kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ulangan pengiktirafan 48 tahun lalu

2009 merupakan tahun Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Barack Obama dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-44 dan sekali gus memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan AS.

Sebaik sahaja memegang tampuk pe­merintahan, kedua-dua pemimpin ini menyimpan satu aspirasi untuk membawa pe­rubahan dan transformasi dalam pentadbiran mereka.

Dan apabila kedua-dua pemimpin ini bertemu baru-baru ini, Najib dan Obama mempunyai aspirasi yang sama iaitu untuk terus memperkukuhkan kerjasama antara dua negara ini dalam pelbagai bidang.

Namun perkara seperti ni bukanlah sesuatu yang baru dan merupakan satu kebiasaan apabila pelbagai kerjasama dapat dihasilkan apabila dua pemimpin bertemu.

Apa yang lebih ketara ialah perjumpaan dua pemimpin ini dilihat sebagai usaha untuk mengukuhkan hubungan antara dua buah negara ini yang telah lama terjalin. Ataupun mungkin dalam bahasa yang lebih diplomatik, ialah membina semula hubungan baru setelah agak lama ‘dingin" .

Mungkin ini disebabkan semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu, negara kita tidak gentar untuk memberikan pandangan dan kritikan terhadap dasar-dasar Amerika Syarikat khasnya tentang dasar luar negara itu yang menganggap diri mereka sebagai ‘Polis Dunia’.

Apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir tidak salah yang mana Malaysia telah membuktikan diri sebagai sebuah negara yang tidak akan mengikut telunjuk kuasa-kuasa besar.

Kini pendekatan berbeza dilakukan oleh Najib. Mengukuhkan hubungan tidak ber­makna bersetuju dengan apa jua polisi yang dilaksanakan oleh Washington. Lagipun, pemimpin akan bertukar ganti dan di ba­wah kepimpinan Obama, Malaysia dilihat tidak perlu lantang mengkritik Washington se­bagai­mana era pentadbiran Dr. Mahathir da­hulu.

Memang mudah untuk melihat pelbagai isu negatif yang boleh dikaitkan dengan kedatangan Obama ke Malaysia. Apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Dalam hal ini, pendapat tentang kebaikan dan keburukan TPPA adalah berbelah-bahagi. Bahkan di media-media sosial, sudah terdapat pelbagai perbahasan yang menganggap TPPA ini mempunyai risiko yang tinggi jika dilaksanakan. Ini disebabkan terdapat beberapa klausa yang jika dikaji dengan teliti akan merugikan pertumbuhan ekonomi tempatan.

Namun begitu, terdapat juga penganalisis ekonomi tempatan yang melihat TPPA dari sudut positif khasnya dari segi dasar perdagangan terbuka yang mana peluang seperti ini perlu direbut oleh negara kita yang sedang membangun dan bakal menjadi sebuah negara maju tidak lama lagi.

Mereka menganggap jika Malaysia mahu memainkan peranan yang lebih penting dalam arus globalisasi ekonomi dunia dan tidak mahu ketinggalan hingga boleh dilupakan maka, kita harus menerima hakikat bahawa TPPA adalah kunci kepada jari­ngan ekonomi antarabangsa.

Dengan adanya TPPA akan memperluaskan lagi akses pasaran Malaysia dan me­­rang­kumi rakan dagang yang penting seper­ti AS, Kanada dan juga Mexico.

Najib pernah memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengikut segala kehendak dan syarat yang terkandung dalam TPPA dan hanya akan menandatangani perjanjian itu mengikut terma dan syarat yang ditetapkan oleh negara kita sendiri.

Obama juga faham akan situasi ini dan pernah menegaskan bahawa “Tidak pernah ada perjanjian perdagangan yang dipersetujui bulat-bulat oleh semua, pasti ada yang membantah".

Obama juga menegaskan lagi yang istilah ‘buli’ tidak ada dalam kamusnya apabila melaksanakan TPPA itu nanti. Dan pastinya juga Najib telah menyuarakan segala isu ini dan Washington tentunya akan mengambil pandangan daripada Kuala Lumpur akan perkara ini.

Perlu diingatkan juga bahawa Malaysia belum menandatangani apa-apa perjanjian yang berkaitan dengan TPPA.

Apapun, Kita perlu diberi jaminan yang TPPA akan memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi Malaysia.

Apakah lagi kesan positif yang kita boleh lihat daripada hasil lawatan Obama ke Malaysia?

Selain daripada pengiktirafan kepada kepimpinan Najib yang begitu komited melaksanakan transformasi, Malaysia juga dilihat sebagai sebuah negara yang mampu memainkan peranan yang lebih meluas dan penting dalam isu-isu antarabangsa khasnya di rantau ini.

Perkara ini sebenarnya sudah lama dise­dari oleh Presiden Lyndon B. Johnson ketika melawat Malaysia pada 1966 dahulu yang mana beliau pernah menganggap Malaysia sebagai nadi geopolitik di Asia Tenggara.

Itu adalah 48 tahun yang lampau dan itu sebabnya kini Malaysia dilihat sebagai negara yang matang dan mampu menghadapi pelbagai isu di rantau ini.

Dan sebagai sebuah negara Islam yang moden dan progresif, Malaysia begitu mudah diterima oleh negara-negara lain sebagai negara yang penting di rantau ini khas­nya dari segi ekonomi, politik dan keamanan sejagat.

Kedudukan yang stabil di bawah kepim­pinan Najib meletakkan Malaysia sebagai “salah seorang pemain utama" apabila membincangkan setiap isu antarabangsa di rantau ini.

Obama juga pastinya sedar akan perkara ini dan adalah penting bagi Washington untuk terus mengukuhkan hubungan baik dengan Kuala Lumpur agar permulaan baru yang terjalin ini dapat membuka jalan ke arah kerjasama yang lebih mantap dalam pelbagai bidang.

SHAHBUDIN EMBUN ialah Ahli Majlis Perundingan Melayu Malaysia dan blogger Lawyer Pokok Cherry. Utusan Rencana 20140503

Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Manusia Tanpa Kemanusiaan

    Manusia dan kemanusiaan harusnya seiring. Kata orang lama di tempat saya , manusia tanpa kemanusiaan umpama haiwan atau binatang. Sejak kecil…

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments