kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bukan defensif tetapi membentangkan realiti

DAKWAAN sesetengah pihak bahawa mereka didiskriminasi di negara ini bukan isu baharu. Tetapi cerita sebenarnya hanya dilarang menggunakan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu.


Nampaknya begitu mudah pihak tertentu melontarkan tuduhan bahawa negara ini mendiskriminasikan kaum minoriti yakni bukan Melayu dan bukan bumiputera dan juga agama selain Islam.

Tidak banyak pihak yang mempunyai kuasa menyanggah dan membetulkan tanggapan yang salah dan mempunyai agenda memburukkan Malaysia. Yang banyak ialah berdiam diri seolah-olah mengiyakan yang salah itu sebagai suatu yang betul. Mereka tidak ada keberanian untuk membetulkan kesengajaan itu.

Bagi saya ini tindakan tidak patriotik dan ada agenda peribadi. Ini tidak adil kepada orang Melayu dan bumiputera di mana mereka dianggap hidup mewah di atas hak kaum minoriti. Gambarannya seolah-olah orang Melayu menguasai ekonomi negara ini. Padahal hakikatnya tidak sampai 30 peratus ekuiti dipegang oleh orang Melayu.

Kalau dicongak secara mudah adakah penguasaan 30 peratus ini bererti menguasai ekonomi negara ini? Kalau orang Melayu mendiskriminasikan kaum lain terutama Cina sudah tentu penguasaan ekonomi Melayu sekurang-kurangnya 51 peratus. Tetapi tidak sampai 30 peratus. Yang selebihnya siapa yang punya?

Kalau kita intai-intai senarai sepuluh orang terkaya di negara ini, berapa orang Melayu dan berapa pula orang kaya Cina serta jumlah kekayaan mereka. Kalau inilah dinamakan diskriminasi, kenapa hendak bising? Bukankah itu menguntungkan orang Cina? Pelik bukan, pihak yang kena diskriminasi pula yang memonopoli. Inilah perkara pelik yang hanya berlaku di Malaysia.

Mereka menuduh kerajaan hanya memberi tumpuan kepada agama Islam dan melarang kebebasan agama lain, fakta yang berada di depan mata kita adalah sebaliknya. Kebebasan melampau diberikan kepada agama lain hingga seolah-olah Islam bukan lagi Agama Persekutuan. Di mana diskriminasinya?

Saya sendiri ada kalanya terfikir Islam bukan lagi Agama Persekutuan. Sebabnya jumlah kuil Hindu misalnya di Kuala Lumpur hampir sama atau sudah lebih berbanding masjid. Untuk merobohkan masjid jauh lebih mudah berbanding kuil dan dalam banyak keadaan kerajaan memilih untuk mengalah. Di Putrajaya yang 95 peratus orang Islam pun akan dibina kuil terbesar yang terletak di Presint 20. Adakah ini kerana di Putrajaya ada dua masjid besar, maka kuil Hindu besar pun mesti diadakan?

Setiap kali perayaan Thaipusam, beberapa jalan utama di Kuala Lumpur terpaksa ditutup kepada lalu lintas. Ini untuk memberi peluang kepada perarakan penganut Hindu. Kerana menghormati kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, saya cuba untuk tidak merasakan keadaan lalu lintas yang terganggu itu sebagai masalah.

Malah rakan-rakan yang tinggal di sekitar Batu Caves dan Selayang selalu merungut kerana setiap kali perayaan Thaipusam, mereka terpaksa berkurung dalam rumah. Ini disebabkan keadaan lalu lintas sangat sesak dengan kehadiran beratus ribu penganut Hindu untuk berkumpul di Batu Caves.

Tetapi saya selalu menasihatkan inilah kehidupan kita dalam negara pelbagai kaum dan agama. Kita perlu bertolak ansur dengan memberi peluang kepada penganut agama lain meraikan acara agama masing-masing.

Saya tidak mempersoalkan sambutan dalam agama lain yang mendatangkan kesusahan kepada orang Melayu dan Islam. Ia sekadar membentangkan bahawa tuduhan agama lain didiskrimikasikan adalah tidak benar sama sekali.

Isu agama memang suatu yang sensitif. Kerap kali banyak yang hilang kewarasan apabila merasakan agama mereka dipinggirkan. Tetapi yang sepatutnyanya merasa sensitif ialah orang Islam kerana kebebasan luar biasa diberikan kepada agama lain.

Tetapi kerana orang Melayu Islam mempunyai kewarasan dan tolak ansur yang tinggi, bara ketidakpuasan hati itu terkawal. Faktor ini membuatkan kehidupan masyarakat pelbagai agama di negara ini harmoni dan aman. Sebab itulah kita mesti membetulkan tanggapan yang mengatakan berlaku diskriminasi agama di negara ini.

Dari segi ekonomi dan pendidikan pula, kalau ditinjau sepanjang Najib Razak menjadi Perdana Menteri, hampir RM500 juta peruntukan telah disalurkan untuk meningkatkan taraf hidup kaum India. Ini untuk memastikan kaum paling minoriti daripada tiga kaum utama itu berjaya dalam ekonomi dan pemilikan ekuiti.

Misalnya menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), kerajaan memperuntukkan RM34.5 juta untuk membantu peniaga kaum India antara tahun 2008 hingga 2011.

Pada 2012 pula Tekun menyalurkan peruntukan RM30 juta sementara 2013 sebanyak RM50 juta dan tahun ini juga RM50 juta kepada kaum India. Bagi dana lain, dalam tempoh dari Ogos 2012 hingga Oktober 2013, sebanyak 8,107 permohonan daripada usahawan India telah diterima dan sebanyak RM119.4 juta sudah disalurkan.

Bagi memastikan generasi muda India tidak ketinggalan dalam pendidikan, kerajaan menyalurkan peruntukan RM100 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sama seperti yang diperoleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Semua yang dibangkitkan ini bukanlah untuk mengungkit atau defensif tetapi sekadar menegaskan tidak berlaku diskriminasi seperti yang dicanang oleh pihak tertentu. Saya terpaksa menulis ini kerana hanya satu dua sahaja orang politik yang bersuara membetulkan tanggapan ini. Mengiyakan tanggapan salah tentang agama, bangsa dan negara adalah tindakan tidak bertanggungjawab. Saya tidak mahu menjadi seperti mereka. Ku SEMAN KU HUSSAIN Utusan Rencana 20140504

Subscribe

  • Rokok elektronik wajar dibenarkan semula

    Fenomena vape pernah menjadi tumpuan pelbagai pihak terutamanya Kementerian Kesihatan yang menentang keras aktivitinya sekitar penghujung tahun…

  • Rahsia panjang umur

    Kathmandu: Seorang wanita berusia 112 tahun mendakwa umurnya panjang kerana dia menghisap rokok. Batuli Lamichhane yang dilahirkan pada Mac 1903…

  • Dapatkan kaunseling berhenti merokok

    Asalnya dia seorang perokok tegar dan bagi menghentikan ketagihannya terhadap rokok selain tidak mahu mengikut jejak bapanya yang mati kerana kanser…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments