kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pembaharuan wajar tapi bukan militan

LAPORAN muka depan akhbar Utusan Malaysia Selasa lalu amat mengejutkan apabila Kementerian Dalam Negeri mengesahkan kemunculan semula gerakan militan, dengan penangkapan 10 orang yang berusia 22 hingga 55 tahun.

Kumpulan militan yang dikenali sebagai Jihad Salafi itu dilaporkan mempunyai bentuk dan kaedah operasi hampir serupa dengan al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI).

Kemunculan semula gerakan militan sebenarnya bukanlah perkara baharu dalam senario sosiopolitik masyarakat Malaysia bahkan pada suatu ketika, kumpulan seumpamanya bersedia melaksanakan jihad menjatuhkan kerajaan sebagaimana dilakukan oleh kumpulan al-Maunah.

Peristiwa itu mengingatkan kepada umum bahawa kerajaan perlu berusaha keras untuk tidak membolehkan setiap orang yang disahkan terbabit dalam kegiatan ini terlepas daripada tindakan undang-undang.

Terpengaruh dengan dakyah mati syahid dengan berjihad di negara bergolak,
menyebabkan penglibatan rakyat negara ini dalam kumpulan militan. - Gambar hiasan/AFP

Jaminan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sehari selepas penangkapan itu memberikan sedikit kelegaan kepada masyarakat. Ini membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan untuk menjamin rakyat Malaysia tidak tergugat dengan pelbagai bentuk gerakan radikal, kumpulan pelampau agama.

Paling menggerunkan apabila wadah perjuangan sesebuah pertubuhan yang pada mulanya bersifat gerakan kemanusiaan berubah menjadi radikal apabila merasakan pertubuhan mereka berpengaruh dan mendapat sokongan pihak-pihak tertentu. Pergerakan seperti ini sekali gus memperdaya masyarakat Islam dengan mengutip dana yang kemudiannya digunakan membiayai pengkaderan, latihan separa ketenteraan dan tektik peperangan gerila.

Agaknya, meskipun kerajaan sudah menggubal undang-undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang membenarkan orang awam ditahan tanpa waran tangkap, akan tetapi sedikitpun tidak menggerunkan pergerakan ini dan mengalihkan pangkalan mereka ke negara lain.

Kumpulan ini sebaliknya menjadi lebih berani melakukan tindakan ganas, kerana persekitaran politik dalam negara semakin berubah dalam pengangkatan makna "hero" atas nama perjuangan agama dan kepentingan tertentu.

Persoalannya, mengapa puak-puak pelampau dan militan ini begitu teguh tanpa rasa takut berdepan dengan tindakan undang-undang pihak berkuasa? Kenapa mereka sanggup menderita dan begitu kental mempertahankan keyakinan mereka berjuang atas nama 'agama' sekali gus tegar memerangi pihak-pihak yang dianggap sebagai taghut dan sekular?

Akhir-akhir ini di negara kita yang majoriti penduduknya Islam menjadi saksi kemunculan puak-puak yang mengisytiharkan diri mereka dengan pelbagai gelaran seperti aliran sunnah tulen (seolah-olah yang lain palsu).

Secara ideologi, kumpulan-kumpulan itu berkiblat kepada aliran yang suka dengan slogan atau sebutan seperti pemurnian dan pembaharuan agama yang seringkali berusaha merombak tradisi kerana ia berjaya melahirkan masyarakat dengan kepatuhan tanpa rasional, masyarakat yang tidak boleh menerima pembaharuan. Masyarakat sedemikian hidup dalam zon selesa, tetapi kurang prihatin dengan sekumpulan masyarakat kecil yang dianggap tertindas, terkeluar daripada arus pembangunan.

Dari segi sejarah, gerakan seumpama ini dikesan wujud sejak awal abad ke-20 di nusantara. Corak perjuangan mereka menyebabkan sering berkrisis dengan yang memegang kuasa, dan mereka menjadi kumpulan anti-establishment, ataupun pertentangan antara kaum tua dan kaum muda.

Kaum muda yang terdedah dengan pendidikan bersifat ilmiah barat, terhasil daripada wadah kebebasan sekular, akhirnya mencabar kaum tua yang dilihat terlalu tradisonal, yang tidak mungkin boleh membawa Islam ke tahap pencapaian tamadun baharu.

Bagaimanapun, gerakan modenisasi dan pembaharuan peringkat awal ini berjalan secara damai dan harmoni. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan ia turut memperkaya khazanah keilmuan dan pemikiran Islam, yang menghasilkan nilai intelektualisme tinggi.

Ada ketikanya, gagasan pemikiran mereka tetap dikaji sebagai jalan pemecahan masalah masyarakat yang masih relevan hingga sekarang. Misalnya, pemikiran Za’ba tentang kemiskinan orang Melayu, Syed Sheikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaludin dengan pembukaan minda. Mereka telah meninggalkan legasi, dari bidang persuratan hinggalah pembentuk psikik orang Melayu-Islam.

Fenomena ini berbeza dengan gerakan pembaharuan dan ‘pemurnian’ akidah dewasa ini. Ramai dalam kalangan ‘pembaharu’ dan pendokong 'sunnah tulen' itu terjebak dengan semangat yang berlebih sehinggakan skrip pembida’ahan dan tidak mengikut sunnah kembali berulang. Malah, terdapat kumpulan tertentu menjadikan justifikasi sebagai faktor bertindak ganas dan melampau.

Puak pelampau ini, tidak hanya memerangi bukan Islam yang dianggap zalim dan menindas, malah mereka turut membentuk fatwa dengan menuduh, umat Islam arus perdana terjerumus dengan amalan "bid'ah" , taghut dan menyimpang dari ajaran sunnah Nabi.

Golongan ini menganjurkan tindakan jihad, termasuk berjihad kepada orang Islam kerana darah mereka adalah halal, sedangkan dengan bukan Islam, mereka memberikan alasan, perlu didekati menerusi dakwah.

Inilah tragedi yang bakal memecah belahkan umat Islam, ada ketikanya, ia merupakan kejayaan musuh Islam menggerakkan minda umat Islam supaya berbalah sesama sendiri. Ia seumpama perang saudara, misalnya antara Syiah dan Sunni, konflik sektarian di Syria serta penyingkiran pemimpin atas dasar tidak demokratik.

Umat Islam harus sedar bahawa tiupan angin pembaharuan sesetengah golongan ini sudah tentu akan mengancam cara beragama kaum Muslimin di negara kita yang lebih selesa memilih mengikuti Syafiyah. Dan ini menambah lagi satu masalah besar sedangkan hakikatnya kita sedang berhadapan dengan masalah-masalah yang lebih besar dan utama seperti soal perpaduan, pengukuhan politik Melayu-Islam dan kemunduran ekonomi umat Islam.

Bayangkan seandainya kita hidup di negara-negara yang dilanda konflik sektarian (pertikaian mazhab) dan konflik komunal seperti di Pakistan, Afghanistan, Iraq dan Syria kebelakangan ini. Sudah tentu kita tidak dapat menjalankan semua aktiviti kehidupan kita dengan tenang dan selesa.

Keadaan dan persekitaran yang harmoni dan damai ini tidak lain dan tidak bukan adalah buah kebijaksanaan ulama-ulama kita dalam menentukan corak dan mazhab agama yang sesuai dengan masyarakat tempatan. Merekalah yang menjadi pengawal yang sentiasa memastikan sebarang konflik keagamaan tidak muncul menerusi institusi pondok.

Sebagai pusat pendidikan dan pengajian agama , ijtimak guru pondok yang berlangsung baru-baru ini, turut menegaskan usaha memperkukuh, meneruskan sistem pendidikan pondok di samping menjaga tradisi keilmuan Islam, termasuk pembudayaan "kitab kuning" dan memugarkan pemikiran para pelajar menerusi roh agama, mengakarkan persaudaraan dan kesederhanaan.

Kita tidak harus terpedaya dengan perangkap musuh-musuh Islam yang ingin melihat umat Islam terus berpecah belah kerana masalah furuiyah (masalah ranting) mengabaikan persoalan kulliyah (masalah pokok). Sejarah Islam telah mencatatkan bahawa salah satu punca kemunduran peradaban Islam kerana kelekaan berpolemik tentang masalah furuiyah ini.

Ikhtilaf adalah satu anugerah dan rahmat tetapi kini ia berubah menjadi bencana yang besar, sebagaimana terjadi pada kaum ahli Kitab. Kehancuran sesuatu umat dan bangsa kerana hilangnya etika ikhtilaf.

Berbeza pendapat dalam masalah agama bukanlah ruang atau ladang luas yang diperkenankan untuk semua orang. Perbezaan hendaklah diberikan kepada orang yang mempunyai kebolehan dalam ilmu agama. Perbezaan pendapat antara ahli-ahli mujtahid tidak harus terbawa-bawa kepada orang awam atau dimanfaatkan oleh mereka yang ada kepentingan politik. Jika ia berlaku, maka yang akan muncul ialah perpecahan dan permusuhan.

MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Utusan Rencana 20140502

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments