kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pemodenan undang-undang fitnah negara

Dua tiga hari lalu saya bersembang dengan sahabat karib, seorang usahawan bergelar Datuk berasal dari Pulau Pinang tapi kini menetap di Alor Setar. Walaupun fokus perniagaan sahabat saya ini adalah bidang perhotelan, dia rajin membaca buku undang-undang, berminat menimba ilmu dalam hal-hal perundangan dan sering bertanyakan sesuatu yang ada kaitan dengan undang-undang negara. Kali ini dia bertanya kenapakah kebelakangan ini begitu kerap sekali kes-kes fitnah difailkan oleh pihak-pihak tertentu, terutamanya figura awam terhadap pertubuhan media?



Jawab saya ringkas sahaja: "lubuk emas".

Sebelum saya jawab soalannya lebih lanjut lagi, saya ingatkan beliau bahawa disebabkan kes-kes ini sudah menjadi sub judice, kita perlu berhati-hati ketika membuat komen, apatah lagi membuat spekulasi tentang keputusan kes-kes tersebut.

Kita sedia maklum bahawa antara kes membabitkan figura awam yang dimaksudkan oleh sahabat saya itu ialah saman fitnah oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap pemimpin Perkasa Negeri Sembilan, Ruslan Kassim dan enam defendan yang lain. Selain itu, ada saman fitnah yang difailkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Utusan Melayu (M) Bhd.

Tuntutan Lim adalah berasaskan satu laporan atau rencana yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dan New Straits Times pada 2 Oktober 2011, manakala tuntutan Anwar pula adalah berhubung isu pencerobohan rakyat asing di Lahad Datu, Sabah.

Saya ingatkan sahabat saya itu tentang konsep kebebasan akhbar yang terkandung dalam Universal Declaration of Human Rights. Artikel 19 dokumen penting itu menyatakan, antara lain, bahawa "Everyone has the right to freedom of opinion and expression..."

Di peringkat negara kita pula, kebebasan ini dijamin dalam Perkara 10 Perlembangaan Persekutan (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan). Walau bagaimanapun, kebebasan akhbar yang dijanjikan di bawah Perlembagaan ini bukan sesuatu yang mutlak kerana Fasal (4) Perkara 10 itu menyatakan bahawa Parlimen boleh menerusi undang-undang menghalang kebebasan itu.

Selain itu, kebebasan akhbar ini dihadkan oleh pelbagai undang-undang lain, termasuklah undang-undang fitnah, hasutan, penghinaan mahkamah, undang-undang privasi, undang-undang rahsia rasmi dan sebagainya.

Antara masalah besar yang dihadapi organisasi media tempatan pada masa ini ialah undang-undang fitnah kita, yang terkandung dalam Akta Fitnah 1957, sudah usang dan ketinggalan zaman.

Undang-undang fitnah kita dipadankan kepada undang-undang Inggeris lama (Akta Fitnah mereka pada tahun 1952). Malangnya undang-undang Inggeris itu terus diperbaharui dan dikemas kini untuk mengambil kira perkembangan semasa, tetapi kita gagal berbuat demikian.

Situasi ini berlaku mungkin kerana kita tidak ada satu Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang (Law Reform Commission).

Perlu ditegaskan bahawa di beberapa negara Barat, sekiranya ada pengamal media disaman oleh figura awam (artis, tokoh politik, orang kenamaan dan sebagainya), pengamal media menikmati hak pembelaan yang dinamakan responsible journalism (kewartawanan bertanggungjawab). Malangnya, kita miskin undang-undang; perkembangan sedemikian itu masih lagi belum berlaku di negara ini.

Pada 2009 lalu, Mahkamah Agung Kanada ada menyatakan bahawa undang-undang fitnah berasaskan common law di takuk lama tidak sewajarnya terus dipakai. Dalam kes Grant v. Torstar Corp. (2009) SCC 61, mahkamah itu memutuskan bahawa had dan batasan yang dikenakan kepada kebebasan bersuara di negara itu hendaknya tidak terlalu luas hingga mengekang kebebasan bersuara.

Mahkamah Agung Kanada itu seterusnya menyatakan jika dalam satu kes saman media itu, wartawan yang menulis artikel atau komen itu bertindak penuh bertanggungjawab (memastikan kebenaran fakta yang menjadi asas artikel atau komen itu), dan perkara yang ditulis itu ada kaitan dengan kepentingan awam, wartawan itu boleh menggunakan pembelaan itu.

Sambil menyatakan bahawa undang-undang fitnah yang sedia ada "had a chilling effect on press freedom", mahkamah juga menegaskan bahawa pembelaan ini boleh digunakan bukan hanya apabila perkara yang ditulis atau disiarkan itu melibatkan figura awam, malahan sesiapa sahaja, asalkan apa yang disiarkan itu ada kepentingan awam.

Terdahulu, semasa kes didengar di Mahkamah Rayuan, Hakim Robert J. Sharpe menyatakan bahawa undang-undang fitnah Kanada tidak sewajarnya terus menerus mengorbankan kebebasan bersuara hanya untuk melindungi reputasi ("Canadian libel law should no longer sacrifice freedom of expression in order to protect reputations").

Ekoran keberanian serta kesanggupan mahkamah mengiktiraf pembelaaan responsible journalism itu, undang-undang fitnah di beberapa negara (termasuklah di Britain, Australia, New Zealand, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat) diperbaharui dan dikemas kini.

Inisiatif

Dalam bahasa mudah yang boleh difahami oleh rakyat biasa, mahkamah telah mengambil inisiatif, menunjukkan jalan bagaimana badan perundangan di negara berkenaan sewajarnya bertindak.

Soalnya, bilakah perkara seperti ini boleh berlaku di Malaysia? Disebabkan Parlimen kita terus membiarkan Akta Fitnah kita dalam keadaan lapuk dan usang, apakah pengamal undang-undang kita sudah cukup arif dan bertenaga berhujah dan meyakinkan institusi kehakiman negara kita untuk membuat pembaharuan yang dikehendaki?

Di peringkat inilah dalam perbualan saya dengan sahabat, beliau mencelah dan bertanya apakah mahkamah kita boleh berbuat demikan? Tidakkah peranan mahkamah hanya mentafsir dan mengisytiharkan undang-undang, manakala peranan membuat dan membaharui undang-undang itu adalah tugas dan peranan Parlimen? Tidakkah itu yang dimaksudkan oleh ungkapan ‘judges declare the law, not make new law’?

Jawapan saya mudah sahaja. Saya ingatkan sahabat saya itu pastinya dia masih ingat satu kes yang pernah dibaca olehnya, iaitu kes Donogue v Stevenson (1932). Dalam kes itu House of Lords telah menggariskan asas baru undang-undang kecuaian. Jika tidak kerana kes ini, undang-undang kecuaian yang kita ada sekarang di negara ini tidak akan wujud.

Lord Radcliffe, dalam sebuah bukunya Not in Feather Beds yang diterbitkan dalam tahun 1968, ada berkata; "There was never a more sterile controversy than upon the question whether a judge makes law. Of course he does. How can he help it?"

Lord Reid juga, dalam ucapannya pada satu ketika ada berkata; "We do not believe in fairy tales any more, so we must accept the fact that for better or worse judges do make law." Hakim yang terkenal ini juga pernah menyatakan; "Developing or creating new law is inevitable to do justice, or to bring law in line with social changes."

Lord Denning juga pernah berkata; "The judges do every day make law, though it is almost heresy to say so."

Kembali kepada "lubuk emas" yang saya sebutkan tadi, saya ingatkan sahabat saya disebabkan pembelaan responsible journalism ini tidak wujud (belum diiktiraf) di negara ini, pengamal media yang menjadi defendan dalam kes-kes fitnah yang difailkan oleh figura awam tempatan ini terpaksa terus berdepan dengan tuntutan ganti rugi berjuta ringgit.

Dalam banyak kes yang telah diputuskan sebelum ini, pengamal media yang dijadikan defendan hanya berperanan melaporkan (menyiarkan semula) secara jujur dan betul (tanpa menokok tambah) tanpa niat jahat (malice) perkara yang pertama kali diucapkan oleh pihak lain. Disebabkan defendan dikenal pasti sebagai soft targets yang mempunyai dompet tebal (berbanding barangkali dompet tipis pihak lain yang mengucapkan kata-kata yang didakwa memfitnah itu), kadangkala plaintif langsung tidak menamakan pihak lain itu, sebaliknya menamakan pengamal media berkenaan sahaja sebagai defendan utama.

Soalan mutakhir sahabat kepada saya pada hari itu berbunyi; "Apa jadinya kalau peguam kita tidak mampu berhujah dan meyakinkan hakim kita? Apa jadi kalaupun sudah dihujah oleh peguam, hakim kita tidak berani atau tidak bersedia mengiktiraf pembelaan itu?"

Jawapan saya andainya itu berlaku, prospek pemodenan undang-undang fitnah kita amat tipis sekali. Pengamal media (serta majikan/organisasi mereka) akan terus menjadi lubuk emas kepada sesiapa sahaja yang mendakwa diri mereka telah difitnah.

SALLEH BUANG ialah penganalisis undang-undang. Utusan Rencana 20140427

Tags: undang-undang
Subscribe

  • 'Berjuang sehingga ke akhir hayat'

    "LIHATLAH dunia, aku ini anak wayang!" merupakan ungkapan paling popular yang sekaligus terus mengingatkan kita kepada si pengucapnya…

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments