PUTRAJAYA 25 April - Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad daripada tuduhan menganjurkan satu perhimpunan di Stadium Kelana Jaya, Mei tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof yang bersidang bersama Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer memutuskan demikian selepas membenarkan rayuannya secara sebulat suara.
Mahkamah turut mengisytiharkan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai melanggar Perlembagaan.
Nik Nazmi dituduh menganjurkan perhimpunan itu tanpa memberikan notis 10 hari lebih awal kepada pihak polis seperti yang diperlukan di bawah akta berkenaan.
Nik Nazmi didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal memberikan notis, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntuk hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan. Utusan Mahkamah 20140425