kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kisah perempuan bermulut celupar

Baru-baru ini Bro menerima satu rakaman suara perbualan antara kakitangan pusat khidmat pelanggan yang menguruskan sebuah lebuh raya dengan seorang perempuan berikutan kesesakan teruk di lebuh raya itu.


Apabila mendengar rakaman berdurasi 3 minit tersebut Bro terkejut besar kerana si perempuan yang membuat panggilan itu tidak henti-henti memaki hamun kakitangan berkenaan kerana dia tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

Bro percaya ada antara kita yang mendengar rakaman perbualan itu, cuba dengar baik-baik perkataan yang dihamburkan, Bro rasa kalau hantu dengar, dia pun lari, bahasa digunakan terlalu kasar dan tidak layak sama sekali dikeluarkan seorang perempuan.

Namun walaupun ada orang kata Bro anti perempuan tetapi Bro nak ucapkan tahniah dan `tabik' kepada kakitangan pusat khidmat lebuh raya itu yang tetap melayani panggilan tersebut dengan penuh sopan dan berhemah. Kalau orang lain mungkin si perempuan mulut celupar itu dah `bertemu buku dengan ruas'.

Bro kata macam tu, sebab walaupun Bro seorang lelaki tetapi Bro tak tergamak hendak keluarkan perkataan seperti mana dilakukan si perempuan tersebut. Macam-macam dia kata sehinggakan tak sempat jumpa anak kat rumah pun lebuh raya yang disalahkan.

Bro tak faham kenapa perlu perempuan tersebut memaki hamun kakitangan berkenaan, kalau nak buat aduan atau nak bagi pandangan berilah secara berhemah, tak payah nak maki hamun seolah-olah si penerima panggilan yang juga seorang perempuan tidak ada maruah.

Kalau dah tak mahu tersangkut dalam kesesakan lalu lintas janganlah bekerja duduk sahaja kat rumah layan suami dan anak. Kalau nak kerja juga bersedialah menerima apa juga masalah ketika di jalanan, jangan salahkan orang lain.

Soal dia sampai rumah lewat, tak sempat jumpa anak, letih bekerja dan kemudian tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, itu bukan masalah orang lain, tetapi masalah diri sendiri, kenapa `gatal' sangat nak bekerja di tempat yang jauh.

Bro hargai dia bekerja sebab hendak tambah pendapatan keluarga tetapi sia-sia sahaja pahala yang dilakukan melalui perbuatan itu kalau pahala 'tercicir’ di tengah jalan disebabkan memaki hamun orang lain.

Yang Bro pelik tu, kalau dah tahu tak mahu sampai rumah lewat sebab nak uruskan keluarga kenapa cari rumah jauh daripada tempat bekerja?

Kenapa tak cari sahaja pekerjaan yang dekat dengan rumah, kalau tak, lebih baik lepak saja di rumah...habis cerita.

Bro hairan di mana letaknya maruah perempuan yang suka sangat mengeluarkan perkataan kotor dan memaki hamun orang lain. Perempuan yang macam ini Bro anggap ada krisis identiti dan tidak tahu budi pekerti seperti manakah yang sepatutnya ditunjukkan oleh seorang perempuan.

Sebab itulah, Bro selalu cakap perempuan ni kalau tengah marah, tak ingat dosa pahala, semuanya dihamburkan, dia ingat dengan memaki hamun orang lain, masalahnya boleh selesai.

Begitu juga perempuan si panggil tersebut, Bro fahamlah dia letih bekerja tetapi adakah itu caranya hendak melepaskan geram. Adalah lebih baik baik, perempuan itu mencari pahala tambahan apabila tersangkut dalam kesesakan lalu lintas seperti berzikir kepada Allah, Bro yakin insya-Allah, segalanya akan dipermudahkan.

Ini tidak, maki hamun orang sampai tak ingat dunia, Bro rasa orang tak siuman pun tak akan keluarkan perkataan yang perempuan tu lafazkan.

Sebenarnya, Bro dah acap kali jumpa dengan perempuan yang suka sangat maki hamun orang apatah lagi kalau dia diberi mempunyai kedudukan dan berpeluang mempengerusikan sesuatu mesyuarat.

Kalau boleh semua orang dalam mesyuarat tu dia maki, kononnya dialah paling hebat dan sempurna.

Bro berpendapat perempuan macam ni lupa daratan dan sengaja melupakan bahawa setiap yang kita lakukan biar pun sekecil zarah sekali pun pasti ada pembalasannya satu hari nanti.

Cubalah fikir sikit, bagaimana kalau kita berada dalam kedudukan orang yang kita maki hamun tu, apakah perasaan kita? Dah tentu kita marah, sedih dan kecewa.

Jadi Bro nak nasihatkan perempuan-perempuan yang suka sangat maki hamun orang apabila ada masalah banyak-banyaklah ingatkan Allah.

Bro nak ingatkan, kalau sekarang kita memaki hamun orang jangan terkejut kalau nanti di satu masa ada orang akan maki hamun kita pula dan paling menyedihkan kalau perbuatan itu dilakukan orang yang rapat dengan kita termasuklah anak kita sendiri.

Ingatlah apa yang kita lakukan sama ada baik atau buruk pasti ada pembalasan, namun seperti biasa ramai perempuan yang tidak pernah mempedulikan hakikat ini seperti mana perangai perempuan yang membuat panggilan tersebut.

- JUMPA LAGI, Bro Tompok KUCING JANTAN Utusan Rencana 20140504

Tags: perempuan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments