kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Anugerah buat Malek Noor

UMUM mengetahui penghijrahan yang dilalui oleh bekas juara bina badan Asia, Datuk Malek Noor, 59, dalam mencari keredaan Allah lebih 10 tahun yang lalu.

Dedahnya, daripada seorang yang dahulunya tidak menunaikan kewajipan sebagai seorang beragama Islam, dia bersyukur diberi hidayah untuk pulang ke jalan yang benar bagi menebus segala dosa lalu.

Semuanya bermula pada 2002 apabila dia terdengar sayup-sayup azan Maghrib di masjid berhampiran kediamannya membuatkan dia tersedar kelalaian seumur hidupnya dalam mengejar duniawi lalu timbul keinsafan pada usia 46 tahun.

Detik tersebut mengubah hidup Malek 360 darjah. Segala kejayaan zaman kegemilangannya dalam bidang bina badan dibuang terus daripada hidupnya. Sejak itu hidup Malek lebih tenang dan gembira berbanding dahulu.

Namun, tidak ramai tahu di sebalik hidayah yang diberikan, ada lagi anugerah yang tak terduga diterimanya selepas penghijrahannya iaitu kebolehan untuk ‘melihat’ dan mengubati mereka yang datang menemuinya.

Tidak mahu dilihat umpama ustaz, jauh sekali bomoh atau pawang, dia mengumpamakan dirinya sebagai penyampai daripada Tuhan bagi membantu apa yang mampu menerusi apa yang diperturunkan daripada dalam mimpi.

MALEK pernah menerima pelbagai anugerah sewaktu zaman kegemilangannya sebagai atlet bina badan yang berjaya.

Ceritanya, selama dia hidup, tidak pernah sekalipun dia melihat perkara dari alam ghaib sehingga dia mendapat mimpi tersebut, hijab matanya umpama terbuka membuatkan dia kadang-kadang dapat melihat sedikit alam tersebut menimbulkan lebih keinsafan dalam dirinya.

Dia juga mula mampu membaca perwatakan dan masalah orang yang ditemuinya.

Selain mimpi, dia terdengar suara seperti alat rakaman di telinganya yang mengajar Malek apa perlu dilakukan dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

"Tidak tahu macam mana, saya mula bergantung sepenuhnya dengan ayat al-Quran. Di dalam kereta saya memasang dan mendengar rakaman bacaan ayat al-Quran, di rumah malah ketika tidur sekalipun saya kena mendengarnya.

"Rasa seperti satu kewajipan mendengar dan membaca ayat suci al-Quran," tambahnya.

Lama dia menyimpan rahsia tersebut, sehinggalah Malek pulang dari mengerjakan haji pada Oktober tahun lalu bersama isteri tercintanya, Datin Dr. Wan Asma Wan Ismail, 55.

Tidak tahu bagaimana mahu membuka rahsia tersebut, Malek menyuruh isterinya baring lalu dia mengurut Wan Asma yang merupakan seorang doktor.

Terkejut isterinya melihat kebolehan Malek. Hilang segala sakit di badannya dengan urutan tersebut walaupun sebelum ini ujar Malek, dia tidak pernah mengurut sesiapa.

Membantu

Dia pun mula menceritakan setiap apa yang berlaku terhadap dirinya dan atas sokongan isteri, dia membuat keputusan untuk menggunakan pengetahuan yang diperturunkan kepadanya bagi membantu mereka yang memerlukan.

Malek mula membantu rakan-rakannya terlebih dahulu dan sehingga timbul keyakinan, dia mula memberi perkhidmatan di Sinar Permata Solution di Bandar Baru Uda, Johor seterusnya ke cawangan-cawangannya yang lain sekitar Malaysia.

"Bila orang tanya, saya tak cakap saya ada ilmu, cuma saya umpama penyampai dari Allah. Saya menurunkan apa yang saya dapat dalam mimpi.

"Saya menggabungkan kebolehan itu dengan pengetahuan dalam bidang pemakanan dan kesihatan bagi memberi penyelesaian kepada mereka," ujar Malek yang mempunyai Diploma Pemakanan Fizikal dari Weider College, Kanada.

Terang Malek, kebanyakan pesakit yang menemuinya itu sebenarnya berpunca daripada pemakanan yang tidak betul dan tidak menjaga kesihatan seperti yang sepatutnya.

Namun terang Malek, tidak semua masalah pesakit yang datang menemuinya dapat diselesaikan. Ada perkara yang terlalu berat dan di luar kemampuannya.

Ada keadaan sehingga dia pula yang sakit apabila berdepan dengan pesakit yang ‘datang’ bersama makhluk halus yang terlalu kuat.

Ujar Pengarah Eksekutif Universal Fitness & Leisure Sdn. Bhd. ini, kadang-kadang dia merasakan satu beban berat ditanggungnya dalam menerima keistimewaan tersebut.

Ditanya tidakkah kisah mengurut pesakit sehingga ke kaki walhal dirinya seorang berpangkat Datuk dan merupakan orang penting untuk beberapa buah syarikat, ujarnya, dia tidak kisah dengan hal tersebut.

"Bukan senang mendapat peluang untuk memberikan kembali apa yang Tuhan berikan kepada kita dan saya percaya itu satu rahmat.

"Sebagai orang Islam, kita tidak boleh berbangga diri dan bermegah walaupun tinggi mana pangkat kita.

"Sebusuk-busuk kaki yang diangkat itu, esok-esok kaki itulah yang membantu di akhirat nanti," ujarnya.

Bergurau mengenai kehidupan selepas berkahwin dengan cinta hatinya pada 12 Mac 2012, ujar Malek, dia merasakan kebahagiaan yang tidak pernah terbayang olehnya sebelum ini.

Ujarnya, walaupun mereka tinggal berjauhan akibat komitmen isterinya sebagai pakar kanak-kanak di Hospital Pakar Perdana KPJ di Kota Bharu, Kelantan dan dia sebagai pengerusi beberapa buah syarikat di Kuala Lumpur, mereka berhubung melalui telefon sebanyak 10 kali sehari.

Malah, jika ada kelapangan, Malek akan berusaha untuk pulang ke Kelantan seminggu sekali bagi melepaskan rindu.

"Memang bahagia bersama dia. Setiap hari kami bergurau dan seronok apabila mempunyai teman yang juga kawan baik saya. Ikutkan hati, esok juga saya mahu terus pulang dan tinggalkan semua (komitmen) di sini. Tapi tanggungjawab di sini masih banyak," terangnya.

Raja Intan Dianna Raja Azaham Utusan Rencana 20140504
Tags: health
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments