kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Komunis anti penjajah?

SEMASA Stalin diumumkan meninggal dunia pada 6 Mac 1953, Nikita Khrushchev, yang bakal mengisytiharkan segala kezaliman dan keburukan pemerintahan Stalin, mengetuai Parti Komunis Wilayah Moscow. Parti Komunis Kesatuan Soviet (PKKS), serentak dengan pengumuman kematian Stalin, mengumumkan juga barisan kepimpinan baharu PKKS terdiri daripada Georgy Malenkov sebagai Pengerusi baharu Majlis Menteri-menteri negara Soviet dengan didukung empat orang Naib Pengerusi iaitu Lavrentiy Beria, Lazar Kaganovich, Nikolai Bulganin dan Vyacheslav Molotov. Selain itu, beberapa anggota Presidium Jawatankuasa Pusat PKKS yang baharu saja dilantik oleh Stalin telah digugurkan kecuali Khrushchev.

Akhbar berpengaruh The New York Times, semasa melaporkan berita kepimpinan baharu PKKS itu, mencatatkan nama Malenkov dan Beria menduduki tempat teratas dan kedua dalam kalangan sepuluh anggota Presidium tersebut, manakala Khrushchev di tempat terakhir. Pengumuman itu juga menyebut Khrushchev diberhentikan daripada mengetuai parti di Moscow dan diberi suatu jawatan di peringkat Jawatankuasa Pusat yang tugas-tugasnya tidak ditetapkan. Dalam beberapa bulan sahaja selepas kematian Stalin, berlakulah pergeseran sengit dalam kalangan lima orang pemimpin kanan PKKS - Pengerusi dan empat Naib Pengerusi itu - untuk menentukan siapakah yang paling layak menggantikan Stalin.

Susulan itu, Khrushchev memperkukuhkan lagi kedudukannya dengan mendakwa Malenkov turut terbabit dalam kes-kes kekejaman semasa pemerintahan Stalin. Ini terutama selepas pihak pendakwaan Soviet menyemak fail-fail sulit yang disimpan Beria. Malah, Malenkov dituduh membantu ‘menaikkan’ nama Beria di mata Stalin. Pada Januari 1955, Malenkov dilucutkan daripada jawatan Pengerusi Majlis Presidium, digantikan oleh Bulganin.

Sementara itu, menjelang penghujung tahun 1955, beratus-ratus ribu tahanan Gulag telah dibebaskan dari tahanan. Mereka pulang ke tempat asal dan menceritakan kepada ketua-ketua parti Komunis tempatan tentang keazaban yang mereka lalui. Ini menjadi alasan kuat buat Khrushchev yang meminta wakil-wakil parti dari segenap pelosok negara Soviet memberi laporan kepadanya. Khrushchev bercadang mendedahkan sepenuhnya ‘jenayah-jenayah Stalin’ terhadap rakyat Soviet. Dia berpendapat, setelah ‘kekotoran Stalinisme’ dicuci bersih, lebih mudahlah usaha memulihkan imej parti di mata rakyat.


Nikita Khrushchev (kiri), Mao Tse-Tung dan Ho Chi Minh ketika meraikan
Majlis Ulang Tahun Ke-10penubuhan Republik Rakyat China pada 30 Oktober 1959.


Khrushchev melakukan ini semasa majlis pembukaan Kongres PKKS Ke-20 pada 14 Februari 1956. Sebagai Setiausaha Pertama parti, dia menyerang Stalin habis-habisan selama empat jam dalam ucapan bersifat ‘no holds barred’ itu. Di dalam buku memoirnya, Khrushchev menyebut bahawa "Kongres mengikuti ucapan saya dengan khusyuk, sampai kamu boleh dengar bunyi sebatang jarum yang jatuh…" Kata Khrushchev pada awal ucapannya: "Di sinilah (dewan kongres) Stalin kerap menunjukkan pelbagai sikap yang tidak bertoleransi, ganas dan menyalah guna kuasa … dia memilih jalan menindas dan membunuh bukan sahaja terhadap musuh-musuh sebenar, malah terhadap orang yang sebenar-benarnya tidak membuat kesalahan terhadap parti dan Kerajaan Soviet."

Reaksi

Ucapan Khrushchev itu pada awalnya ialah khusus untuk perwakilan parti sahaja. Sebab itulah ia terkenal dengan nama Khrushchev’s Secret Speech. Tetapi, tidak sampai tiga minggu selepas itu ia telah diketahui bukan saja di seluruh negara Soviet, malah negara-negara komunis yang lain, termasuk China. Pelbagai reaksi timbul, termasuk demonstrasi umum anti-Rusia di Poland dan kebangkitan revolusi anti-komunis di Hungary pada penghujung tahun 1956. Keresahan-keresahan juga berlaku di negara Soviet sendiri, termasuk yang menentang Khrushchev.

Sementara itu, di peringkat Majlis Presidium, kumpulan anti-Khrushchev, walaupun minoriti, berkomplot untuk menyingkirkan Khrushchev sebagai Setiausaha Pertama parti. Pada awal tahun 1957, Malenkov, Molotov dan Kaganovich berpakat menjatuhkan Khrushchev, tetapi hasil kesepakatan Khrushchev dengan Marsyal Zhukov, Panglima Tertinggi Tentera Soviet dan pihak keselamatan dalam negeri, hasrat tiga pemimpin kanan itu telah dipatahkan oleh Khrushchev. Mereka disingkirkan daripada jawatan dalam Majlis Presidium. Pada Jun 1957, Khrushchev mengambil alih kedudukan Pengerusi Majlis Presidium dan dengan itu, dia melantik dirinya sebagai Perdana Menteri menggantikan Bulganin.

Kesimpulannya, semasa pemerintahan Khrushchev yang berakhir pada Oktober 1964, dia banyak memperkenalkan dasar yang lebih liberal berbanding Stalin, walaupun ada penentang-penentangnya mendakwa dia tidak boleh terlepas begitu sahaja daripada dasar-dasar kekerasan di zaman Stalin. Ini kerana peningkatan kerjaya politiknya adalah dengan ihsan Stalin. Namun, ahli sejarah menganggap dasar-dasar liberal yang dimulakan Khrushchev terbukti menjadi ikutan kepimpinan Soviet selepas Khrushchev sehinggalah bulan Mac 1985 apabila Mikhail Gorbachev dilantik Setiausaha Agung PKKS dan dengan itu, menjadi Presiden Kesatuan Soviet sehingga Disember 1991.

Semasa pemerintahan Gorbachev, dasar ‘Glasnost’ dan ‘Perestroika’ yang bertujuan mengubah keadaan hidup masyarakat Soviet telah diperkenalkan. Glasnost memberi makna ‘keterbukaan’ yakni membenarkan warga Soviet menyuarakan pendapat mereka secara terbuka tanpa kawalan pihak berkuasa. Ini termasuk isu-isu menyentuh politik. Sedangkan Perestroika pula memberi erti ‘penstrukturan semula’. Dalam amalan kita di Malaysia, kedua-dua Glasnost dan Perestroika ini semacam sinonim dengan ‘transformasi’.

Namun begitu, langkah-langkah liberalisasi dan pembaharuan drastik yang dibawa Gorbachev itu terbukti menjadi ‘senjata menikam tuan’, bukan sahaja terhadap kepimpinan Gorbachev, malah terhadap keutuhan PKKS dan negara Kesatuan Soviet. Dasar itu langsung tidak membantu menyelesaikan segala masalah ekonomi yang dihadapi Soviet. Lebih malang lagi, dalam sekelip mata ia menghancurkan keutuhan negara kesatuan itu apabila negara-negara republik Soviet di Asia Tengah iaitu Azerbaijan, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan dan di rantau Baltik iaitu Latvia dan Estonia menuntut kemerdekaan daripada Moscow. Desakan-desakan untuk berpisah timbul juga di negara anggota Ukraine, Georgia, Armenia, Moldova dan tiga negara Islam di Caucasus seperti Chechnya, Ingushetia dan Dagestan.

Dalam menghadapi pergolakan politik yang kencang dan keadaan keselamatan dalam negeri yang sangat tidak menentu ini, Gorbachev mengambil langkah yang sangat luar biasa, langkah yang tidak diimpikan oleh pengasas-pengasas negara Soviet 74 tahun dahulu. Pada 24 Ogos 1991, sebagai Pengerusi Presidium Jawatankuasa Pusat PKKS, dia menasihatkan parti supaya Presidium dibubarkan, dia sendiri meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung parti dan dibubarkan juga semua unit parti dalam kerajaan. Beberapa jam kemudian, Presidium memutuskan menggantung semua kerja parti di semua pelosok Kesatuan Soviet. Ini bererti, pemerintahan komunis di seluruh negara itu adalah tamat berkuat kuasa mulai 24 Ogos 1991.

Dalam bulan-bulan yang berikutnya, satu demi satu negara republik yang menjadi anggota Kesatuan Soviet mengisytiharkan kemerdekaan masing-masing, termasuk Rusia sendiri di bawah pimpinan Boris Yeltsin. Ukraine, republik terpenting selepas Rusia, mengisytiharkan perpisahan pada 1 Disember 1991. Seminggu kemudian, pada 8 Disember 1991, Presiden Rusia, Ukraine dan Belarus bertemu dan memutuskan penubuhan apa yang dibilang Komanwel Negara-negara Bebas (CIS) yang kemudian dituruti oleh lain-lain republik Soviet yang telah merdeka itu.

Saya semacam telah meramalkan atau memendam rasa bahawa negara Kesatuan Soviet, yang tampak begitu monolitik itu, suatu hari pasti akan pupus. Kenapa saya katakan begitu? Di halaman 495 buku Chin Peng berjudul Chin Peng, My Side of History, beliau berkata apabila tiba di Phuket, Thailand (di mana perundingan damai dengan Parti Komunis Malaya diadakan) pada 3 November 1989; "… and was invited immediately by Rahim Noor for a private tete-a-tete. Just the two of us." Ini diadakan setelah kami habis makan malam pada hari itu. Semasa pertemuan empat mata itu, banyak perkara yang ditanyakan beliau kepada saya, begitu juga soalan-soalan saya kepada Chin Peng. Sebahagiannya telah pun disebutkan oleh Chin Peng dalam buku itu dan saya tidak menyanggahnya.

Walau bagaimanapun, Chin Peng tidak menyebut, semasa pertemuan itu, saya juga telah bertanya dia tentang satu perkara: Oleh sebab PKM atau orang komunis di seluruh dunia sangat benci kepada kaum penjajah, tidakkah orang Komunis di Rusia, yang dianggap contoh yang perlu diikuti, juga bersikap seperti kaum penjajah? Saya tanya Chin Peng, jika benarlah komunis anti-penjajah, kenapakah komunis Rusia tidak memerdekakan negara-negara Komunis di Asia Tengah kerana mereka adalah tanah jajahan Imperial Tsar Rusia untuk sekian lama? Mereka bukan orang Rusia dari segi etnik, amalan agama, adat resam dan bahasa. Tidakkah ini ertinya, saya tanya Chin Peng lagi, negara Kesatuan Soviet adalah bulat-bulat kesinambungan penjajahan imperial Rusia?

Terhadap ‘sergahan’ saya itu, Chin Peng tergamam sejenak sebelum dia menjawab dengan ringkas bahawa "Kesatuan Soviet adalah negara yang berasaskan ideologi yang mementingkan rakyat." Saya berhentikan di situ saja soalan itu untuk mengelakkan suasana menjadi tidak hening. Jadi, apabila Kesatuan Soviet musnah pada Disember 1991 - dua tahun selepas saya bertemu one-on-one dengan Chin Peng di Phuket - saya berfikir tentulah dia telah akur dengan ‘kebijaksanaan’ telahan saya itu. Ada lebih banyak lagi kisah pertemuan saya dengan Chin Peng di Phuket dalam coretan-coretan mendatang.


ABDUL RAHIM NOOR Utusan Rencana 20140427
Tags: komunis, pkm
Subscribe

  • Politik , Politicking

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments