kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Media sosial disalahgunakan wartawan celup

Media sosial seperti Facebook, Twitter dan blog terus berkembang menjadi platform utama masyarakat sebagai medium perhubungan antara satu sama lain. Capaian maklumat dan perhubungan yang cepat dan pantas dilihat antara faktor utama menjadikan media sosial sebagai medium perhubungan utama manusia di seantero pelusuk dunia mutakhir ini.

Bayangkan dalam sekelip mata semua peristiwa yang berlaku di seluruh dunia dapat kita ketahui melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter. Pada hari ini hampir keseluruhan pelajar sekolah rendah dan menengah mahupun golongan belia mempunyai akaun Facebook.


Dalam konteks hebahan maklumat dan komunikasi kita tidak dapat nafikan bahawa media sosial banyak membawa kepada kebaikan terutamanya dari segi membantu menjadi medium perhubungan ataupun hebahan tentang sesuatu perkara. Misalnya, kumpulan sasaran dapat mengetahui maklumat yang berkaitan dengan cepat dan pantas. Malah, media sosial juga sering digunakan oleh pemimpin untuk berkomunikasi secara langsung dengan rakyat seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri yang begitu aktif dalam Facebook dan juga Twitter. Beliau sering menggunakan medium ini untuk membuat sebarang hebahan, pengumuman mahupun ucapan kepada seluruh rakyat Malaysia. Rakyat juga dapat terus memberi maklum balas kepada beliau melalui medium yang sama. Ringkasnya, media sosial berjaya mendekatkan pemimpin dengan rakyat.


Salah guna teknologi

Justeru andai kita dapat menggunakan media sosial ini dengan bijak, matang dan profesional ia memberikan kebaikan kepada semua pihak. Namun apa yang mengecewakan ialah apabila ada dalam kalangan pengguna media sosial ini yang cuba mengambil kesempatan dan menyalah guna kecanggihan teknologi yang ada ini untuk kepentingan peribadi sehingga boleh mencetuskan pelbagai kontroversi, musibah dan malapetaka.

Misalnya tindakan pihak tertentu yang menyebarkan gambar mendiang Karpal Singh yang maut dalam kemalangan. Tidak wajar soal kematian dijadikan bahan gurauan. Apakah kita sedar dan mengambil kira perasaan ahli keluarga mangsa yang berada dalam kesedihan. Ini ditambah lagi apabila ada pihak yang mempolitikkan isu ini di samping memberi komen yang tidak wajar. Ini bukan kali pertama perkara seumpama ini berlaku. Apakah kita lupa insiden pegawai bank yang mati ditembak oleh pengawal keselamatan warga asing tempoh hari. Gambar pegawai terbabit yang berlumuran darah juga dimuat naik dalam media sosial sepantas kilat.


Bukankah tindakan tidak berperikemanusiaan seperti ini mengaibkan mangsa dan keluarga mereka? Mana timbang rasa dan nilai kemanusiaan kita? Begitu juga halnya apabila berlaku sesuatu kemalangan jalan raya yang mengerikan. Segala gambar yang tidak wajar terus dihebahkan untuk tatapan seluruh dunia. Ringkasnya media sosial berjaya melahirkan terlalu banyak wartawan celup yang tidak beretika dan tidak profesional. Ini jelas satu perkembangan yang tidak sihat dalam kita mahu melahirkan masyarakat yang bersopan santun dan bertamadun terutamanya menuju negara maju menjelang tahun 2020.


Berbentuk spekulasi

Keghairahan pengguna media sosial yang tidak beretika seperti ini menyebabkan segala maklumat yang tidak wajar dan tidak patut turut dihebahkan untuk tatapan khalayak. Lebih mengecewakan apabila maklumat yang tidak sahih dan berbentuk spekulasi serta andaian juga terus menjadi pilihan utama pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab hanya atas tiket kebebasan. Misalnya, apakah kita lupa segala andaian, spekulasi, kontroversi dan teori yang disebarkan dalam media sosial tentang misteri kehilangan pesawat MH370 tanpa sedikitpun menghiraukan perasaan waris dan ahli keluarga 239 penumpang dan anak kapal.

Itu belum lagi tindakan individu yang suka mempermainkan dan mencetuskan provokasi dalam kalangan masyarakat membabitkan pelbagai isu sensitif seperti, kematian, agama dan bangsa. Akibatnya masyarakat menjadi keliru kerana terlalu banyak andaian, teori dan spekulasi disebarkan dengan pelbagai fakta dan hujah mengikut justifikasi masing-masing.

Apakah kita sedar perbuatan seperti ini boleh mendatangkan pelbagai masalah besar dan kritikal. Antaranya, boleh menghakis keharmonian kaum serta budaya saling hormat menghormati antara kaum, mencetuskan perbalahan dan pergaduhan dalam masyarakat, menggugat dan mengancam keselamatan negara serta merosakkan hubungan baik dengan pihak luar terutama hubungan diplomatik dengan negara luar. Jadilah pengguna media sosial yang bertanggungjawab, sopan dan beretika.

Noor Mohamad Shakil Hameed adalah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia Berita Harian Rencana 2014/04/23 - 07:54:44 AM
Tags: blog, facebook, media, twitter
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments