kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Enggan berpakaian metroseksual

ISNIN lepas, untuk pertama kali dalam tempoh lebih dua tahun saya terpaksa memakai sut penuh dengan tali leher. Bertugas membuat liputan acara Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di ibu negara.


Itu pun sudah lupa cara ikat tali leher. Asalkan yang depan tidak pendek, yang belakang tidak panjang. Di pejabat Utusan Malaysia, tidak diwajibkan bertali leher. Berbeza dengan syarikat pesaing di Jalan Riong. Protokol, kata sahabat di sana walaupun mengakui bertali leher untuk wartawan yang mengejar deadline amat menyesakkan nafas.

Pematuhan etika berpakaian selalunya mengikut kesesuaian majlis. Jika ke Parlimen, maka kenalah berpakaian sut lengkap atau berbaju kebangsaan siap dengan songkok dan samping. Hari Jumaat, ada yang memakai baju Melayu sekerat, sekali gus mencacatkan keharmonian pakaian tersebut dan memburukkan pemakainya.

Hal etika berpakaian ini adalah sesuatu yang serius di tempat kerja, terutama pejabat kerajaan. Malah, orang ramai yang datang berurusan, tidak akan dilayan jika memakai selipar dan berseluar pendek.

Hari Khamis sektor awam digalak memakai baju batik. Kalau kebetulan singgah di Alamanda pada hari tersebut, sejuk saja mata memandang. Tampan dan lawa kakitangan kerajaan kita. Ada banyak kesan positif daripada dasar galakan ini, selain menyuburkan industri batik Malaysia.

Dalam kalangan sektor swasta, ketetapan memakai batik tidak ada. Sebelum ini, penetapan itu wujud bila kena menghadiri majlis makan malam dengan tetamu kenamaan. Sedaya-upayalah mengeluarkan ilmu kung fu Bruce Lee mengelak daripada terkena tugasan tersebut.

Secara umumnya, etika berpakaian baik di sektor swasta atau awam ialah pakaian itu hendaklah kemas bagi kedua-dua jantina. Tapi bagaimana berpakaian untuk kelihatan seperti jutawan? Ironinya, saya terbaca artikel mengenai hal ini semasa cuti Hari Buruh. Ironi kerana berangan-angan berpakaian seperti jutawan.

Harus dinyatakan bahawa saya bukan membaca artikel ini dalam majalah atau laman web fesyen atau hiburan. Tetapi dalam portal berita niaga di bawah segmen ‘Strategi’. Ini artikel serius. Bukan main-main. Saya ketawa dalam hati.

Ini kerana tajuk ‘penjagaan kulit sempurna’, pantas membawa memori ketika menemu bual seorang pegawai kanan sebuah syarikat korporat. Ketika itu, sudah petang dan dia berdiri mengadap matahari. Semasa dia menjawab soalan, saya terpandang kulit pipinya. Pegawai itu lelaki. Sekilas itu dalam fikiran saya, dia ini sealiran dengan David Beckham nampaknya. Metroseksual.

Untuk seorang lelaki memiliki kulit halus (tanpa parut jerawat atau luka) bermakna dia memperuntukkan masa dan wang yang banyak untuk mencantikkan kulitnya, sama ada kerap ke salon kecantikan atau menyuntik kalogen. Tidak pula saya bertanya jika dia banyak makan tempe.

Tetapi tidak semestinya wujud kemungkinan itu. Ini kerana dalam artikel itu, antara petua yang diberikan ialah seseorang haruslah memastikan tidurnya bukan sahaja cukup tetapi sempurna mengikut waktu. Dengan cara ini, kulitnya boleh dipelihara.

Memetik tulisan Vicky Oliver dalam bukunya yang berjudul The Millionaire’s Handbook: How to Look and Act Like a Millionaire, Even If You’re Not, anda disaran supaya mencatat berapa jam masa tidur anda selama beberapa hari.

"Setelah mendapat gambaran tentang jumlah jam tidur anda, cuba dapatkan masa tidur yang sama setiap malam, termasuk pada hujung minggu. Paksa diri anda tidur dan bangun pada waktu sama setiap hari,’’ tulis Oliver. Dengan cara ini, anda akan dapat memelihara kulit anda.

Saya sebagai lelaki bukan penganut fahaman metroseksual, tidak berhasrat mencuba petua ini. Saya percaya bahawa lelaki tulen hendaklah berkulit kasar dan ada sedikit parut kerana wanita yang saya tanya tentang hal ini turut sama menolak lelaki berkulit licin sebagai calon untuk dijadikan suami ideal. "Nanti atas meja solek, krim muka dia lagi banyak daripada saya,’’ katanya.

Artikel itu seterusnya, memetik juruperunding imej, Sylvie di Giusto berkaitan isu pemakaian kasual. "Masalah dengan kasual, ia tidak pernah didefinisikan sepenuhnya, berbanding formal,’’ ujarnya.

Ramai orang menganggap kasual bermaksud `aku tidak peduli bagaimana hendak berpakaian’, kata di Giusto. Sebaliknya, kasual seharusnya bermaksud hanya beberapa lapis pakaian kerja anda yang berbeza.

Beliau merujuk kepada Presiden Obama, yang menetapkan definisi kasualnya ialah dengan menanggalkan jaket sut, tali leher dan menyingsing lengan.

Seseorang itu boleh menukar seluar kerjanya dengan jeans yang kemas, bukan koyak atau luntur warna yang akan merubah sama sekali makna ‘pakaian kerja’.

Petua di Giusto tentang kasual ialah pakaian itu dengan pantas boleh dikemaskan. Misalnya, bawa jaket dan bila tiba-tiba kena menghadiri mesyuarat tergempar, pakai jaket tersebut.

Satu lagi aspek dalam etika berpakaian ialah tidak menggunakan minyak wangi terlampau banyak sehingga menjejaskan penumpuan orang terhadap apa yang anda cuba perkatakan.

"Detik anda terhidu bau minyak wangi anda sendiri, ia bermaksud anda memakainya terlalu banyak,’’ kata di Giusto. Cuma beliau juga mengakui nasihat itu tidak bersifat sejagat kerana di Itali dan Perancis, penggunaan minyak wangi yang kuat tidak menjadi kesalahan.

Di Malaysia dengan cuaca panas terik, eloklah guna minyak wangi berpada-pada. Bila bercampur peluh, baunya berisiko boleh bertukar menjadi bahan berbahaya untuk kesihatan terutama, orang sekeliling.



JOHARDY IBRAHIM Utusan Rencana 20140504
Tags: tie
Subscribe

  • Elak ketagihan gajet

    SATU kajian yang dijalankan oleh sebuah firma pemasaran digital mendapati di Britain purata penggunaan telefon pintar sehari adalah sebanyak 221…

  • Telefon pintar jadi ‘teman rapat’ sukar disekat

    Lama sebelum telefon mudah alih di cipta, Albert Einstein, salah seorang dari insan cemerlang abad ke-20, dikatakan telah meramalkan: "Saya…

  • Hendak memandu atau mahu main telefon?

    SUDAH banyak kali apabila sedang memandu di Lebuh Raya Persekutuan, saya berhadapan dengan keadaan di mana kereta di depan kenderaan saya,…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments