kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Guru kreatif tingkat pembelajaran murid

Ciptaan alat bantu mengajar tarik minat pelajar kuasai ilmu

Kuala Lumpur: Kreativiti dan inovasi guru dalam pembelajaran mampu meningkatkan minat murid dalam subjek yang diajar sekali gus melonjak pencapaian mereka.

Penghasilan kreatif dan inovatif sebagai alat bantuan mengajar juga berupaya menyuntik pengalaman luar bilik darjah yang membolehkan murid mudah menguasai sesuatu subjek.



Murid prasekolah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Yun Min memegang kad huruf Selamat Hari Guru. - Foto Danial Noordin


Kepentingan aspek itu digarapkan oleh Kementerian Pendidikan dalam tema sambutan Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi.’

Ciptaan ‘beg bercahaya’

Guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Yuh Min, Air Hitam, Kedah, Tan Kooi Heang, 31, berkata ciptaan ‘beg bercahaya’ yang digunakan sebagai alat bantu mengajar murid prasekolah di situ berjaya meningkatkan penguasaan anak didiknya dalam subjek Sains dan Matematik.

Ciptaan itu dibentuk seperti papan berlampu pelbagai warna yang diletakkan nombor untuk bermain bersama murid. Murid yang duduk di keliling alat itu akan diminta menekan nombor seperti permainan dan menunggu lampu di nombor tertentu menyala yang mewakili nombor soalan disediakan Kooi Heang.

“Dengan menggunakan bahan terbuang di kedai perkakasan milik datuk, saya cuba untuk menghasilkan beg bercahaya ini.

“Saya berpuas hati dengan apa yang dihasilkan ini kerana daripada jumlah 11 murid prasekolah yang diajar menggunakan produk ini, 10 daripada mereka berjaya meningkatkan prestasi ke tahap memuaskan dalam subjek,” katanya yang menerima Anugerah Guru Inovatif Kategori Individu Prasekolah 2013.

Idea cipta alat bantuan mengajar

Bekas jurutera itu berkata, idea mencipta alat bantuan mengajar itu tercetus selepas berbincang dengan bekas pensyarahnya di sebuah maktab perguruan sebelum itu.

“Inovasi dan kreatif sangat penting dalam pendidikan kerana ia dapat membantu murid terutama di luar bandar memudahkan pembelajaran,” katanya.

Melalui penggunaan bahan seperti itu, katanya, ia dapat meningkatkan kecerdasan minda kanak-kanak seawal usia lima hingga enam tahun dan dapat mengajar mereka supaya lebih banyak bercakap.

Kooi Heang berkata, beliau tidak pernah menyesal meninggalkan kerjaya sebagai jurutera ketika bertugas di sebuah kilang di Pulau Pinang dan sanggup menyambung pengajian ketika itu untuk menjadi seorang guru bagi merealisasikan impiannya mendidik murid dengan cara secara lebih kreatif.

Ikon Guru 2013 dari Sekolah Menengah Teloi Kanan, FELDA Teloi Kanan, Kuala Ketil, S Kalaimani, pula berkata tugas guru tidak hanya terhad kepada mendidik dalam kelas untuk lulus peperiksaan, tetapi perlu mencari jalan untuk menanam rasa cinta murid kepada ilmu pengetahuan yang disampaikan.

Katanya, pengalamannya selama 25 tahun menjadi pendidik dalam subjek Geografi dan Alam Sekitar memerlukannya sentiasa kreatif dan berinovasi untuk menarik minat pelajarnya.

“Ramai pelajar menganggap subjek ini kurang menyeronokkan, namun sebagai guru saya berusaha menarik minat mereka dengan membabitkan mereka dalam pelbagai aktiviti amali di luar kelas.

“Pelajar lebih mudah memahami dan dapat melihat situasi sebenar konsep yang dibaca dalam buku apabila mereka melakukan kerja amali di luar kelas.

“Dengan cara itu pemikiran mereka akan berkembang dan mudah untuk memahami serta mengingati sesuatu konsep dalam subjek ini," katanya.

Bawa murid sertai program di luar negara

Bagi menarik minat murid kepada subjek, beliau berusaha membawa beberapa murid yang terpilih untuk ke luar negara bagi mengikuti pelbagai program berkaitan alam sekitar.

“Sejak tahun 2009 saya mula menganjurkan program seperti ini dengan bantuan dan sokongan daripada pengurusan sekolah selain ibu bapa.

“Dalam tempoh berkenaan kami berjaya membuat lawatan di 32 negara luar membabitkan pelbagai jenis program pada peringkat antarabangsa.

“Dengan cara ini saya lihat pelajar akan lebih teruja untuk mendalami ilmu berkaitan alam sekitar selain meluaskan lagi pengetahuan mereka,” katanya.

Bagi Kalaimani, walaupun terpaksa berkorban masa, tenaga dan kewangan beliau tetap puas hati kerana segala usahanya itu membuahkan hasil apabila melihat murid menunjukkan minat dan mahu membabitkan diri dalam program yang dianjurkan.

“Sebagai seorang pendidik, sudah tentu saya mengharapkan yang terbaik untuk murid, saya bukan sekadar mengajar untuk menghafal yang tertulis di dalam buku, tetapi membantu mereka memahami serta mendalami ilmu,” katanya.

Beliau berkata pengalaman hidup ketika murid berada dalam program luar bilik darjah seperti itu juga membekalkan ilmu lain terutama kreatif dalam kehidupan kepada mereka.

Berita Harian Nasional 2014/05/01 - 06:09:02 AM  Zuliaty Zulkiffli dan Nur Syazwana Mansor
Tags: guru, inovatif
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments