kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Signifikan lawatan Obama

Lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia selama tiga hari, bermula semalam bakal mencipta sejarah tersendiri dan membawa hubungan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) ke fasa baharu, setelah ditunda sebelum ini.

Obama sebelum ini dijadualkan melawat Malaysia pada Oktober lalu, tetapi terpaksa dibatalkan setelah AS berdepan krisis pentadbiran apabila Kongres AS gagal meluluskan satu bajet khas Persekutuan, ekoran perbalahan berhubung rang undang-undang penjagaan kesihatan yang diutarakan oleh Obama, sehingga hampir melumpuhkan kerajaannya.

Lawatan sulung Presiden AS itu ke negara ini dalam tempoh 48 tahun, dilihat bukan sahaja bakal menguntungkan Malaysia sebelah pihak, tetapi juga kepada AS sendiri.

Selepas beberapa siri lawatan ke Asia sebelum ini, Obama menyedari beliau tidak boleh mengabaikan lawatannya ke negara-negara Islam di rantau ini, terutama negara-negara Islam berfahaman sederhana seperti Malaysia bagi memperbaiki imej AS di dunia Islam.

Daripada segi politik, lawatan Obama ke Malaysia kali ini, bukan sahaja merupakan satu penghormatan kepada Malaysia tetapi juga pengiktirafan kerajaan AS kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memperolehi mandat daripada rakyat setelah BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 pada tahun lalu.

Lawatan Obama merupakan lawatan keyakinan kerajaan AS terhadap Malaysia setelah hubungan Washington-Kuala Lumpur agak kurang memberangsangkan semasa era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (1981-2003) yang sering mengkritik keras polisi luar Washington, kata penganalisis.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam taklimat kepada media di Wisma Putra kelmarin sempena lawatan Obama ke negara ini mengakui kunjungan Presiden AS itu akan membawa lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-AS, selepas hampir 50 tahun pentadbiran AS mengabaikan kepentingan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Kali terakhir Presiden AS melawat Malaysia ialah pada 1966 oleh Presiden Lyndon B. Johnson.

Sejak lebih setengah abad, kepentingan AS banyak ditumpukan di rantau Asia Barat, serta menangani kebangkitan komunis dan melalui fasa perang dingin dengan blok komunis diketuai Kesatuan Soviet, dan diikuti kempen memerangi keganasan di seluruh dunia.

Imej AS di mata dunia Islam sangat buruk semasa kempen memerangi keganasan kerana pentadbiran AS sering melihat dunia Islam seolah-olah sebagai ‘musuh’ terutama semasa era Bush yang sering mengaitkan keganasan dengan Islam.





PRESIDEN Amerika Syarikat Barack Obama setibanya
di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang
bagi rangka lawatan ke ibu negara selama tiga hari bermula semalam.

AS juga sudah lama mengabaikan kepentingan di rantau ini, selepas banyak memberi tumpuan di Asia Barat dan terlalu memberi fokus kepada kempen memerangi keganasan.

Konflik di Syria dan isu pertikaian di Laut China Selatan dan Laut China Timur serta krisis di Ukraine mendorong AS untuk menilai semula strateginya dengan memberi fokus kepada Asia Timur bagi mengimbangi kuasa China di rantau ini.

Namun, AS berhati-hati dalam menyatakan kehadirannya di rantau ini, bukan sahaja bagi mengelakkan kemarahan China tetapi juga daripada segi strategi, dengan mengubah pendekatan daripada berpendirian sebagai paksi (pivot) kepada mengimbangi (rebalancing).

Merebut peluang

Dasar pivot lebih menjurus kepada meningkatkan cengkaman dan membina kekuatan tentera yang dilihat sangat tidak disukai oleh China dan dengan mengubah pendekatan itu kepada rebalancing ia bukan sahaja dilihat lebih lembut tetapi juga membawa faedah lebih besar kepada AS tanpa membangkitkan kemarahan China.

Dengan dasar mengimbangi semula pengaruhnya di rantau ini, AS bukan sahaja dapat memberi perlindungan keselamatan kepada sekutu-sekutunya di rantau ini seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Filipina daripada ancaman China dalam isu-isu melibatkan pertikaian wilayah maritim tetapi juga dapat merebut peluang-peluang ekonomi di rantau ini.

Banyak pihak melihat lawatan Presiden AS itu mempunyai dua agenda utama iaitu untuk mempengaruhi pemimpin-pemimpin rantau ini termasuk Jepun dan Malaysia menerima Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang lebih menguntungkan AS dan kedua adalah untuk mengukuhkan kedudukannya di rantau ini.Walaupun banyak pihak termasuk di Malaysia mengkritik lawatan Obama ke Asia kali ini, namun lawatan Presiden AS itu ke Malaysia sangat signifikan kerana ia dapat meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur di negara ini, terutama pelaburan dari Amerika, selain merancakkan lagi iklim perniagaan di Malaysia dan meningkatkan eksport.

Peningkatan hubungan dua hala AS-Malaysia akan dapat menjadi sinergi bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Malaysia dengan kemasukan pelaburan baharu dari AS, selain keyakinan pelabur dari negara lain, kerana lawatan Obama itu, sekali gus memberi gambaran keyakinan AS terhadap politik dan iklim pelaburan di negara ini, selain Malaysia sebuah negara yang bebas daripada ancaman keganasan dan selamat untuk membuat pelaburan.

Banyak pihak mendakwa lawatan Obama ke Malaysia adalah bagi memberi tekanan kepada Malaysia supaya menandatangani TPPA. Anifah menjelaskan Malaysia tidak akan menggadaikan kedaulatan negara dan mengetepikan kepentingan dan hak Malaysia sebelum menandatangani perjanjian itu.Blok perjanjian itu mengandungi 12 negara anggota termasuk Malaysia dan menguasai 40 peratus daripada perdagangan dunia.

Menurut Anifah, banyak rundingan perlu diadakan terlebih dahulu sebelum perjanjian itu boleh ditandatangani, selain ia perlu dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan sebelum diluluskan.

Katanya, kedatangan Obama ke Malaysia bukan untuk memberi tekanan kepada Malaysia atau untuk memihak, kerana Obama sendiri menyedari Malaysia mempunyai pendirian tersendiri berhubung dasar luar dan domestiknya dan fahaman kesederhanaan dan berkecuali yang menjadi pegangan Malaysia selama ini dan dasar berbaik-baik dan bersahabat dengan semua negara adalah kunci utama dalam menentukan hubungannya dengan semua negara termasuk dengan AS.

Dalam lawatan Obama ke Jepun sebelum tiba di Malaysia, dilaporkan AS-Jepun gagal mencapai sebarang kemajuan dalam rundingan berhubung TPPA apabila Jepun mempunyai pandangan berbeza berhubung sektor pertanian dan automotif.

Kini terbukti dakwaan pembangkang bahawa Jepun dan AS akan bersatu untuk menekan Malaysia supaya menandatangani perjanjian TPPA, sebagai tidak berasas. Lawatan Obama ke Asia kali ini termasuk Malaysia mencetuskan kebimbangan China yang menyaksikan AS cuba mengukuhkan kedudukannya di Asia Pasifik.

Lebih-lebih lagi ketika China sedang meningkatkan pengaruhnya di rantau ini dan ketika pertikaian berhubung wilayah maritim antara Beijing dan ASEAN di Laut China Selatan sedang memuncak, selain pertikaiannya dengan Jepun berhubung wilayah maritim di Laut China Timur berhubung Kepulauan Senkaku atau turut dikenali sebagai Diaoyu di China.

Sehubungan itu, China mengikuti daripada dekat lawatan Obama ke Asia kali ini. Namun, AS berpendapat tumpuannya di Asia Pasifik kali ini adalah bagi mengimbangi semula dasarnya di Asia setelah mengundurkan tenteranya dari Iraq dan Afghanistan serta berikutan perkembangan di Syria dan di Ukraine menyebabkan AS menilai semula strateginya di tempat-tempat lain.

AS melihat tumpuannya di rantau ini perlu diperkukuhkan bagi mengimbangi kebangkitan China bukan sahaja daripada segi ketenteraan tetapi juga daripada segi ekonomi. Malaysia memerlukan AS dan China di rantau ini bagi membawa kemakmuran dan kestabilan di rantau ini dan bukan untuk memihak.

Selain itu, kedatangan Obama di Malaysia dapat mengurangkan kritikan global terhadap pengurusan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Dalam masa sama, Malaysia melihat lawatan Obama ke negara ini dapat meningkatkan lagi kerjasama dan hubungan dua hala dalam banyak bidang, terutama kerjasama membantu Malaysia dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.

Selain itu, ia dapat meningkatkan kerjasama dan hubungan dua hala dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, teknologi serta hubungan antara rakyat dengan rakyat.

AS juga mahu menjalinkan hubungan dengan penduduk di Asia terutama golongan muda dengan mengadakan pertemuan dengan golongan itu di Universiti Malaya, apabila beliau melancarkan Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara yang turut dihadiri oleh wakil dari 100 negara.

Selain itu, lawatan itu turut akan memberi sinergi kepada Malaysia yang bakal menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan bagi merealisasikan Komuniti ASEAN yang dijangka dilaksanakan pada tahun depan.

Kedatangan Obama ke negara ini juga akan membantu memberi sokongan kepada hasrat Malaysia untuk menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

MUSTAFA KAMAL BASRI ialah Pengarang Meja Luar Negara Utusan Malaysia. Utusan Rencana 20140427

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments