kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Era hubungan sahabat Malaysia-AS

"SELAMAT datang, sahabat saya." Kata-kata itu yang diungkapkan (dalam bahasa Melayu) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Presiden Barack Obama, sudah cukup untuk menggambarkan kemesraan antara kedua-dua pemimpin yang sekali gus menjadi cerminan tahap hubungan kedua-dua negara, yang dianggap terbaik ketika ini.

Lawatan singkat namun cukup bermakna yang berakhir semalam, tanpa ragu-ragu telah membuka lembaran baharu dalam sejarah hubungan Malaysia-Amerika Syarikat (AS), yang sebelum ini panas-dingin gara-gara dasar luar tidak sehala, Anwar Ibrahim dan sebagainya.

Obama bukan George W. Bush, apatah lagi Al Gore.

Sama-sama dilantik menjawat kedudukan tertinggi dalam kerajaan pada 2009, Najib dan Obama berkongsi aspirasi serupa iaitu untuk membawa pembaharuan dan transformasi dalam pentadbiran masing-masing, seterusnya memperluaskan aspirasi itu ke seluruh pelosok rantau dan dunia.

Kedua-dua pemimpin sedar bahawa hubungan diplomatik yang terjalin sejak Malaysia merdeka pada 1957 tidak harus dikorbankan hanya kerana tekanan ideologi.

Kedua-dua pemimpin lebih-lebih lagi enggan hubungan erat yang sedang terjalin itu terjejas gara-gara bantahan sesetengah pihak terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Sebagaimana TPPA mendapat bantahan sesetengah pihak di Malaysia, perjanjian itu menurut Obama, turut menerima bangkangan daripada beberapa kelompok di AS.

"Tidak pernah ada perjanjian perdagangan yang dipersetujui bulat-bulat oleh semua, pasti ada yang membantah," kata Obama. Yang penting, Perdana Menteri telah memberi jaminan yang Malaysia tidak akan ke meja rundingan tanpa terma-terma yang memihak kepada negara.

AS penting bagi Malaysia, bukan terhad sebagai rakan dagangan terbesar sebaliknya meliputi kerjasama komprehensif dalam pelbagai bidang - ekonomi, keselamatan, pendidikan, sains, teknologi dan banyak lagi.

Aturcara terakhir Obama sahaja menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian komersial antara syarikat Malaysia dan AS bernilai AS$2 bilion dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans.

Sementara program Fulbright yang dilaksanakan sekian lama telah membuahkan hasil dari segi memperkasa penguasaan bahasa Inggeris di sekolah, saban tahun juga menyaksikan sejumlah pelajar kita me­lanjutkan pengajian di universiti-universiti terkemuka di AS dan pulang dengan sijil dan kepakaran dari sana.

Sebagaimana AS penting kepada Malaysia, begitu juga Malaysia penting bagi AS terutama dalam usaha memperluaskan pengaruhnya di rantau Asia Tenggara.

Sepatah kata Najib, kehadiran AS dialu-alukan terutama dalam menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau.

Kunjungan Obama tepat pada masanya memandangkan Malaysia akan mengambil giliran mempengerusikan ASEAN tahun depan.

Dan isu pertikaian bertindih di Laut China Selatan yang melingkari dua pertiga keanggotaan ASEAN dengan dominasi China, memerlukan kuasa besar lain sebagai pengimbang.

Kedua-dua pemimpin, Obama dan Najib masing-masing bersetuju pentingnya ASEAN dan China mempercepatkan pelaksanaan Kod Tatacara di Laut China Selatan, bagi mengelakkan keadaan tidak stabil di perairan itu.

Sejak dua bulan lalu juga, tahap hubungan Malaysia-AS meningkat setakuk lagi melibatkan kerjasama dalam misi pencarian MH370. Walaupun sudah memasuki hari ke-52, AS adalah antara negara yang masih setia bersama-sama meredah samudera di Lautan Hindi untuk meneruskan usaha menjejaki pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu.

Dan Obama sendiri dalam sidang akhbar bersama Najib pada hari kedua lawatannya ke sini, memberi jaminan AS untuk terus menyalurkan apa jua bantuan dalam usaha mencari dan menyiasat punca tragedi.

Di sebalik isu TPPA dan MH370 yang sering menjadi tumpuan media sepanjang lawatan singkat ini, sesi perjumpaan tidak formal dengan para pemimpin belia dari Asia Tenggara dan kunjungan ke Masjid Negara - turut mempunyai signifikannya.

Perjumpaan dengan belia ASEAN di Universiti Malaya (UM) menunjukkan kepekaan Obama terhadap generasi muda yang akan mengisi wajah pemimpin rantau ini pada masa depan. Kunjungan ke Masjid Negara pula membayangkan pengiktirafan Presiden AS itu terhadap Islam sebagai agama Persekutuan yang dianuti oleh majoriti rakyat Malaysia.

Barangkali kenyataan Duta Khas Malaysia ke AS, Datuk Seri Jamaludin Jarjis ketika ditemubual oleh BernamaTV pada Ahad lalu dapat dijadikan rumusan tepat berhubung lawatan Presiden Obama ke negara ini.

"Lawatan ini adalah satu penghormatan kepada rakyat Malaysia kerana sebuah negara kuasa besar mengiktiraf kita, negara Islam. Ia sekali gus menggambarkan pengiktirafan dunia terhadap usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan," katanya.

Lawatan Obama adalah yang pertama oleh Presiden AS dalam tempoh 48 tahun, iaitu sejak kali terakhir dilakukan oleh Pre­siden Lyndon B. Johnson pada 1966.

Sebenarnya, tidak perlu kata-kata. Melihatkan betapa eratnya Najib dan Obama berjabat tangan sepanjang lawatan tiga hari Presiden AS itu ke Malaysia, cukup membuang keraguan terhadap status hubungan Washington-Kuala Lumpur dan hala tuju yang akan direntas selepas ini.

Era hubungan dingin dan suam-suam kuku sudah berlalu, sebaliknya bermulalah lembaran baru hubungan yang lebih dinamik dan progresif.

Mudah-mudahan dengan keakraban Najib-Obama, suara kerdil rakyat Malaysia, rantau Asia, dunia ketiga dan umat Islam seluruhnya akan sampai terus ke telinga pemimpin kuasa besar itu.

Buktinya sudah ada apabila hasil lawatan bersejarah Presiden AS itu ke Masjid Negara kelmarin, Imam Besar, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad berpeluang membisikkan sendiri ke telinga Obama agar beliau melakukan sesuatu bagi menghentikan penindasan ke atas umat Islam di seluruh dunia.

"Pray for me (doakan saya)" kata Obama ketika memberi respons kepada permintaan Syaikh Ismail itu.

Sama-samalah kita mendoakan agar kata-kata Obama itu yang diungkapkan dalam rangka lawatan bersejarahnya ke sini menjadi titik-tolak kepada pengwujudan dunia yang lebih baik tanpa keganasan dan penindasan.

Dan sebagai `sahabat’, kita percaya Obama akan mendengar dan mengambil kira pandangan sahabat dari Malaysia.



Utusan/Rencana/20140429
Tags: amerika
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments