kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

CeIO jadi pakar rujuk subjek integriti

SATU perkembangan menarik dapat disaksikan sejak program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) diperkenalkan. Semakin ramai pegawai sama ada kerajaan atau swasta menunjukkan minat untuk mengikuti Program CeIO ini.

Sejak tiga tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melahirkan 248 pegawai CeIO. Berdasarkan trend ini, penulis pasti angka ini akan meningkat secara ketara dalam beberapa tahun lagi.

Ia akan meningkat memandangkan kerajaan telah pun mewajibkan setiap agensi awam memiliki pegawai yang bertanggungjawab ke atas pengurusan integriti, begitu juga dengan syarikat berkepentingan kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan ataupun negeri.

Trend positif bilangan peserta yang meningkat juga menunjukkan kesedaran menjadikan integriti sebahagian daripada komponen dalam pengurusan sesebuah organisasi turut semakin penting.

Permintaan yang begitu mendesak untuk penempatan pegawai-pegawai integriti bertauliah di agensi-agensi awam dan swasta juga mendorong SPRM mengambil langkah menyediakan program CeIO Eksekutif bagi pegawai pegawai berkenaan.

Justeru, penulis yakin program CeIO, yang kini dijalankan dalam tempoh empat bulan, sedang bergerak di laluan yang betul bagi melahirkan persekitaran berintegriti dalam jangka panjang.

Kita tidak boleh memerangi rasuah atau elemen salah guna kuasa di tempat kerja dengan serta-merta, dalam jangka pendek atau dalam sehari. Sebaliknya, kita perlu mengambil pendekatan jangka panjang ke arah itu.

Penyediaan program CeIO, menerusi Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, merupakan sebahagian daripada inisiatif yang dimaksudkan.

Diyakini CeIO akan melaksanakan tugas dan amanah yang berat ini dengan berkesan. Ini cabaran penting perlu dilalui oleh CeIO. Program CeIO juga merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran jangka panjang bagi mewujudkan nilai-nilai positif pengurusan dan pentadbiran.

Malah, ia juga perlu seiring dengan adanya pengetahuan yang lengkap dan perlu ada penyelarasan semula melalui peranan alumni supaya perkongsian pengetahuan dan pengalaman antara pegawai kerajaan dan pegawai dari sektor swasta harus dikongsi bersama.

Penulis juga yakin barisan CeIO akan menjadi satu kumpulan profesional yang eksklusif sebagaimana persatuan-persatuan profesional lain sebagai sebuah entiti yang dikenali sebagai Persatuan CeIO yang didaftarkan secara rasmi bagi membantu pelaksanaan agenda integriti nasional dan SPRM memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan dengan integriti.

Juga terdapat cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh CeIO untuk menjadikannya terus relevan. Cabaran utamanya ialah sebagai agen untuk membudayakan dan merakyatkan integriti dalam kalangan rakyat Malaysia.

Untuk itu Persatuan CeIO perlu mengalas cabaran membantu Unit Pembangunan Integriti Korporat membangunkan rekabentuk latihan yang komprehensif yang sesuai dan menepati objektif latihan.

Bagi mencapai impak maksimum, diharap ketua-ketua jabatan meletakkan pegawai yang telah menyertai kursus CeIO menjalankan tugas-tugas berkaitan integriti.

Satu kerugian yang amat besar apabila kepakaran dan kemahiran berkaitan CeIO yang diperolehi ini tidak dimanfaatkan organisasi. Ini kerana pegawai-pegawai yang menyertai program CeIO didedahkan dengan peraturan dan undang-undang yang boleh digunakan di kementerian masing-masing.

Saya percaya sekiranya CeIO diberi peluang memberi nasihat dalam mesyuarat yang melibat pengurusan tadbir urus, nescaya ia boleh menghelakan banyak perlakuan dalam perolehan dan pengurusan.

Lebih-lebih lagi ia penting di agensi awam yang seringkali mendapat perhatian apabila Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan di Parlimen.

Program CeiO dirangka khusus untuk melahirkan Pegawai Integriti Bertauliah bagi menjalankan tugas berkaitan integriti dalam memantapkan penyampaian perkhidmatan awam dan swasta. CeIO yang dilantik dalam sesebuah jabatan dapat meningkatkan integriti bagi memerangi rasuah di dalam agensi atau jabatan masing-masing.

CeIO berperanan untuk merancang, melaksana dan memantau keberkesanan program-program integriti dan pihaknya berharap ia dapat memantapkan lagi amalan integriti di jabatan dan agensi CeIO berkenaan.

Difahamkan SPRM menerima banyak permohonan kementerian, agensi, badan berkanun, GLC dan swasta untuk menghantar pegawai menyertai program itu. Ia merupakan perubahan yang positif di mana ketua-ketua jabatan integriti sebagai suatu perkara yang penting dalam organisasi masing-masing.

Sebagaimana diharapkan oleh SPRM, penempatan CeIO sudah pasti akan menjadi benteng kawalan dalaman organisasi. Ia akan menjadi pelengkap kepada usaha memperkasakan integriti dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

PENULIS lebih gemar melihat program CeIO akan mampu mewujudkan nilai-nilai positif ke arah mewujudkan pengurusan dan pentadbiran berintegriti.

Pada 23 April lalu genap 10 tahun kerajaan memperkenalkan Pelan Integriti Nasional (PIN). Justeru, kita perlu mengambil langkah susulan bagi memastikan kerajaan meneruskan komitmen untuk menjayakan agenda Pelan Integriti Nasional dan program CeIO ini secara berkesan dan menyeluruh bagi menwujudkan masyarakat Malaysia yang berintegriti, selaras dengan aspirasi antarabangsa.

Program CeIO menumpukan kepada soal integriti dan pematuhan kepada prinsip-prinsip moral dan etika yang bernilai tinggi dan merupakan satu program baharu di Malaysia.

Seperti diketahui umum program CelO bertujuan melatih pegawai-pegawai kerajaan dan sektor swasta untuk mempelajari integriti organisasi yang merangkumi bidang tadbir urus, etika pengurusan, undang-undang dalam memerangi rasuah, penyelewengan dana dan penyalahgunaan kuasa.

Kewujudan CeIO seperti mana yang dirancang dan dicatatkan dalam buku PIN perlu diintegrasikan dengan kesepaduan nilai, roh dan semangat integriti agar pembudayaan integriti dapat difahami, dihayati dan dipraktikkan oleh seluruh rakyat Malaysia dalam kehidupan.

CeIO sebenarnya merupakan ejen perubahan dan pakar rujuk subjek integriti bagi setiap organisasi dan harapan besar kami dalam pengungkap kata hati rakyat bagi menjadikan Malaysia mencapai negara maju menjelang tahun 2020.

MOHD. REZAIDI MOHD. ISHAK ialah Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Utusan/Rencana/20140430

Tags: integriti
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments