kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik-Bisik Awang Selamat

Obama - Najib

KEBANYAKAN rakyat Malaysia belum lahir ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Lyndon B. Johnson melawat negara ini pada tahun 1966.

Semalam, buat kali kedua, Presiden AS - kali ini - Barrack Obama menjejakkan kaki ke negara ini dalam lawatan bersejarah.

Sebagai pemimpin negara paling berkuasa, lawatan tersebut menjadi tumpuan dan sudah tentu diharap membawa impak besar kepada hubungan dua hala.

Sejarah membuktikan hubungan AS-Malaysia menyerlah ketika era Obama sebagai Presiden dan Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri pada 2009.

Pendekatan Najib yang mengutamakan muafakat dalam menjayakan percaturan Malaysia, mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur dan Washington di sebalik pasang surut cabaran diplomatik. Awang melihat strategi tersebut membuahkan hasil. Malaysia tidak rugi apa-apa, malah menerima banyak kesan positif dalam politik antarabangsa yang harus diolah dengan bijaksana. Kepentingan Malaysia termasuk dalam isu-isu kritikal membabitkan kedua-dua negara terus terpelihara, tiada apa yang dikorbankan.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa Najib telah banyak meneutralkan pengaruh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim ke atas AS. Di sebalik gerakan melobi dan memburuk-burukkan kerajaan Malaysia selama bertahun-tahun oleh Anwar dan aktivis propembangkang, pentadbiran AS makin menyakini kerajaan pimpinan Najib. Keterbukaan beliau dan kebolehannya dalam pentadbiran terutama pengurusan ekonomi negara serta dasar luar, menjadikan Malaysia terus disegani dunia.

Ketika Najib bekerja keras untuk kemakmuran negaranya, Anwar lebih sibuk menghasut dunia terutama AS agar menekan dan menghukum Malaysia. Awang percaya pentadbiran Obama arif dalam menilai antara Najib dan Ketua Pembangkang itu, yang kini bergelut dengan isu moral dan integriti.

Maka ramai rakyat Malaysia lega apabila Obama menolak menemui Anwar dalam lawatan tersebut, yang kini terdesak untuk menyelamatkan dirinya selepas dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana meliwat. Seperti juga di AS, rakyat Malaysia mahukan pemimpin yang bermoral, bersih dan berwibawa, bukannya ikon yang songsang.

Meskipun Anwar diberi ruang menemui Penasihat Keselamatan, Susan Rice, ia sekadar menepati dasar keterbukaan negara tersebut. Dalam dunia diplomatik, harus diakui tiada kesempurnaan. Apatah lagi hubungan antara kuasa besar dengan negara kecil seperti Malaysia. Meskipun ada perbezaan pendirian dalam beberapa isu termasuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), ia bukan halangan besar.

Buktinya, komitmen AS sebagai rakan dagang terbesar hinggalah bantuan misi mencari pesawat MH370, sebagaimana diikrarkan oleh Obama sebelum ini, adalah terpuji.

Gaya kepimpinan beliau juga lebih disenangi ke atas negara-negara sahabatnya. Menurut ramai pemerhati, Obama tidak ghairah sebagaimana presiden-presiden terdahulu untuk campur tangan dan menekan Malaysia.

Awang sendiri masih terngiang-ngiang ucapan Naib Presiden AS, Al Gore pada Sidang Kemuncak APEC di Kuala Lumpur pada 1998 yang termakan hasutan Anwar. Episod itu seboleh mungkin mahu dilupakan oleh rakyat Malaysia.

Yang penting daripada lawatan Obama ialah apa yang boleh dicorakkan selepas ini tanpa ada banyak gangguan daripada pihak ketiga seperti Anwar. Kepada Obama dan Najib, tahniah. Semoga bermulalah fasa baharu, yang boleh menjadi sandaran.

Murahnya Pas?

Perkembangan isu hudud makin panas. Terbaharu, dilaporkan mesyuarat Jawatankuasa Penerangan Pas sudah mengambil langkah susulan untuk meneruskan rancangan melaksanakan hudud di Kelantan biarpun mendapat bantahan sekutu Pakatan iaitu DAP dan PKR.

Ini menjadikan kesemua komponen utama dalam Pas termasuk Dewan Ulama sudah bertekad tidak mahu berganjak.

Pada masa yang sama, para pemimpin DAP dan PKR meningkatkan tekanan ke atas Pas. Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke menggesa Pas meninggalkan Pakatan jika mahu meneruskan hasrat membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi melaksanakan hukum hudud. Wow, Pas yang telah banyak berkorban kepada pakatan mahu dihalau begitu sahaja. Murahnya nilai Pas, seolah-olah tiada ruginya tanpa parti itu.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pula mengulangi pendirian parti itu menolak hudud kerana ia bercanggah dengan konsensus yang dipersetujui Pakatan pada 2011. Kini halangan Pas, bukan lagi UMNO sebaliknya parti sekutu. Persoalannya, apakah Pas akan tunduk beralah kepada DAP dan PKR? Awang bersimpati dengan Pas tetapi yakin parti itu tidak akan menjadi dayus mengikut telunjuk DAP, yang selama ini memudaratkan kepentingan Islam.

Pada Awang, isu tersebut bukan sahaja menguji permuafakatan dalam Pakatan malah berkemungkinan membuka landskap baharu politik tanah air.

Kepada ahli-ahli dan para penyokong Pas, bangkitlah bersatu sampaikan mesej bahawa parti itu masih ada harga diri.

Lagi kisah GLC

KEDENGARAN cakap-cakap tentang sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang pengerusinya ghairah menggunakan kuasa sehingga terlebih-lebih.

Walaupun bukan berstatus pengerusi eksekutif, khabarnya, beliau bertindak seperti ketua pegawai eksekutif atau pengarah urusan menyebabkan pengurusan kanan tertekan tetapi mereka tidak berani bersuara. Ada lagi dakwaan-dakwaan terperinci membabitkan pengerusi berkenaan, yang tidak sesuai untuk didedahkan pada peringkat ini.

Jika benarlah, Awang berharap, ia dapat diperbetulkan segera. Sepatutnya pengerusi menjadi teladan mendokong tadbir urus terbaik, menjaga integriti dan menghormati bidang kuasa pihak pengurusan profesional. Berpeganglah pada prinsip itu, pasti selamat selain berkat.

Satu lagi isu yang menarik perhatian ialah kritikan beberapa pihak terhadap Johor Land Bhd (Johor Land), GLC di bawah kerajaan negeri Johor.

Berdasarkan laporan, beberapa pembekal dan kontraktor bumiputera membuat aduan mereka menjadi mangsa pilih kasih dan kerenah birokrasi selain masalah kelewatan pembayaran.

Mesej yang mahu disampaikan oleh para pengadu ialah Johor Land tidak berminat membantu usahawan bumiputera. Dengan kata lain, kacang lupakan kulit.

Dalam hal ini, syarikat itu wajar diberi peluang membela diri. Seandainya penjelasan tidak meyakinkan dan dakwaan-dakwaan tersebut sahih, Kerajaan Negeri Johor perlulah bertindak sebelum kulit menjadi isi.

SKMM lesu?

Suara-suara kritikan terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terus kedengaran kerana dilihat gagal menangani ancaman penyangak siber yang terus menggugat ketenteraman awam.

Walaupun banyak aduan polis dan pelbagai kenyataan telah dikeluarkan berhubung isu serangan Red Bean Army (RBA) iaitu penyangak siber tajaan pembangkang, SKMM kurang responsif. Bagai mencurah air di daun keladi.

Suruhanjaya itu lebih banyak memberikan alasan tentang kekangannya daripada mengambil langkah proaktif. SKMM tidak boleh memberikan isyarat yang salah dan bercelaru. Kegagalan dan kelemahan berpanjangan suruhanjaya itu memudaratkan negara.

Jika beginilah keadaannya, Awang setuju dengan pandangan yang kini berlegar bahawa penerajunya wajar berundur untuk memberi peluang kepada tokoh lain bagi membetulkan keadaan.

Kita perlu menyelamatkan situasi negara daripada menyelamatkan kedudukan individu. Strukturnya juga wajar diubah. Jika tidak silap Awang, ia satu-satunya badan berkanun yang pengerusi dan ketua pegawai eksekutif adalah orang yang sama. Di mana silapnya?

Nasib Moyes

Pemecatan Pengurus Manchester United (MU), David Moyes baru-baru ini menjadi tajuk utama berita sukan di seluruh dunia. Memandangkan MU, pasukan bola sepak ternama dengan tradisi kejayaan maka ia menjadi topik popular.

Malah di Malaysia, lebih banyak orang bercakap tentang Moyes sebaik-baik sahaja dipecat daripada mana-mana isu lain. Awang seperti juga ramai pengikut bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah menjangkakan, beliau akan dipecat kerana prestasi merudum MU. Pengurus dipecat adalah hal biasa dalam bola sepak profesional. Tetapi Awang bersimpati apabila Moyes merintih kerana kecewa dengan sikap legenda MU, Alex Ferguson yang tidak menyokong beliau di saat-saat sukar kebelakangan ini.

Ferguson memilih Moyes sebagai pengganti, tokoh itu jugalah yang turut berperanan menyingkirkan beliau akhirnya. Jika Awang boleh menasihatkan Moyes, akur sahajalah. Berilah peluang kepada Ferguson untuk menebus kesilapannya iaitu memilih anda.



Utusan Rencana 20140427
Tags: glc
Subscribe

  • Kisoh Igak Ikang

    Doh wak gane ni orrrkk , kisoh petang ning lepah ' minung bir' .... bace deh ... kawang daghi ganu ato ... jangang maghoh ke ambe plok ...…

  • Kursus Bahasa Untuk Penerbangan ~ Loghat Perthliess (Abi)

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Sat lagi kita nak mendaghat di Lapangian Teghebiang Cupin Tali pinggiang tu tulung pakai takut nye pelantin pi depan sat…

  • History of the Old Melake

    Soalan KBAT atau Higher Order Thinking Skills Malayan Examination Chong worried over emphasis on exam results JERANTUT: An education system that…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments