kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Asia Tenggara bergolak?

SEPERTI yang tercatat dalam coretan saya terdahulu, Chin Peng berhijrah ke China pada pertengahan tahun 1961 untuk mengetuai apa yang dinamakan Perwakilan Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Malaya (PKM) di Beijing. Ini atas keputusan PKM yang berpangkalan di Sadao, selatan Thailand (kemudian berpindah ke Betong). Saya telah ceritakan kenapa PKM menghantar Chin Peng ke China. Walaupun risikan Cawangan Khas ada menunjukkan bahawa PKM, setelah berundur ke sebelah Thailand di sempadan Malaysia - Thailand membuat persiapan mahu meneruskan perjuangan bersenjata, namun Chin Peng, dalam bukunya ‘Chin Peng, My Side of History,’ ada berkata parti telah membuat keputusan "… at least for the forseeable future, to abandon our armed struggle and revert to underground political activities…" (halaman 424 buku tersebut). Ini dinyatakannya kepada Le Duan, pemimpin tertinggi parti komunis Vietnam Lao Dong semasa dia singgah di Hanoi dalam perjalanan ke Beijing.



Mengikut halaman 428 hingga 436 buku Chin Peng, sebaik-baik tiba di China beberapa perbincangan telah diadakan antara pihaknya dengan petugas di Jabatan Perhubungan (Liaison Department) Parti Komunis China (PKC) di Beijing.

Pada awal tahun 1960-an itu Deng Xiao-ping, yang bakal mengubah dasar-dasar kerajaan China selepas kematian Mao Tse-tung (1976), ialah Setiausaha Agung PKC dan Liaison Department, terletak di bawah urusannya secara langsung, bermakna segala rumusan perbincangan dihantar terus kepada Deng Xiao-ping.

Dipendekkan kata, pada akhir siri perbincangan itu, Parti Komunis China bersetuju untuk memberi lebih banyak bantuan kewangan kepada PKM. Tetapi, jelas bantuan ini bersyarat iaitu PKM hendaklah meneruskan perjuangan bersenjata.

Ini dinyatakan oleh Deng Xiao-ping sendiri semasa pertemuan dengan Chin Peng di pejabatnyapada Julai 1961 yang turut dihadiri Siao Chang dan Musa Ahmad. (Siao Chang ialah AJK Pusat PKM, sementara Musa Ahmad ialah pengerusi parti ketika itu. Siao Chang telah mengetuai perwakilan PKM semasa perundingan damai di Phuket pada 1988/1989. Dia meninggal dunia kerana penyakit barah semasa perundingan masih berjalan.)

Di halaman 428 dalam bukunya Chin Peng berkata : "Deng memulakan perbincangan. Katanya, tidak berapa lama lagi Asia Tenggara akan mengalami perubahan besar. Kami (Chin Peng) tahu Deng baru saja mengadakan perbincangan dengan Ho Chi Minh … dan dia tahu rancangan Ho untuk menyatukan seluruh Vietnam. Juga, Deng tahu perancangan (orang komunis) di Burma (kini Myanmar), Siam, Laos, Kemboja dan Indonesia kerana mereka diberi kemudahan-kemudahan latihan yang penting di China pada masa itu (tahun 1960-an).

Seterusnya, di halaman 429, Chin Peng berkata: "Dari segi strategi, Deng menegaskan seluruh rantau Asia Tenggara akan bergolak hebat yang mana kami (PKM) telah sekian lama melaluinya... Saya menanyakan Deng: "Jika kami memulakan semula perjuangan bersenjata, apakah pertolongan yang boleh kami harapkan dari China?" Saya beritahu Deng, ini adalah perkara yang akan dipersoalkan oleh Jawatankuasa Pusat PKM".

Bantuan kewangan

Menurut Chin Peng, pertemuan sehari suntuk dengan Deng Xiao-ping pada bulan Julai 1961 itu berkesudahan dengan pihaknya dikehendaki membuat cadangan kepada Jawatankuasa Pusat PKM untuk meneruskan perjuangan bersenjata, manakala Deng memberi janji bahawa China akan membantu PKM dari segi kewangan jika sesuatu persetujuan bersama dapat dicapai. Perkara-perkara detail akan diuruskan Liaison Department.

Selepas pertemuan itu, Chin Peng mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin PKM yang tinggal di Beijing. Di halaman 433 bukunya, Chin Peng berkata: "Yang ironiknya, Musa Ahmad, orang yang telah kami angkat menjadi pengerusi parti sejak sebelum perundingan Baling (1955) - yang kemudiannya akan belot terhadap kami - menunjukkan sikap cukup optimistik terhadap cadangan Deng.

Kata Musa: "Dengan pertolongan China, kita boleh merampas Malaya dalam masa lima tahun." Pandangan Musa tidak munasabah. Saya berpendapat, dalam masa lapan hingga sepuluh tahun lebih munasabah. Akhirnya, semua AJK Pusat PKM bersetuju dengan kehendak Deng supaya PKM kembali kepada perjuangan bersenjata. Namun bagi Chin Peng, dia berhujah: "I fell in line, as did the rest. But, in truth, behind our affirmative decision lay a degree of reluctance. After all, our 1959 Sadao resolution had not been a passing whim. We had arrived at it following much analysis and self-criticism."

Selepas itu, beberapa siri rundingan telah diadakan dengan Liaison Department yang memakan masa beberapa minggu sebelum keputusan-keputusan muktamad dicapai. Seperti disimpulkan oleh Chin Peng di halaman 436 dalam bukunya : "I don’t wish to go into the exact details of how our secret financial channels came about. Suffice to say, we operated then in very respectable circumstances for 20 years and were never disturbed. The CPM always functioned within strict budgetary constraints, and even tougher controls were applied the moment Peking starts funding us in 1961. Each year our requests, based on US dollar calculations, were lodged with the Chinese (Liaison Department). But we could draw funds in practically any currency we liked. As requirements presented themselves, our budget was expanded accordingly by the Peking authorities. These general arrangements remained in place until the financial assistance dried up in 1989." Yakni, bantuan kewangan daripada China, menerusi Liaison Department itu telah dihentikan oleh China sebaik-baik saja Perjanjian Damai Haadyai dimeterai pada Disember 1989.

Ada beberapa perkara yang menarik bagi saya yang tidak disebut oleh Chin Peng dalam bukunya di sekitar tahun 1960-an dan 1970-an yang berlaku di China semasa dia bermastautin di sana.

Maksud saya ialah perkara-perkara yang, walaupun pokoknya menyentuh pergolakan politik atau pemerintahan negara China, namun ada kaitannya dengan Parti Komunis Malaya. Sesetengahnya ada disentuhnya secara sepintas lalu walaupun saya rasa dia boleh mengupas lebih meluas lagi.

Sebagai contoh, Chin Peng tidak mengulas dengan mendalam sesetengah pemimpin kanan Parti Komunis China yang saling bertelagah untuk merebut kuasa, dan bagaimana Mao Tse-tung pula, dengan cukup licik dan tipu helah telah memperdayakan pihak-pihak yang bertelagah itu untuk memperkukuh dan menyelamatkan kedudukannya.

Mao melakukannya dengan cara melaga-lagakan pemimpin-pemimpin PKC yang dimaksudkan, sampai ada antara mereka yang dizalimi atau terseksa.

Chin Peng juga tidak menyebut langsung kesan-kesan buruk daripada dasar Parti Komunis China yang memberi sokongan padu kepada Parti Komunis Indonesia (PKI) pimpinan D.N Aidit yang berkesudahan dengan tercetusnya peristiwa berdarah yang dinamakan Gerakan Gestapo PKI 30 September 1965 atau ringkasnya G30S.

Ini ialah peristiwa keganasan di mana Parti Komunis Indonesia, dengan sokongan sangat padu daripada Presiden Soekarno telah cuba merampas kuasa politik di Jakarta pada malam 30 September 1965, bermula dengan pembunuhan empat orang Jeneral Tentera Darat Indonesia. Ia berkesudahan dengan pengharaman serta-merta PKI serta pembunuhan ratusan ribu anggota parti itu, kebanyakannya oleh tentera Indonesia, sebahagiannya rakyat biasa negara itu sendiri.

Ada sumber mengatakan bilangan yang terbunuh melebihi satu juta orang. Lebih malang lagi, ia menyebabkan terputusnya hubungan diplomatik antara Indonesia dan China, selain menyalakan api kemarahan dan kebencian rakyat Indonesia terhadap warga Indonesia keturunan Cina.

Banyak maklumat diterima Cawangan Khas PDRM bahawa di sesetengah wilayah di Indonesia, ramai penduduk warga Indonesia keturunan Cina dibunuh secara kejam dan rumah-rumah serta kedai-kedai mereka dibakar gara-gara tanggapan mereka bahawa pihak Parti Komunis China terbabit dalam peristiwa berdarah G30S itu.

Ini semua berpunca daripada keserakahan Parti Komunis China di bawah pimpinan Mao Tse-tung dalam tahun 1960-an yang mahu menyebarkan fahaman komunisme corak Mao Tse-tung.

Hakikat bahawa Parti Komunis China semacam sudah tahu apa yang bakal berlaku di Jakarta, gara-gara langkah PKI dengan aksi G30S itu tampak tersirat di halaman 428 dalam buku Chin Peng.

Beginilah katanya : "Deng knew the minds and plans of the… Indonesian comrades who all maintained important training facilities in China at this time.(1960-an)."

Seperti yang saya katakan, pertemuan Chin Peng dengan Deng Xiao-ping pada bulan Julai 1961, sedangkan peristiwa Gerakan Gestapo PKI itu meletus pada bulan September 1965, hanya empat tahun sahaja jaraknya.

Saya akan mengisahkan lain-lain aspek pergolakan politik Parti Komunis China dalam tahun 1960-an dan sejauh mana perkembangan-perkembangan itu telah mempengaruhi kedudukan dan hala tuju perjuangan Parti Komunis Malaya.



ABDUL RAHIM NOOR Utusan Rencana 20140504
Tags: komunis, pkm, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments