kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Menangani persepsi generasi Y

NIAT murni kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk Persatuan Bekas Pegawai SPRM dalam menjalankan aktiviti pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang untuk menangani gejala rasuah di negara ini telah melalui satu transformasi.

Bagaimanapun, adakah generasi Y tidak melihat kesungguhan kerajaan atau sengaja tidak faham kerana sesuatu sebab?

Mereka menyedari bahawa kerajaan kini lebih telus walaupun sebelum ini pun Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan kini SPRM memang sedia melaksanakan tugas dengan penuh jujur dan amanah. Dulu kita jarang melihat fenomena anak muda tidak mempercayai institusi kerajaan tetapi keadaan sebaliknya berlaku pada hari ini.

Pelbagai program dijalankan oleh kerajaan dan dan pelbagai bantuan disalurkan untuk kesejahteraan rakyat. Namun, adakah ia membantu mengubah persepsi rakyat terhadap kerajaan terutamanya anak-anak muda kita?

Sebagai bekas pegawai SPRM dan penceramah yang banyak terlibat dengan program bersama anak-anak muda, penulis ingin mengemukakan pandangan agar pihak yang bertanggungjawab dapat sedikit sebanyak mengubah persepsi mereka yang agak menongkah arus ini.

Kalau dilihat kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil pelbagai inisiatif membantu rakyat, sepatutnya anak-anak muda menyokong kerajaan sepenuhnya untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang maju dan sejahtera. Tetapi kenapa sebaliknya berlaku?

Apabila perasaan benci menyelubungi kalbu, maka yang baik pun akan terlepas pandang. Bahayanya apabila mereka ini akan menjadi pengundi untuk pilihan raya akan datang. Ini adalah beberapa pandangan yang disuarakan anak-anak muda generasi Y. Antaranya:

PELAJAR UNIVERSITI TEMPATAN

Program yang dijalankan untuk sebuah universiti tempatan pada Februari 2014 mendapati persoalan yang ditimbulkan adalah banyak berlaku rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ketirisan. Penerangan demi penerangan diberikan kepada mereka oleh pelbagai pihak termasuk SPRM. Diterangkan bagaimana telusnya kerajaan dalam menangani gejala rasuah dan ketirisan lain. Mereka nampak bersetuju dan yakin apabila diberi penjelasan secara terperinci oleh penceramah SPRM dan agensi lain. Tetapi persepsi berubah apabila mereka mengalami suasana sebenar sebagai pelajar.

Antaranya:

* Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya memberikan pinjaman tidak sepenuhnya kepada mereka dan mereka akan cari selebihnya. Mereka sedih melihat ibu bapa terpaksa bersusah-payah mencari wang menampung perbelanjaan mereka.

Kalau dikira pendapatan memanglah PTPTN mempunyai hak untuk meluluskan sedemikian. Siapa yang perlu mengambil inisiatif untuk bertanya masalah ini dan menyelesaikannya?

* Penerima pinjaman dari Majlis Amanah Rakyat (Mara) pula, lambat menerima elaun sehingga mendapat surat dari pihak universiti, menghalang menduduki peperiksaan. Naik turun mereka ke pejabat universiti dan Mara berhari-hari hingga adakalanya berbulan-bulan. Itu belum dikira layanan daripada kakitangan agensi berkenaan.

* Kos sara hidup semakin tinggi dan tidak cukup menampung perbelanjaan di kampus. Hendak minta pada ibu bapa rasanya tidak sanggup kerana ada adik-beradik lain perlukan wang. Akhirnya terpengaruh dengan gejala-gejala sosial. Kalau ada pihak lain yang sanggup memenuhi keperluan mereka, maka mereka akan terikut.

UNIVERSITI LUAR NEGARA

Anak-anak muda lulusan Amerika Syarikat, Britain, Australia dan India pula mempunyai pandangan seperti ini:

* Mereka berterima kasih kerana tanpa bantuan kerajaan kami mungkin tidak dapat melanjutkan pelajaran di luar negara. Memang kerajaan sangat prihatin tetapi sistem penyampaiannya sangat mengecewakan. Kadangkala masalah pelajar seperti tidak diambil berat pegawai. Kalau ada pemimpin kerajaan yang datang pun akan berpesan untuk sentiasa berterima kasih kepada kerajaan dan bila balik berilah sumbangan kepada negara.

* Bila balik ke Malaysia sebaliknya yang terjadi. Mereka adalah antara pelajar cemerlang yang layak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Mereka mengambil kursus-kursus yang kritikal. Antaranya Perubatan, Bioteknologi, Kejuruteraan dan pelbagai kursus lagi dengan tujuan memberi sumbangan kepada Malaysia tercinta. Tetapi apabila balik ke Malaysia sebaliknya berlaku.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) langsung tidak bertanya atau sekurang-kurangnya membuka ruang mendapatkan pekerjaan kerana mereka dihantar belajar untuk menampung keperluan negara yang tentu telah diambil kira oleh pihak mereka.

Menganggurlah berbulan-bulan sehingga perasaan bangga belajar di luar negara menjadi mimpi yang memalukan.

Tidakkah ada cara sebagaimana di era Tun Dr. Mahathir Mohamad, apabila para pelajar diambil bekerja di tempat-tempat yang kritikal.

* Baru-baru ini Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam membuat pengumuman bahawa pelajar housemanship perlu menunggu hingga setahun kerana tiada tempat di hospital ekoran limpahan pelajar perubatan. Bayangkan masa yang diambil untuk belajar saja hampir enam tahun. Akhirnya tidak dapat menjadi doktor kerana masalah penempatan ini. Bagaimana pula dengan pelajar yang akan menamatkan pengajian tahun-tahun mendatang. Bukankah ini ketirisan?

* Kerajaan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada mereka sebanyak RM300. Terima kasih kepada Perdana Menteri. Sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan temuduga selama satu bulan. Berilah mereka peluang pekerjaan yang kekal supaya mereka tidak membebankan keluarga dan boleh berdikari.

* Cara pengambilan pekerjaan sekarang ini cukup memeritkan. Semuanya perlukan pengalaman dan bagaimana hendak mendapat pengalaman kalau tidak diberi peluang bekerja. Disuruh mengambil inisiatif menghubungi syarikat milik kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan lain untuk mendapat peluang pekerjaan. Ada yang dihubungi tidak mahu melayan, ada yang minta gunakan laman sesawang, ada yang begitu bersimpati tetapi tiada kekosongan.

Kesimpulannya, untuk menangani persepsi anak-anak muda, pihak yang bertanggungjawab perlu menyelesaikan punca masalah yang wujud. Ramai yakin dan percaya kerajaan dapat merasai nadi anak-anak muda ini.

Inisiatif apa sekalipun tidak dapat mengikis perasaan tidak bersetuju dengan kerajaan sekiranya punca masalah tidak diselesaikan.

DR. AHMAD SATAR MERICAN ialah Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM. Utusan Rencana 20140501

Tags: gen y, rasuah
Subscribe

  • Manusia Tanpa Kemanusiaan

    Manusia dan kemanusiaan harusnya seiring. Kata orang lama di tempat saya , manusia tanpa kemanusiaan umpama haiwan atau binatang. Sejak kecil…

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments