kerajaan supaya tidak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments