kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Transformasi tadbir urus bola sepak

Sebaik sahaja Pengurus Manchester United, David Moyes dipecat, saham Manchester United di Bursa Saham New York melonjak naik! Maknanya, pelabur-pelabur memberi reaksi positif ke atas pemecatan Moyes!



Mungkinkah peminat-peminat fanatik Manchester United akan memberi reaksi yang sama? Walau apa pun reaksinya, Manchester United telah gagal memasuki pertandingan Liga Juara-Juara buat pertama kalinya dalam tempoh 19 tahun.

Umum mengetahui, sukan bola sepak menjadi kegilaan penduduk dunia. Tidak keterlaluan dikatakan, bola sepak adalah sukan nombor satu dunia, mengatasi sukan-sukan lain. Malahan, menjadi lubuk untuk sesiapa sahaja mencipta populariti dan kekayaan sama ada para pemain, pengurus, pasukan dan kelab bola sepak.

Real Madrid, Inter Milan, Chelsea, Atletico Madrid, Bayern Munich, Liverpool, Manchester United dan Barcelona merupakan antara nama-nama besar kelab bola sepak dunia. Tatkala ini, semua mata tertumpu kepada empat kelab gergasi bola sepak dunia iaitu, Atletico Madrid, Chelsea, Bayern Munich dan Real Madrid yang sedang memburu kejuaraan Liga Juara-Juara 2013-2014.

Tidak lama lagi seluruh dunia pula akan demam bola sempena Piala Dunia 2014 di Brazil. Kehebatan sukan ini diakui ramai sampaikan ramai pihak boleh membuat keuntungan dalam bisnes bola sepak termasuklah bookie!

Setiap pemain bola sepak mendambakan agar terpilih sebagai pemain bola sepak kelab-kelab ini. Bagaimana kelab-kelab ini boleh berjaya sebegitu hebat? Apakah yang boleh kita ambil iktibar atas kehebatan mereka? Sejauh manakah kehebatan pasukan bola sepak kita sama ada pasukan bola sepak Malaysia, pasukan bola sepak negeri mahupun kelab?

Yang pastinya jurang perbezaan permainan bola sepak para pemain kita terlalu besar berbanding pemain-pemain Eropah dan Amerika Latin. Sampai bilakah baru kita boleh bersaing dengan mereka? Yang pastinya bukan dalam tempoh terdekat.

Apakah silapnya sedangkan suatu ketika dahulu, pasukan bola sepak kita setaraf dengan pasukan Korea Selatan dan Jepun. Untuk rekod, kedua-dua negara ini seringkali layak ke Piala Dunia. Negara kita pula selepas 'tragedi' gejala rasuah bola sepak era 1990an, bola sepak negara melalui zaman gelap.

Walaupun, terdapat tanda-tanda kebangkitan bola sepak kita selepas memenangi Piala AFC Suzuki pada tahun 2010 dan pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2011, namun tanda-tanda ini semakin hilang.

Yang jelas kelihatan, penyokong-penyokong bola sepak semakin bersifat "hooligan". Mungkin ini cara mereka meluahkan perasaan ke atas prestasi pasukan bola sepak.

Gejala ini perlu dihentikan agar tidak menjadi barah yang lebih teruk lagi. Salah satu caranya, mentransformasikan tadbir urus sukan bola sepak negara.

Tambahan, pihak kerajaan amat prihatin dengan sukan ini. Buktinya, Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari ditubuhkan.

Di England, akademi bola sepak mereka ditadbir urus dengan baik supaya dapat melahirkan pemain-pemain bertaraf dunia yang berdisiplin dan profesional. Bermula dari kecil lagi, para pemain dibimbing dan dipilih dalam kalangan mereka yang benar-benar berkualiti.

Kita perlu melahirkan pemain-pemain antarabangsa setidak-tidaknya seperti Hidetoshi Nakata dan Park Ji-Sung meskipun amat sukar untuk menghasilkan pemain-pemain seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Neymar.

Pencarian bakat akar umbi cukup penting. Bakat-bakat muda perlu dipupuk dan diberi peluang seluas-luasnya untuk mencapai taraf pemain antarabangsa. Mereka ini perlu digilap dari awal lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari perlu ditadbir urus dengan baik. Kita perlu belajar bagaimana kelab-kelab ternama di dunia misalnya kelab bola sepak England yang diketahui mempunyai begitu ramai peminat dan penyokong di seluruh dunia mentadbir urus sukan bola sepak dengan baik.

Ada di antara kelab-kelab ini disenaraikan dalam Bursa Saham London (LSE).

Wang yang diperoleh daripada penajaan, pemegang saham serta aktiviti jualan barangan sukan digunakan sebaik mungkin. Ini bermakna, kelab-kelab bola sepak England beroperasi sebagai sebuah perniagaan. Apabila beroperasi sebagai perniagaan, kelab-kelab ini bertanggungjawab ke atas pemegang saham dan juga para pemain. Tidak kurang juga kepada penyokong-penyokong kelab. Sebab itulah jarang sekali kedengaran gaji para pemain mereka tidak dibayar.

Oleh kerana kelab-kelab bola sepak England beroperasi secara profesional, maka, tadbir urus sangat penting bagi mencorak kejayaan kelab bola sepak.

Sebagai contoh, maklumat ahli lembaga pengarah kelab-kelab bola sepak. Ahli lembaga pengarah sudah semestinya berakauntabiliti terhadap kelab.

Selain itu, kelab bola sepak sentiasa mengadakan dialog dengan para penyokong agar dapat mengemaskini maklumat terbaru mengenai kelab. Ini salah satu cara untuk menjaga dan melindungi kepentingan para penyokong.

Bagi ahli lembaga pengarah yang baharu dilantik, mereka akan diberi latihan dan induksi mengenai kelab. Latihan yang terkini diberikan kepada mereka bersesuaian dengan keadaan semasa permainan bola sepak.

Bahkan, terdapat proses menilai prestasi keberkesanan setiap ahli lembaga pengarah. Proses penilaian ini penting bagi melihat sejauh manakah keberkesanan prestasi individu ahli lembaga pengarah.

Bagi pihak pengurusan pula, mereka perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk melatih para pemain tanpa ada campur tangan pihak ketiga. Mereka yang mengurus kelab dan para pemain pula merupakan mereka yang cukup mahir dalam dunia bola sepak. Manakala, ahli lembaga pengarah pula perlu sentiasa memastikan pasukan dan kelab bertanggungjawab dan telus pada setiap masa.

Yakinilah, sukan bola sepak merupakan bisnes yang amat menguntungkan jika kena pada gayanya. Bisnes menguntungkan ini perlu selari dengan prestasi cemerlang di atas padang.

Maka, elemen tadbir urus merupakan intipati utama kejayaan pasukan dan kelab bola sepak. Dengan amalan tadbir urus yang baik, insya-Allah, kita bukan sahaja akan melihat kejayaan pasukan bola sepak negara di peringkat Asia, bahkan tidak mustahil pasukan bola sepak negara mampu mencipta sejarah buat pertama kalinya memasuki Pusingan Akhir Piala Dunia. Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia Sintok, Kedah. Utusan Rencana 20140429

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments