kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kaji semula tahap membaca

PAGI Rabu lalu, saya berkesempatan mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Ke-33 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Hari ini pesta buku akan menutup tirai.


Ketika saya menuju ke PWTC, deretan bas sekolah dan bas persiaran kelihatan bersidai di tepi jalan dekat Bukit Tunku.

Apabila menjejakkan kaki di ruang legar PWTC, membuatkan hati saya lebih teruja. Baharu pukul 10 pagi, lautan manusia sudah memenuhi ruang dewan PBAKL. Paling ramai ialah pelajar sekolah rendah dan menengah.

Mereka datang untuk mendapatkan bahan rujukan, sudah tentu buku ulang kaji berkaitan peperiksaan. Bagi penuntut institut pengajian tinggi pula mencari bacaan ilmiah. Petugas di gerai-gerai buku tak menang tangan melayan permintaan pelanggan.

Kebanyakan pengunjung sudah tentu teruja apabila terdapat banyak buku, novel dan majalah ditawarkan pada harga yang berpatutan.

Secara kebetulan juga saya bertemu dengan kenalan lama - penyajak, pelakon dan bekas penyunting surat khabar Utusan Melayu, saudara Pyan Habib. Dia mempromosikan buku Balada Pyan Habib di gerai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Sempat juga melihat gelagatnya berkomunikasi dengan pembeli bukunya itu.

Melihat orang ramai berpusu-pusu menyelinap setiap lorong di dalam dewan pameran buku ini, timbul pertanyaan dalam minda saya, betulkah kajian tentang rakyat Malaysia hanya membaca dua halaman sahaja dalam setahun.

Mungkin itu kajian sedekad lalu, bagaimana trend membaca kita sekarang? Kajian ini mesti dilakukan supaya fakta usang itu perlu diperbetulkan. Siapa patut lakukan tugas ini?

Gaya penerbitan buku sekarang pun telah dipelbagai khususnya dalam penghasilan buku yang bermutu tinggi berbanding bahan bacaan berunsurkan tahyul dan hantu.Hakikatnya, minat sesetengah masyarakat kita terhadap buku semakin meningkat.

Tak kiralah minat mereka kepada buku berunsurkan agama, komik, kartun ataupun novel. Yang penting minat membaca itu usah dibalas dengan kritikan yang akhirnya boleh membunuh minat membaca.

Persembahan kandungan buku sekarang semakin menarik tidak seperti dahulu. Bagi buku kanak-kanak, kandungannya disampaikan secara ilustrasi yang menarik, bermaklumat serta berwarna-warni. Begitu juga reka bentuk buku-buku agama dengan corak dan warna yang menyegarkan mata.

Di PBAKL, ramai penggemar buku menjadi rambang mata untuk memilih bahan bacaan daripada pelbagai genre.

Industri buku Malaysia boleh maju. Kempen memupuk sikap membaca dalam kalangan rakyat Malaysia perlu diperhebatkan demi kemajuan industri buku negara.

Sejak sedekad lalu, ramai penulis baharu telah meraih keuntungan melalui penulisan baik novel, komik atau biografi. Atau menjadi penulis untuk buku rujukan pelajaran, keagamaan dan motivasi pelbagai bidang.

Jadi kejayaan beberapa penulis telah memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia, mereka bukan sekadar menjadi pembaca, tetapi boleh terlibat dalam penghasilan sesebuah karya.

Selain pameran buku baharu di pasaran serta jualan buku dengan tawaran harga menarik, pelbagai aktiviti dan program turut disediakan untuk para pengunjung PBAKL. Antaranya ceramah penulisan, bengkel penerbitan buku, pelancaran buku dan sesi bertemu penulis.

Berdasarkan pengamatan terhadap sambutan pengunjung ke mana-mana pesta buku yang dianjurkan baik di Kuala Lumpur atau di negeri-negeri, diharap budaya membaca dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda bertambah baik.

Nampaknya, bahan bacaan tradisional iaitu yang dicetak dengan reka bentuk menarik berjaya melawan serangan bahan bacaan dalam bentuk digital atau e-book. Ini berdasarkan pada banyak penerbit buku dan majalah masih kekal hingga ke hari ini.

Bagaimanapun kebanyakan penerbit sekarang bukan lagi menghadapi masalah pasaran, tetapi berhadapan dengan masalah mendapatkan manuskrip yang bermutu. Peluang ini patut direbut oleh penulis lama dan baharu dengan menawarkan penulisan yang bermutu dan kreatif untuk diterbitkan.

Sehubungan itu, penerbit pula jangan terlampau tamak dan patut menawarkan bayaran royalti atau honorarium yang setimpal kepada para penulis dalam usaha menggalakkan pertumbuhan industri buku kita.



AZMAN ANUAR Utusan Rencana 20140504
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments