kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hendak memandu atau mahu main telefon?

SUDAH banyak kali apabila sedang memandu di Lebuh Raya Persekutuan, saya berhadapan dengan keadaan di mana kereta di depan kenderaan saya, bergerak macam ular kena pukul.

Sekejap dia pergi ke kanan. Sekejap ke kiri. Adakalanya terlalu perlahan, seolah mahu berhenti. Dalam hati saya berkata, ini mesti pemandu mabuk. Siang-siang hari lagi sudah mabuk!

Bagaimanapun apabila berjaya memintas kereta itu dengan penuh rasa bimbang dan berhati-hati, takut kereta saya dihentam oleh kereta pemandu yang saya sangka mabuk itu, rupa-rupanya pemandu itu leka berborak menggunakan telefon bimbit. Dia tidak menghiraukan sekelilingnya.

Ada juga yang saya pintas, pemandunya sedang tunduk melihat telefon bimbit. Membaca mesej agaknya. Tak tahulah kalau dia sempat menonton filem atau nyanyian di YouTube ketika memandu. Jika ini yang berlaku, perbuatan ini memang melampau. Mereka ini tidak mempedulikan kenderaan yang berada di depan, belakang dan kiri kanannya.

Saya tidak tahulah, bagaimana kita boleh memberi sepenuh tumpuan pada pemanduan semasa di jalan raya dengan pada masa sama sibuk menjawab panggilan telefon dan berbalas mesej. Sungguhpun saya tidak ada kemahiran sebegitu, saya sedikit pun tidak kagum dengan kebolehan ini. Sebabnya, perbuatan ini hanya mengundang bahaya bukan saja kepada diri sendiri tetapi juga orang lain.

Dan sudah sepatutnya perbuatan ini jangan sesekali dipandang mudah dan remeh. Apabila perbuatan ini berisiko tinggi membahayakan diri dan orang lain, sewajarnya pengguna-pengguna jalan raya mempunyai kesedaran yang tinggi mengenainya.

Cukup-cukuplah melayan telefon bimbit di rumah, di pejabat, di kantin, dalam mesyuarat, ketika hendak membayar barangan di pasar raya, atau semasa orang sedang bercakap dengan kita! Apabila memandu berilah tumpuan seratus peratus kepada apa yang berlaku di jalan raya.

Teringat saya satu laporan berita dua tahun lalu, Ketua Menteri Chhattisgarh, Raman Singh mencetuskan kontroversi apabila menyalahkan orang perempuan, motosikal dan telefon bimbit sebagai punca kemalangan jalan raya di negeri di tengah-tengah negara India itu.

“Jika ada motosikal, telefon bimbit dan seorang teman wanita, risiko kemalangan jalan raya berlaku adalah lebih tinggi.

“Sudah menjadi pemandangan biasa di negara ini melihat orang muda menunggang motosikal sambil bercakap di telefon bimbit yang selalu menyebabkan kemalangan,'' katanya.

Tiada apa pun luar biasa dan salahnya kenyataan ini. Sebabnya, ia bukan satu imaginasi atau memperlekeh wanita. Ia memang benar berlaku. Bukan sahaja di India tetapi di seluruh dunia.

Di Malaysia ini pun, ramai penunggang motosikal yang sempat menjawap telefon dengan suara yang kuat yang kadang-kala kita ingatkan suara itu datangnya daripada radio kenderaan kita.

Kelmarin di Carolina Utara, Amerika Syarikat, seorang wanita terbunuh selepas beberapa minit memuat naik status di Facebook miliknya semasa dia memandu. Dia mengulas lagu Happy yang dinyanyikan oleh Pharrell Williams yang didengar dalam kenderaannya pada pagi itu. Status itu dibuat selepas beberapa minit pihak 911 menerima panggilan mengenai kemalangan jalan raya yang membabitkan wanita malang itu.

Statusnya - The Happy song makes me HAPPY, dan kemudiannya kegembiraan wanita berusia 32 tahun itu, benar-benar berakhir di situ. Akibat kecuaian seperti ini, satu nyawa melayang. Itu berlaku kepada dia. Kalau membabitkan bas sekolah atau van yang mengangkut ramai penumpang, tentu berganda kesedihannya.

Di negara kita pun, banyak kes kemalangan berlaku akibat leka dengan telefon bimbit. Kecuaian pemandu sering menjadi faktor utama kemalangan, tidak kiralah membabitkan nyawa atau tidak. Yang pastinya, kerosakan tetap berlaku. Dan jalan raya akan jadi sesak, yang tentunya menyusahkan pengguna jalan raya lain.

Seorang kawan berkata kepada saya, memang sukar untuk tidak menghiraukan langsung telefon bimbit apabila ia berbunyi ketika memandu. Mesti mahu melihat siapa yang memanggil atau siapa yang menghantar mesej.

Kata saya, apa susah sangat. Tutup telefon bimbit itu atau cabut saja baterinya ketika hendak memandu. Habis cerita. Fokuslah pada jalan raya.

Memang betul, jika kemalangan hendak berlaku ia tidak boleh dijangka. Memandu dengan cermat pun boleh dilanggar. Tetapi kita janganlah pula menjadi punca kemalangan itu dengan membuat perkara-perkara lain yang membahayakan ketika memandu.Fauziah Arof Utusan/Rencana/20140430

Tags: telefon bimbit
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments