Banyak sebenarnya orang seperti Joyah di negara orang. Ada yang terus menginap di sana, ada pula yang masih mengekalkan kerakyatan mereka. Apapun status kenegaraan mereka, kelompok ini masih berbangga menjadi Melayu, mengekalkan mana boleh adat resam Melayu, juga cara hidup Melayu. Lebih penting lagi mereka bertahan dengan agama mereka serta memastikan anak-anak mengetahui asal usul mereka.
Ada juga yang hilang identiti melalui bahasa dan agama mereka – terpisah dari arus perdana dunia Melayu sejak sekian lama. Ada yang sekadar bernama Melayu tetapi tidak lagi mengamalkan adat resam, bahasa malah agama orang Melayu.
Pengembara tersohor
Orang Melayu memang telah menjadi petualang (istilah yang kemudiannya diberikan unsur negatif dalam bahasa kita), pelayar, pedagang dan pengembara tersohor sejak zaman berzaman. Pelaut Bugis ditakuti oleh pedagang Barat sewaktu mereka mencari rempah ratus di sini. Pengembaraan anak-anak Melayu dengan kapal membawa mereka ke dunia yang berbeza. Akibat dari pembuangan anak-anak Melayu dari Kerajaan Mataram dan tempat-tempat lain di Indonesia oleh Belanda, banyak yang kini menghuni Cape Town di Afrika Selatan. Sewaktu Inggeris memerintah Tanah Melayu, banyak anak Melayu yang belayar ke pelabuhan di England, ada yang terus menetap di sana.
Sekiranya kita meyakini novel Panglima Awang karya novelis tersohor Harun Aminurashid, orang pertama yang mengelilingi dunia bukan Ferdinand Magellan, tetapi Panglima Awang yang dikenal dengan nama Sepanyolnya, Enrique. Tentu kenyataan ini akan dipertikaikan oleh banyak pihak. Tetapi Panglima Awang menjadi sebahagian daripada psyche orang Melayu tentang kehebatan, keperwiraan dan semangat pengembaraan. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menobatkan kisah ini daripada landas cereka kepada sejarah apabila beliau menyebut kemungkinan itu dalam satu ucapan di Latin Amerika.
Mula hidup baharu
Di dalam diaspora Melayu sendiri, pengembaraan dan perantauan bukan perkara yang asing. Orang Minangkabau punya tradisi perantauan yang diinstitusikan. Orang Bugis percaya perlunya ‘membakar kapal’ bagi tujuan asimilasi dengan penduduk tempatan. Orang dari Pulau Jawa bergerak ke seantero Nusantara memulakan hidup baharu. Mereka membawa bersama-sama tradisi dan budaya, juga adat resam, malah ada kalanya kepercayaan leluhur.
Tidak kurang juga anak-anak Melayu yang mencipta nama di rantau yang lain – di Barat misalnya. Bilangan mereka tentunya ramai. Joyah Vegas memberi tahu Manja bahawa dalam tempoh empat bulan beliau mempromosikan kad telefon, 2,000 orang rakyat Malaysia telah dapat didaftarkannya. Itu hanya bagi kawasan sekitar New York, Washington, Los Angeles dan Chicago. Sebahagian besarnya tentunya anak-anak Melayu.
Bermastautin di negara Barat
Kita juga harus ingat selain ribuan anak-anak Melayu yang belajar di negara-negara Barat, ada yang memilih untuk tidak pulang dan bekerja di sana. Malah, ada yang bermaustatin di sana. Masyarakat Melayu di luar negara sebenarnya besar, cuma kita perlukan data yang secukupnya bagi memperkukuh bukti kehadiran mereka. Di banyak tempat wujud ‘kampung Melayu.’ Malah ada setengah-setengah pelajar Melayu yang tidak berinteraksi dengan pelajar lain dan hidup dalam kepompong Melayu mereka sahaja. ‘Anak dagang di rantau orang.’ Pantun, peribahasa, simpulan bahasa, syair dan gurindam orang Melayu banyak merakamkan suka duka, keresahan, kerinduan dan nostalgia anak-anak di perantauan ini.
Mereka sedih dan rindu tetapi cekal untuk tabah untuk meneruskan kehidupan. Benarlah perbidalan Melayu, hujan batu negeri sendiri berbanding hujan emas di negara orang, tentulah baik lagi negeri sendiri. Dalam bukunya Pantun Dalam Kebijaksanaan Akal Budi Melayu” Profesor DiRaja Ungku Aziz mengkaji beberapa buah pantun mengenai pedagang. Kisah perantauan ini bukan sahaja dilihat pada isi pantun tetapi juga pada pembayang maksudnya. Ungku Aziz antara lain memetik dua pantun ini:
Perahu payang layarnya merah
Belayar menuju arah utara
Keris dipegang bersintukkan darah
Adat pahlawan membela negara
Kalau berperahu ke Kuala Dipang
Singgah ke Jambi membeli bunga
Kalau dah tahu dagang menumpang
Ikutlah resmi ayam betina
Demikianlah indahnya pantun mengenai pengembara dan perantau di dalam bahasa Melayu. Pantun ini merupakan manifestasi adab dan susila serta kebijaksanaan dan resmi juga amalan orang berdagang.
Berjaya di rantau orang
Apakah orang Melayu lebih berjaya di rantau orang? Kecuali mereka yang teraniaya, rata-rata anak Melayu di perantauan tidaklah hidup merempat. Malah, banyak yang mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang. Selain menjadi profesional banyak juga yang terbabit dalam bidang perniagaan. Mungkin kerana berasa perlu ‘membuktikan sesuatu,’ maka mereka perlu ‘berjaya.’ Tidak sudah menjadi senang di tempat sendiri, tetapi semakin susah untuk berjaya di tempat orang. Semangat itulah yang memastikan kejayaan bagi ribuan anak Melayu di rantau orang, termasuk Joyah Vegas. Berita Harian Rencana 2014/04/24 - 08:38:08 AM Johan Jaaffar