?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Mengenali sisi personal Obama

DEWAN Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya (UM), dewan universiti tertua di Malaysia itu yang selama ini menyaksikan jutaan pelajar bergelar graduan, pada Ahad lalu mencatat sejarah tersendiri apabila disinggahi Presiden Barack Obama dalam rangka lawatan singkatnya ke negara ini.

Presiden Amerika Syarikat (AS) itu bertemu dengan lebih 100 peserta Inisiatif Pemimpin Asia Tenggara (YSEALI) dari pelbagai negara dan etnik, masing-masing ingin berkongsi idea dan pandangan mereka dengan pemimpin tersohor berkenaan.

Program berkonsep town hall yang amat sinonim dengan Obama itu dilihat sebagai pelengkap aturcara padat beliau, lawatan bermakna seorang Presiden AS ke tanah air dalam tempoh 48 tahun, sejak kali pertama dilakukan dilakukan oleh Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.

Tiba selepas mengadakan sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak - dan menjawab pelbagai isu daripada hubungan dua hala, dasar luar AS, perundangan di Malaysia, hak asasi manusia dan Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) - Obama kelihatan santai ketika menghadiri program YSEALI berkenaan.

Dikelilingi wajah-wajah segar orang muda dari rantau Asia umpama tonik yang menaikkan semangat Obama dalam membicarakan soal masa depan golongan belia yang akan menjadi pelapis kepimpinan gagasan ASEAN.

"Generasi muda ialah pemimpin masa depan. Penting untuk mereka mewujudkan dunia yang aman pada masa depan selain menerapkan nilai-nilai kesaksamaan.

“Kita mahu golongan ini menjadi sebahagian daripada ejen perubahan dan penyelesaian masalah, bukannya sebahagian daripada permasalahan," katanya.

Sejurus selesai berucap, presiden kulit hitam pertama AS itu spontan bergerak dari rostrum, melangkah ke bahagian hadapan pentas, lalu mendekati peserta dan membuka sesi soal jawab.

Tiada saringan. Tiada halangan. Beliau sendiri yang memilih peserta yang `bertuah’ mengajukan soalan. Apa sahaja soalan, baik dari segi dasar kerajaan Uncle Sam itu sehingga hal berkaitan kehidupannya.

Suasana tidak formal itu menyebabkan rata-rata peserta berasa selesa dan tidak teragak-agak mengangkat tangan. Gegak-gempita DTC dengan suara peserta yang masing-masing mahu melibatkan diri dan menonjolkan diri.

"Apa itu kebahagiaan bagi anda?" soal seorang anak muda.

Setelah beberapa saat berfikir, Obama menjawab: “Meluangkan masa bersama keluarga adalah kebahagiaan, malah ia amat bermakna bagi saya.

“Apa yang paling penting dalam kehidupan saya pada akhirnya adalah menghabiskan masa bersama orang yang saya sayangi kerana ini membuatkan saya lebih gembira.

“Malah saya juga berpendapat apa yang penting adalah saya setia terhadap kepercayaan dan prinsip yang dipegang serta hidup dengan penuh integriti.

“Kegembiraan bukan bermaksud anda ketawa atau menikmati kehidupan selalunya. Kadang-kala membuat perkara yang anda fikirkan betul dan ia membawa perubahan kepada kehidupan orang lain juga membawa erti kebahagiaan,'' ujar Obama.

Menjawab soalan seorang peserta dari Kemboja yang ingin tahu cita-cita Presiden AS itu ketika berusia 20-an dan sama ada beliau telah mencapai impiannya, Obama mengimbas kembali zaman persekolahannya. Tanpa berselindung, beliau mengakui tidak pernah serius terhadap pelajarannya dalam usia tersebut.

“Ketika di sekolah tinggi, sebelum memasuki universiti , saya bukan dalam kalangan pelajar terbaik. Rasanya saya terlalu menikmati kehidupan dan kurang memberi tumpuan terhadap apa yang sepatutnya dilakukan pada masa itu.

“Saya juga kesal kerana terlalu banyak membuang masa dan tidak mengambil berat soal pendidikan.

“Saya tidak sempat mengenali ayah saya dan kehidupan keluarga saya pada ketika itu amat susah. Oleh itu, saya tidak dapat memberi tumpuan yang sewajarnya dalam pelajaran dua tahun pertama di universiti.

“Tetapi apabila mencecah 20 tahun, saya mula sedar bahawa saya boleh membawa perubahan kepada dunia jika saya berusaha lagi. Sejak itu, saya tertarik dalam jurusan dasar sosial dan membuat keputusan untuk terlibat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu golongan kurang bernasib baik di AS," katanya.

Obama berkongsi pengalamannya terlibat selama tiga tahun dalam aktiviti kemasyarakatan itu selepas menamatkan pengajian di kolej.

Menurut Obama, beliau kemudian berpindah ke bandar Chicago, bekerja dengan beberapa gereja di kawasan-kawasan yang kebanyakan berpenduduk miskin untuk membantu mereka.

“Pengalaman ini telah mendorong saya memasuki sekolah undang-undang dan mengambil jurusan perundangan dalam hak sivil, seterusnya bertanding dalam pilihan raya.

“Jadi perkara yang paling penting adalah apabila anda mula berfikir tentang orang lain serta memikirkan bagaimana boleh membawa perubahan dalam masyarakat, bukan lagi tentang diri sendiri.

“Jika anda hanya memikirkan tentang diri sendiri, maka dunia anda adalah kecil tetapi jika anda berfikir tentang orang lain, maka dunia anda menjadi lebih besar," katanya.

Apa pula penyesalan terbesar Presiden AS itu?

Menjawab soalan terakhir itu yang sempat diajukan oleh peserta wanita dari Thailand, Obama memberitahu dua perkara amat dikesali beliau sepanjang hidupnya.

Pertama, tidak dapat meluangkan lebih banyak masa dengan ibunya sebelum dia meninggal dunia akibat kanser.

Kedua, membazirkan masa ketika usia mudanya.

“Sekarang saya berusia 52 tahun. Apa yang paling saya kesali adalah tidak dapat bersama ibu yang telah meninggal dunia akibat kanser pada usianya sama seperti saya sekarang.

“Ia berlaku terlalu cepat, kira-kira enam bulan dan saya sedar pada masa itu, saya terlalu sibuk dengan kehidupan sendiri.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, apa yang paling penting pada akhirnya ialah orang yang anda sayangi. Saya akui bukan setiap hari atau lebih kerap, saya berada di sisi ibu meluangkan masa bersamanya untuk mengetahui apa yang dia fikirkan sedangkan dia orang paling penting dalam kehidupan saya," katanya.

Beliau sedar perkara biasa bagi anak muda untuk hidup berdikari. Namun kepada mereka yang tidak berkomunikasi dengan ibu bapa dengan kerap, beliau berpesan agar jangan menyesal sepertinya.

Mengulas kekesalan keduanya membazir masa ketika remaja, Obama berkata:

“Ketika muda, saya telah menghabiskan masa dengan membuat perkara yang tidak begitu penting yang sepatutnya saya gunakan dengan lebih bijak."

Walaupun menyesali banyak masa dibazirkan ketika usia mudanya, Obama tidak pula mahu menjadi terlalu obses dengan kerja.

“Sekarang, saya tidak mahu orang bekerja sepanjang masa. Anda perlu menikmati hidup dan didampingi orang yang disayangi, rakan-rakan serta menghargai kehidupan," katanya disambut tepukan lebih 100 peserta program YSEALI itu.

Anak-anak muda tersebut pasti tidak menyesal kerana telah mengisi masa muda mereka secara bijaksana dengan menghadiri sesi town hall bersama pemimpin negara kuasa besar itu.


SOFIAN BAHAROM dan SHEILA RANI CHANDRASEKARAN rencana@utusan.com.my Utusan/Rencana/20140430

Latest Month

June 2019
S M T W T F S
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30      

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow